Kukuhkan Keusahawanan Koperasi
TEMA sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) pada tahun ini ialah “Memperkasakan Keusahawanan Koperasi”. Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sektor koperasi sebagai sektor ketiga terpenting menjana ekonomi negara dengan lebih berkesan selepas kerajaan dan swasta. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, kepimpinan koperasi dan seluruh anggotanya mestilah berganding bahu dan berusaha merebut peluang perniagaan yang terbuka luas.
Bersesuaian dengan tema tersebut, setiap warga koperasi perlulah memiliki daya tahan dan daya saing merebut peluang perniagaan yang ada di pasaran bersama dengan sektor lain. Perubahan sikap yang proaktif dalam persaingan perlu dizahirkan melalui jaringan perniagaan dalam berbagai-bagai kegiatan koperasi. Sikap untuk menjadikan koperasi hanya sebagai menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada anggota perlu ditambah dengan mencari perniagaan bagi meningkatkan pendapatan koperasi.
Itulah intipati ucapan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika merasmikan sambutan HKN 2007 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Julai 2007. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, para pemimpin koperasi perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam memasarkan produk koperasi masing-masing. Seluruh anggota koperasi perlu mempunyai kesedaran dan bersedia berganding bahu memajukan koperasi.
Kerjasama di kalangan institusi koperasi, pemimpin koperasi, generasi muda dan kerajaan perlu untuk memperkasakan keusahawanan koperasi sepertimana yang berlaku di Belanda dan New Zealand yang telah lama maju dalam koperasi.
Dalam mengharungi arus globalisasi Perdana Menteri turut mengingatkan organisasi koperasi supaya meningkatkan keupayaan, kecekapan dan mempunyai sistem penyampaian yang berkesan bagi melahirkan keanggotaan yang berkualiti.
Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) sehingga 31 Disember 2006, jumlah koperasi di negara ini yang berdaftar ialah sebanyak 4,918 buah dengan jumlah anggota seramai 5.9 juta. Dari jumlah tersebut, modal yuran sebanyak RM7.3 bilion dan jumlah aset terkumpul ialah sebanyak RM38.4 bilion. Sekiranya data-data tersebut digembleng sepenuhnya, gerakan koperasi memiliki kekuatan tersendiri yang mampu menjana dan memacu ekonomi negara ke tahap yang membanggakan.
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut melancarkan empat program baru sempena HKN yang akan memacu program keusahawan koperasi agar berdaya maju. Program tersebut adalah pelaburan koperasi dalam Amanah Saham MARA; skim kerjasama antara UDA dan koperasi yang dikenali sebagai UDAKOP; koperasi menjadi agen atau wakil khidmat Bank Rakyat dan akhir sekali, pelancaran buku panduan Tadbir Urus Koperasi untuk pemimpin-pemimpin koperasi.
Dalam sidang media yang diadakan sempena HKN tersebut, Dato’ Seri Mohamed Khaled berkata, keempat-empat program tersebut akan memberi manafaat yang besar kepada gerakan koperasi jika peluang tersebut digunakan sepenuhnya.
“Pihak kementerian akan memastikan kejayaan empat program tersebut berhasil dengan membuat tinjauan dan tindakan susulan terhadap mana-mana projek yang disertai oleh koperasi, selain memberi bimbingan dan khidmat nasihat terhadap projek yang diusahakan oleh koperasi,” ujar beliau.
Dato’ Mohamed Khaled mahu koperasi membuat usahasama dengan berbagai-bagai pihak terutamanya dengan usahawan yang berjaya, dalam bentuk pelaburan atau modal dan menguruskan projek secara profesional.
Dengan cara itu, koperasi bukan lagi menjalankan perniagaan secara bersaing. Sebaliknya, membentuk satu rantaian perniagaan yang lengkap melengkapi. Perniagaan sebegini dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik dan membolehkan persaingan di peringkat global.
Katanya, ada banyak kegiatan yang boleh diceburi oleh koperasi. Namun, jaringan kerjasama di kalangan koperasi tidak kukuh. Oleh yang demikian, lonjakan paradigma perlu dilakukan di kalangan warga koperasi untuk terus memberi idea baru, mewujudkan jaringan perniagaan yang lebih luas, memperkukuhkan lagi kerjasama dan bersedia melakukan perubahan besar kepada gerakan koperasi.
Generasi muda perlu diberi perhatian supaya mereka berminat menyertai koperasi. Sebagai generasi pelapis, mereka perlu didedahkan dengan ilmu berkoperasi sejak di bangku sekolah. Ini akan membantu mempercepatkan lagi generasi muda berkecimpung dalam koperasi.
Usaha ini akan membentuk budaya keusahawanan dan nilai koperasi kepada generasi muda. Dato’ Seri Mohamed Khaled seterusnya memberitahu, salah satu komponen yang disebutkan dalam ucapan Perdana Menteri adalah membentuk generasi muda yang boleh memainkan peranan dalam memperkasakan koperasi. Usaha menarik penyertaan generasi muda dalam koperasi perlu diteruskan sampai bila-bila kerana tanpa kepimpinan yang berwibawa, berpengetahuan serta bertenaga, maka gerakan koperasi akan berada di takuk lama.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPK, Encik Mohd. Kamal Ayob dalam ucapan alu-aluan berkata, modal insan perlu ditingkat dalam gerakan koperasi. Ini bersesuaian dengan tema perayaan tahun ini, “Memperkasakan Keusahawanan Koperasi”. Setiap warga koperasi perlu memiliki daya tahan dan daya saing bagi merebut peluang perniagaan yang terbuka luas, serta menjadi usahawan yang berjaya.
Katanya, sambutan HKN yang diadakan setiap tahun bertujuan menerap nilai-nilai dan kesedaran berkoperasi di kalangan masyarakat serta menjelaskan peranan yang dimainkan oleh gerakan koperasi mencapai wawasan negara sebagai negara maju menjelang 2020.
Ekspo Koperasi dan Usahawan yang diadakan selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Julai 2007 memberi peluang kepada koperasi, usahawan, syarikat-syarikat, agensi pelaksana dan kerajaan bekerjasama membangunkan usahawan. Selain itu, diharap peluang keemasan ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk bertukar-tukar fikiran, membentuk jalinan kerjasama dan mewujudkan pakatan yang strategik.
Dato’ Seri Mohamed Khaled turut menyampaikan Anugerah Perdana, Anugerah Kepimpinan Koperasi, Anugerah Khas, Anugerah Khas Koperator Wanita Cemerlang, Anugerah Khas Koperator Belia Cemerlang dan Anugerah Anak Merdeka. ANGKASA turut berbangga di atas penganuge-rahan Kepimpinan Koperasi yang diterima oleh Naib Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Madya Haji Moha-mad Ali Hasan dan Anugerah Khas Koperator Wanita Cemerlang oleh Datin Paduka Hajah Wan Safinah Haji Salleh.
Selepas menyampaikan anugerah tersebut, Dato’ Seri Mohamed Khaled telah dibawa melawat Ekspo Koperasi Dan Usahawan. Terdapat lebih 80 gerai yang menawarkan berbagai-bagai produk dan perkhidmatan. Gerai-gerai tersebut terdiri daripada koperasi, agensi, syarikat swasta dan usahawan. ANGKASA turut mengambil bahagian.
Antara yang hadir dalam majlis perasmian itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Malaysia Datuk Khamsiyah Yeop; Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Musa Muhamad; Setiausaha Parlimen Kementerian, Datuk Samsu Baharun Haji Ab. Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Sidek Hasan; dan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz.
Sehari sebelum majlis perasmian berlangsung, Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) telah menganjurkan seminar bertajuk “Memperkasakan Keusahawanan Koperasi : Kreativiti Dan Inovasi dalam Pemasaran Produk”. Seminar itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Parlimen kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Samsu Baharun Haji Ab. Rahman.
Berucap dalam majlis tersebut, beliau mengingatkan warga koperasi supaya merubah persepsi dan minda agar lebih bersedia menghadapi dunia perniagaan yang lebih kompetitif. Katanya, koperasi mesti lebih peka dengan perkembangan perniagaan pada masa kini dan bertukar corak keusahawan dan pemasaran yang konservatif kepada perniagaan dan pemasaran yang mampu bersaing dan memberi pulangan yang lebih baik kepada koperasi. Ianya hanya dapat dicapai melalui kreativiti dan inovasi aktiviti pemasaran.
Seminar tersebut dibahagikan kepada tiga sesi. Sesi pertama dan kedua, tiga kertas kerja dibentangkan. Sesi ketiga adalah perbincangan bersama panel. Pembentangan kertas kerja dan ahli panel perbincangan terdiri daripada mereka yang sangat berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang akademik, perniagaan, sektor swasta, sektor kerajaan, keusahawanan dan koperasi.
Selama tiga hari berkampung meraikan HKN, para pemimpin dan anggota koperasi dapat memanfaatkan banyak ilmu dan pengalaman. Warga koperasi perlu “memecah ruyung untuk mendapatkan sagunya”. Usaha yang berterusan mesti dilakukan oleh semua pihak untuk “Memperkasakan Keusahawanan Koperasi” sesuai dengan tema sambutan Hari Koperasi Negara 2007.
Muhammad Harun