PELANCAR ONLINE
Oktober 2006

ARKIB PELANCAR


800 Peserta Sertai Pertandingan Memancing

KOPERASI Pekerja-Pekerja Jabatan Perdana Menteri Malaysia Berhad (Koperasi JPM) dengan kerjasama Seri Bayu Tekala Sdn. Bhd. telah menganjurkan Pertandingan Memancing Sempena Bulan Kemerdekaan pada 3 September 2006 bertempat di kolam memancing Seri Bayu Tekala, Batu 30, Sungai Tekala, Semenyih, Selangor.

Sebelum itu, majlis promosi pertandingan dan Majlis Menandatangani MoU di antara Koperasi JPM dan Seri Bayu Tekala Sdn. Bhd. telah diadakan pada 13 Ogos 2006. Pada majlis yang turut diserikan oleh kehadiran ‘Duta Pertandingan Memancing’ iaitu Farah Akademi Fantasia (AF2), Anggota Lembaga Koperasi JPM dan orang ramai telah menanam bunga raya, iaitu bunga kebangsaan Malaysia dan mengibarkan jalur gemilang di sekitar kawasan kolam memancing Seri Bayu Tekala.

Sementara itu, pertandingan memancing sempena bulan kemerdekaan ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor tepat jam 8.00 pagi. Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor telah memuji usaha yang telah dijalankan oleh Koperasi JPM sempena menyambut dan memeriahkan bulan kemerdekaan Malaysia dengan menjalankan aktiviti berkeluarga yang berfaedah. Beliau turut beramah mesra dengan peserta pertandingan di samping melawat gerai pameran Koperasi JPM.

Menurut Pengerusi Pertandingan merangkap Naib Pengerusi Koperasi JPM, Haji Abu Noor Abu Bakar, tujuan utama pertandingan memancing itu adalah untuk memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan di samping mengisi tabung pelajaran dan kebajikan koperasi serta mempromosi dan meningkatkan minat kepada aktiviti memancing. Beliau juga memaklumkan pertandingan itu telah menarik penyertaan hampir 800 orang pemancing dari seluruh Malaysia.

Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM20,000.00 bagi tempat pertama, RM10,000.00 tempat kedua, RM5,000.00 tempat ketiga dan lain-lain hadiah kategori ikan yang kesemuanya berjumlah RM42,600.00 di samping hadiah-hadiah iringan dan cabutan nombor bertuah. Di samping itu, gerai-gerai jualan dan pameran turut diadakan bagi memeriahkan lagi pertandingan memancing ini.

Hadiah-hadiah pertandingan memancing telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat merangkap Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Malaysia, Markiman Kobiran dan Pengerusi Koperasi JPM, Dato’ Haji Mohd. Zahir Osman.

Oleh : Khairu Radzi Haji Hussin
Pengurus Koperasi JPM

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

800 Peserta Sertai Pertandingan Memancing