PELANCAR ONLINE
Oktober 2006

ARKIB PELANCAR


Konsortium Koperasi Di Perlis

SETAHUN kebelakangan ini kita telah berjaya melaksanakan program-program ANGKASA khususnya program pendidikan untuk anggota koperasi ahlinya, dengan baik sekali. Bukan sahaja dari sudut sambutan yang menggalakkan di kalangan anggota tetapi keberkesanan program pendidikan seperti seminar, kursus dan bengkel yang dilaksanakan dimanfaat sepenuhnya, sekaligus membantu memantapkan gerakan koperasi masing-masing.

Sebagai penghubung kepada ANGKASA Pusat, Haji Mutadho Bahri yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Perlis, memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan tangggungjawab dengan berkesan dalam usaha membangunkan gerakan koperasi di negeri Perlis. Kebanyakan koperasi hari ini mampu melaksanakan pelbagai bentuk kegiatan sosio dan ekonomi seiring dengan sektor-sektor lain demi manfaat anggotanya.

Apa yang ingin ditekankan beliau ialah kepentingan ilmu dalam melakukan apa juga perkara. Dengan adanya ilmu, seseorang dapat melaksanakan sesuatu perkara itu dengan lebih terancang dan teratur.

Ketika ini, pihaknya sedang merancang untuk mewujudkan sebuah konsortium koperasi di negeri Perlis ini. Beliau menggalakkan koperasi, menyertainya sebagai vendor dengan memasarkan barangan hiliran. Barangan tersebut termasuklah minyak, sabun dan seumpamanya yang kini mendapat sambutan yang baik di pasaran tempatan.

Sebelum itu katanya, JPN sedang merancang untuk menganjurkan seminar bioteknologi yang mengkhususkan tentang pengusahaan minyak kelapa dara. Pihaknya berharap seminar tersebut menjadi titik permulaan kepada gerakan koperasi di negeri ini untuk menceburi bidang berkaitan, seterusnya mampu untuk diperkembangkan.

Sementara itu, Timbalan yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum menyatakan rasa gembira dengan perkembangan gerakan koperasi, khususnya koperasi ahli ANGKASA. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah mentaliti dan sikap masyarakat koperasi hari ini yang sudah berubah lebih baik.

Contoh yang paling mudah katanya, perjalanan mesyuarat agung, persidangan kebangsaan dan seumpamanya, sikap cepat marah anggota perwakilan berkurangan dan suasana majlis yang tegang sebaliknya ianya berlangsung dengan lebih teratur. Para perwakilan juga tampil dengan persoalan dan idea yang lebih bermaklumat. Semua ini katanya, disebabkan oleh pengetahuan ilmu yang semakin tinggi di kalangan koperator kita.

Persidangan negeri Perlis telah berlangsung pada 2 September 2006 di Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Seramai 71 perwakilan daripada 39 buah koperasi mengikuti persidangan ini. Seperti tahun sebelum ini, Haji Mutadho Bahri masih kekal sebagai Pengerusi, Encik Aziz Abd. Karim sebagai Setiausaha dan Encik Ismail Hashim sebagai Bendahari.

- ZULKARNAEN ABD. RANI

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Konsortium Koperasi Di Perlis