|
PERKHIDMATAN ANGKASA UNTUK KOPERASI
DAN AHLI
ANGKASA yang telah diasaskan oleh Gerakan Koperasi
di negara ini menerusi Kongres Koperasi Pertama pada tahun 1966
dan Kongres Koperasi Kedua pada tahun 1971 dikenali sebagai koperasi
apex yang memperjuangkan cita-cita serta hak kepentingan Gerakan
Koperasi di negara ini.
Justeru itu, ANGKASA menawarkan berbagai perkhidmatan
kepada ahlinya merangkumi pelbagai bidang dan cabang ilmu koperasi.
Sebahagian besar perkhidmatan yang disediakan telah diuruskan oleh
Bahagian 4P ( Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan
) merangkumi kursus wajib, pendidikan berterusan kepada ahli, pemberian
dan pemasangan perisian SEKKOP secara percuma kepada koperasi-koperasi
sekolah seluruh Malaysia, pendidikan jarak jauh untuk Sijil Perakaunan
Koperasi dan Diploma Perakaunan Koperasi, khidmat runding kepada
koperasi atau lebih dikenali sebagai PEKA serta penganjuran berbagai
bentuk seminar dan program pelancongan koperasi sekolah.
Sementara itu bahagian-bahagian lain di dalam ANGKASA
seperti BPA telah menyediakan perkhidmatan Sistem Potongan Gaji
iaitu satu sistem di mana semua potongan-potongan koperasi dan lain-lain
diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan kerja-kerja potongan
gaji di Jabatan-jabatan Kerajaan. Sistem ini juga merupakan satu
kemudahan kepada koperasi dan lain-lain badan untuk mendapatkan
bayaran-bayaran seperti yuran, saham, pinjaman dan sebagainya dengan
lebih sistematik dan terjamin.
Biro Perkhidmatan ANGKASA juga menyedia Sistem Online
ANGKASA atau SOLA iaitu satu sistem yang menawarkan dua bentuk infrastruktur
teknologi maklumat kepada para pelanggannya untuk membuat semakan
rekod potongan gaji ahli koperasi atau mendapatkan fail bayaran
koperasi yang dikehendaki secara elektronik.
ANGKASA juga menyediakan peluang pelaburan kepada
koperasi-koperasi dan individu menerusi AMANAH SAHAM ANGKASA (ASA)
yang telah dilancarkan dengan rasminya pada 24 April 1998 di Wisma
Ungku A. Aziz dengan saiz tabung dibenar adalah sebanyak 300 juta
unit. ANGKASA telah melantik Pelaburan Johor Berhad (PJB) sebagai
Pengurus Dana dan Amanah Raya Berhad (ARB) selaku Pemegang Amanah.
ANGKASA juga telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan
Tabung Pinjaman Pendidikan ANGKASA (TAPAK) untuk membantu membiayai
pendidikan anggota koperasi ahli ANGKASA, kakitangan koperasi ahli
ANGKASA, kakitangan ANGKASA, anak-anak anggota koperasi ahli ANGKASA
dan anak-anak kakitangan ANGKASA.
Keterangan lengkap berkenaan perkhidmatan-perkhidmatan
yang ditawarkan dan kemudahan yang disediakan oleh ANGKASA boleh
diperolehi dengan melayari menu navigasi 'Perkhidmatan ANGKASA'
di dalam laman web ini.
|