PELANCAR ONLINE
Oktober 2006

ARKIB PELANCAR


Dua Lagi Program Baru Dilancar

KOPERASI Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH) melancarkan dua lagi program baru iaitu ‘Dari Desa Ke Kota (Melayu Glokal)’ dan Skim Simpanan Pendidikan Koperasi (SSPK).

Program ‘Dari Desa Ke Kota (Melayu Glokal)’ menyediakan kemudahan asrama kepada anak-anak yang datang dari desa. Mereka termasuklah anak-anak anggota koperasi sendiri, anak-anak yang dicadangkan oleh anggota koperasi, anak-anak yatim, anak-anak keluarga yang kurang kemampuan.

Setakat ini, tiga buah rumah berhampiran sekolah telah dimiliki oleh koperasi untuk program ini. Rumah tersebut mampu menempatkan 40 orang pelajar. Setakat ini seramai 12 orang pelajar ditempatkan di asrama ini.

Di bawah Skim Simpanan Pendidikan Koperasi (SSPK) pula, setiap anggota koperasi diwajibkan menyimpan sekurang-kurangnya RM10.00 sebulan. Skim ini dimulakan pada bulan November 2002 dan hingga hari ini seramai 24,000 anggota telah menyertai skim ini secara ‘wajib’.

Pada masa ini, Koperasi UKHWAH berjaya mengumpul sebanyak RM4,930,307.71 melalui skim ini dengan kutipan bulanan sebanyak RM240,000.00. Dengan pertambahan bersih 600 hingga 700 orang anggota sebulan, jumlah simpanan bulanan anggota bertambah antara RM7,000.00 hingga RM10,000.00 sebulan.

Koperasi UKHWAH menjalankan aktiviti pendidikan, perkhidmatan pengguna jimat cermat, pinjaman kepada kakitangan kerajaan, insurans, tabung pendidikan, kemudahan penginapan, asrama bandar, pusat tuisyen dan biasiswa pendidikan kepada anggotanya. Operasi Koperasi UKHWAH beribu pejabat di Kuala Lumpur dan mempunyai cawangan di setiap negeri. Majlis pelancaran bagi kedua-dua program tersebut dilakukan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan II, Dato’ Mohamad Norza Zakaria.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Dua Lagi Program Baru Dilancar