|
SISTEM POTONGAN GAJI BIRO PERKHIDMATAN
ANGKASA (Klik Di Sini Untuk Borang Online Semakan Potongan Gaji)
Sistem Potongan Gaji BPA ialah satu sistem di mana
semua potongan-potongan koperasi dan lain-lain diuruskan melalui
satu saluran demi memudahkan kerja-kerja potongan gaji di jabatan-jabatan
kerajaan. Sistem ini juga merupakan satu kemudahan kepada koperasi
dan lain-lain badan untuk mendapatkan bayaran-bayaran seperti yuran,
saham, pinjaman dan sebagainya dengan lebih bersistematik dan terjamin.
Bagi anggota-anggota koperasi pula, sistem ini memberi
mereka kesenangan membayar balik segala yang terhutang atau yang
patut dibayar kepada koperasi atau lain-lain. Sistem potongan gaji
ini diwujudkan untuk memudahkan semua pihak dalam urusan masing-masing
iaitu, pihak Jabatan dalam urusan penyediaan gaji setiap bulan,
koperasi dalam urusan mendapatkan bayaran balik pinjaman dan yuran
manakala anggota dalam urusan menyelesaikan bayaran yang perlu dibuat
setiap bulan.
Sistem Potongan Gaji BPA ini diuruskan dan dikendalikan
oleh Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) iaitu satu daripada bahagian-bahagian
yang diwujudkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA).
BPA diwujudkan atas kemahuan koperasi ekoran daripada keputusan
kerajaan tidak lagi mahu membuat potongan koperasi dari lembaran
gaji dengan alasan terlalu banyak kerja dan sudah sampai masanya
koperasi berdikari.
BPA mula menjalankan perkhidmatannya pada bulan
April 1977 untuk 23 buah koperasi sahaja dan pada masa ini terdapat
783 buah koperasi dan bukan koperasi menggunakan perkhidmatannya.
Jumlah potongan yang diuruskan juga meningkat daripada RM1.5 juta
sahaja dalam tahun 1977 kepada RM380 juta sebulan setakat Julai
2006 dengan bilangan rekod potongan anggota melebihi 2.2 juta. BPA
memusatkan operasinya di Petaling Jaya walaupun pelanggan-pelanggannya
terdapat di merata Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Biro Perkhidmatan ANGKASA ditadbirkan oleh satu
Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Kerja Biro Perkhidmatan
ANGKASA. Ahli-anggota Jawatankuasa ini dilantik oleh Jawatankuasa Tadbir
Kebangsaan ANGKASA (Jawatankuasa Puncak), mengandungi :-
- Pengerusi yang dilantik oleh Jawatankuasa Tadbir
Kebangsaan ANGKASA.
- Tiga orang atau satu bilangan yang ditentukan
oleh Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA.
- Dua orang yang mewakili koperasi.
- Bendahari Eksekutif sebagai Setiausaha.
|