PELANCAR ONLINE
Oktober 2006

ARKIB PELANCAR


Utusan Hari Wanita Desa Ke-11
15 Oktober 2006
Wanita Desa: Pemimpin Hari Esok

WANITA Desa : Pemimpin Hari Esok, hanya sekadar satu slogan? Sudah tentu tidak kerana ia adalah persoalan yang berkaitan dengan masa depan kita semua.

Masalah kekurangan makanan dan kelaparan masih melibatkan banyak negara di dunia. Di kebanyakan negara miskin, sebahagian besar bekalan makanan dihasilkan oleh wanita desa. Kerana itulah, mereka berada di barisan hadapan untuk bersama-sama mengatasi masalah ini. Tambahan pula, wanita desa di seluruh dunia mampu menyumbang kepada penggunaan sumber alam yang lebih baik dan memajukan pembangunan yang berkekalan.

Tetapi adakah suara mereka didengari? Adakah permintaan mereka untuk mendapatkan tanah, bantuan kewangan, benih dan peralatan diperakui? Cukupkah dengan bermanis mulut dan bersopan-santun meminta para pemimpin yang terdiri daripada golongan lelaki dan penghuni bandar supaya memenuhi keperluan mereka? Tidak sama sekali!

Sebenarnya terpulang kepada kita, di setiap benua untuk memikul tanggungjawab ini sepenuhnya. Untuk maju, kita mestilah sanggup mengorbankan masa lapang dengan melibatkan diri secara terus. Mahu tidak mahu, kita perlu melakukannya dan bersedia menerajui kepimpinan hari esok dan seterusnya.

Akibat penguasaan golongan lelaki di peringkat pentadbiran boleh dilihat di sekeliling kita. Namun begitu, pentadbiran sepenuhnya oleh wanita juga ada keburukannya kerana itulah diwujudkan lelaki dan wanita untuk saling membantu. Oleh itu, untuk mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan seimbang, kita memerlukan pemimpin yang terdiri daripada wanita desa.

Rakan-rakan dan teman seperjuangan yang saya hormati sekalian, sebagai sebuah keluarga hendaklah kita saling menyokong antara satu sama lain. Bukannya mudah memperuntukkan masa di luar lingkungan rumah tangga, ladang-ladang dan keluarga kita. Kita hendaklah berusaha dengan yakin dan cekal bagi menghadiri mesyuarat dan kursus-kursus yang membolehkan kita berani bercakap di khalayak ramai dan menyuarakan pendapat.

Pengorbanan ini bukanlah untuk mendapatkan nama atau penghormatan kerana hidup kita singkat, tidak perlu membazirkan tenaga mengejar hasrat peribadi yang sia-sia.

Marilah kita menjadi pemimpin yang menentukan masa hadapan yang cerah untuk anak-anak kita. Kita sedar, sebagai wanita desa kita mampu mempertahankan kepentingan keseimbangan ini. Oleh itu, kita hendaklah menerima cabaran untuk menjadi pemimpin hari ini dan hari esok. Marilah kita membina masa hadapan untuk semua!

Selamat menyambut Hari Wanita Desa Sedunia!

KARREN SERRES
Presiden Jawatankuasa Petani Wanita IFAP

*Diterjemah oleh Siti Aishah Jaffar, Penulis Modul ANGKASA

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Utusan Hari Wanita Desa Ke-11