PELANCAR ONLINE
Oktober 2006

ARKIB PELANCAR


 

Usahawan Bidang Pengasuhan

MUKADIMAH

PENGASUHAN kanak-kanak merupakan bidang keusahawanan yang wajar diceburi oleh koperasi dan koperator wanita khususnya. Walaupun perniagaan itu tidak menjanjikan keuntungan yang tinggi, namun ianya mampu memberi kepuasan kepada mereka yang mengusahakannya sama ada secara individu ataupun melalui koperasi. Ini kerana mereka bukan sahaja dapat memberikan perkhidmatan jagaan kepada kanak-kanak, tetapi membantu negara melahirkan anak bangsa yang berpelajaran, berakhlak dan sihat. Justeru, ANGKASA telah memainkan peranan dengan memfokus kepada latihan dan bimbingan dalam pentadbiran dan pengurusan TASKA. Laporan Khas kali ini menyingkap usaha ANGKASA membangunkan usahawan dalam bidang pengasuhan kanak-kanak dalam gerakan koperasi.

Idea penubuhan TASKA telah diperkenalkan oleh Prof. Diraja Ungku A. Aziz semenjak tahun 1995 dan berbagai usaha telah dilaksanakan bagi menggalakkan penubuhan TASKA di koperasi. Walaupun pada awalnya, sambutan adalah kurang menggalakkan tetapi mulai 1997, dengan usaha gigih Naib Yang Dipertua ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P), Hajah Rahaiah Baheran, usaha tersebut mendapat keyakinan dari warga koperasi untuk menawarkan perkhidmatan pengasuhan anak-anak kepada anggota mereka.

Bermula dari tiga buah TASKA yang ditubuhkan oleh koperasi pada tahun 2002, bilangan tersebut telah menunjukkan peningkatan. Pada tahun 2004, jumlah TASKA koperasi adalah sebanyak 10 buah dan telah bertambah menjadi 16 buah pada tahun 2006. Tambahan pula, mulai tahun ini perhatian turut diberikan kepada anggota wanita yang mengusahakan TASKA secara individu dan didapati sehingga kini terdapat 11anggota wanita yang telah mempunyai TASKA mereka sendiri. Bagi memastikan pengasuhan yang diberikan oleh anggota koperasi adalah yang berkualiti, ANGKASA menawarkan beberapa kursus yang dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta membangunkan keusahawanan koperator wanita di dalam bidang pengasuhan kanak-kanak.

ILTCM ANGKASA

Institut Latihan TCM ANGKASA (ILTCM ANGKASA) telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan pembangunan TASKA kepada koperasi-koperasi ahli ANGKASA. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah Latihan Amali Pengasuhan Kanak-Kanak, Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK), Kursus Pengurusan dan Pengendalian TASKA, Latihan Kemahiran Pengasuhan serta bimbingan khidmat nasihat kepada anggota yang berminat.

Pada peringkat awal, perkhidmatan adalah terbuka kepada koperasi yang berminat untuk menubuhkan TASKA bagi bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti dan kemudahan kepada anggota-anggota koperasinya. Namun mulai tahun 2006, perkhidmatan tersebut telah diperkembangkan kepada anggota wanita secara individu yang berminat untuk menubuhkan TASKA secara persendirian atau menjalankan pengasuhan kanak-kanak di rumah.

Bagi membantu anggota koperasi wanita yang tiada pengalaman di dalam bidang pengasuhan, ANGKASA menawarkan Latihan Amali Pengasuhan atau dikenali sebagai Pra-KAAK. Kursus ini dijalankan selama lima hari di Pusat Latihan TCM ANGKASA yang terletak di Tingkat Bawah, Wisma Ungku A. Aziz. Peserta akan menjalani latihan secara hands-on yang akan dibantu oleh tenaga kerja pusat latihan yang terlatih di dalam memberi tunjuk ajar di dalam bidang pengasuhan kanak-kanak.

Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) adalah merupakan satu kursus peringkat sijil yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) yang perlu dihadiri oleh bakal pengusaha atau pengasuh TASKA. Sijil tersebut adalah salah satu syarat penting bagi mendapat kelulusan permohonan lesen TASKA. Di dalam kursus yang dijalankan selama tiga minggu, peserta akan mengikuti ceramah, mengadakan perbincangan, melakukan aktiviti berkumpulan, menjalani ujian amali dan menduduki ujian bertulis. ANGKASA telah menganjurkan KAAK semenjak dari tahun 1997 dan sehingga September 2006, bilangan kursus yang dilaksanakan adalah sebanyak 10 kali dengan jumlah penyertaan seramai 255 orang.

Kursus Pengurusan dan Pengendalian pula ditawarkan kepada ALK Koperasi, Pengusaha dan Penyelia TASKA yang terlibat secara langsung di dalam mengurus kakitangan dan pentadbiran TASKA. Peserta akan mengikuti kursus ini secara interaktif dengan topik yang dibincangkan seperti kewangan, pemasaran, pengurusan dan sebagainya selama tiga hari.

Bagi meningkatkan kemahiran pengasuh-pengasuh TASKA Koperasi di dalam melaksanakan tugas mereka, ANGKASA turut menawarkan Kursus Kemahiran Pengasuhan mengikut topik yang berkaitan. Selain dari itu ILTCM ANGKASA turut menawarkan bimbingan khidmat nasihat kepada anggota koperasi yang memerlukan maklumat di dalam hal-hal berkaitan penubuhanTASKA. Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program-program yang dikendalikan oleh ILTCM ANGKASA, bolehlah menghubungi Unit Pembangunan Wanita dan TCM di Bahagian 4P ANGKASA.

Kursus Asas Asuhan Kanak (KAAK)

Menurut Naib Presiden PPBM, Puan Rogayah Saad, pihak PPBM juga pernah menganjurkan Kursus Pengurusan dan Pengendalian TASKA pada bulan Jun lalu selain KAAK. Katanya, peserta KAAK sememangnya beruntung kerana pihak ANGKASA telah membenarkan mereka menggunakan kemudahan TASKA Cahaya Matanya untuk melakukan ujian amali dan auditorium untuk tujuan ujian bertulis.

Jelasnya, KAAK merupakan sebuah kursus yang terletak di bawah Akta 1984 dan PPBM antara badan yang diiktiraf oleh JKM untuk menjalankan KAAK. PPBM bertanggungjawab menganjurkan KAAK di seluruh Malaysia dengan jumlah maksimum peserta seramai 35 orang setiap kali berkursus. Seramai lapan orang penceramah diperlukan pada setiap kursus dan seorang penceramah tidak boleh mengajar lebih daripada tiga modul.

Minggu pertama, peserta diperkenalkan dengan latar belakang KAAK, pengenalan kepada pengasuhan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak, suasana persekitaran dan peralatan kegiatan dalam dan luar TASKA, penyusuan ibu, penjagaan kebersihan kanak-kanak di TASKA dan pergerakan kreatif serta penjagaan gigi. Peserta diberi penerangan tentang jenis aktiviti yang menyumbang kepada perkembangan fizikal, perkembangan kognitif, perkembangan bahasa, perhubungan dan interaksi dengan kanak-kanak, aktiviti yang menyumbang kepada perkembangan sosioemosi dan amalan asuhan.

Minggu seterusnya, peserta diberikan kefahaman mengenai keperluan makanan seimbang, langkah pencegahan kebakaran, cerita dan nyanyian bagi kanak-kanak, kegiatan kreatif, tugas-tugas pengasuh dan kakitangan TASKA dan menyediakan barang permainan kanak-kanak. Peserta turut diberi penerangan tentang Akta TASKA 1984, Peraturan TASKA 1985, Pindaan 1993 selain keperluan kanak-kanak khas atau kurang upaya, cara menyediakan jadual aktiviti dan pentingnya penglibatan ibu bapa.

Pada minggu terakhir, peserta akan menduduki ujian amali, selain mempelajari jenis rekod dan cara menyelenggarakannya, penyakit-penyakit berjangkit dan langkah-langkah keselamatan dan rawatan kecemasan. Kursus akan diakhiri dengan sesi ujian bertulis.

Nasihat beliau sebagai seorang penceramah dan pengusaha TASKA, kepada mereka yang berminat untuk menubuhkan TASKA, cari pengalaman terlebih dahulu dengan bekerja dengan orang lain. Katanya lagi, anak-anak yang dihantar ke TASKA sebenarnya mendapat didikan di peringkat awal berbanding yang dihantar ke rumah orang. Ini kerana TASKA menekankan cara pembelajaran dengan bermain pelbagai permainan yang melibatkan penggunaan akal atau kognitif. Kanak-kanak yang berusia dari dua bulan hingga dua tahun misalnya belajar melalui lima deria, belajar sesuatu yang boleh dilihat.

Beliau menegaskan bahawa KAAK perlu dihadiri oleh semua orang termasuklah lepasan sekolah, baik untuk koperasi mahupun bukan koperasi. PPBM akan mengenakan bayaran sebanyak RM480.00 untuk KAAK selama 18 hari tidak termasuk makan, minum serta penginapan. Peserta akan diberi sijil kehadiran oleh PPBM setelah selesai kursus, sementara sijil KAAK akan diberikan oleh JKM setelah lulus ujian amali dan bertulis.

Paling penting, penyelia TASKA perlu menghadiri KAAK. Ianya wajib dihadiri kerana terletak di bawah Akta TASKA. Sekiranya pengusaha TASKA tidak mempunyai sijil tersebut, maka beliau boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.00. Terkini, Akta sedang dipinda dan berkemungkinan dinaikkan sehingga RM10,000.00.

Pada pendapat beliau, bidang pengasuhan boleh dijadikan suatu kerjaya pada mereka yang berminat. Bidang ini amat diperlukan kerana penjaga bekerja dan terpaksa meletakkan anak di bawah jagaan orang lain. Anak yang dijaga oleh pembantu rumah tidak mendapat didikan pembelajaran dan asuhan sempurna seperti di TASKA malah mendatangkan masalah seperti penderaan, percampuran budaya dan lain-lain.

Seseorang pengusaha TASKA tidak wajar melihat kepada keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih kepada memberikan perkhidmatan. Minimum anggaran kasar kos modal yang diperlukan untuk membuka TASKA adalah sekitar RM20,000.00. Pendapatan yang diraih pengusaha sebanyak sehingga RM3,000.00 ke RM 4,000.00 sebulan.

Sementara itu, Pegawai TASKA Negeri Selangor di bawah JKM, Puan Siti Adibah Abdul Rahman berkata, JKM berhubung dengan PPBM sebagai konsultan untuk menjalankan KAAK secara keseluruhannya. Pihak JKM akan mengumpulkan maklum balas peserta, manakala PPBM akan memberi laporan ujian amali. PPBM harus memberi ulasan kepada JKM tentang perjalanan kursus dan barulah sijil dikeluarkan bagi melayakkan peserta menubuhkan TASKA.

Kira-kira lima bulan selepas ujian bertulis, barulah pihak JKM memberikan keputusan peserta kursus. Tambahnya, yang paling penting pengusaha perlu memiliki sijil KAAK dan kemudian hendaklah membuka premis dengan mematuhi tiga buah agensi terlibat iaitu bomba, kesihatan dan Perancang Bandar Tempatan (PBT).

Puan Siti Adibah berkata lesen tidak akan dikeluarkan sekiranya koperasi tidak mempunyai sijil KAAK. JKM juga bertanggungjawab memantau TASKA dari semasa ke semasa selepas setahun penubuhannya dan menghantar sekurang-kurangnya dua orang kakitangan menghadiri KAAK. Mungkin selepas Akta dipinda, hukuman yang lebih berat akan dikenakan sekiranya tiada sijil seperti koperasi diarahkan ditutup dan sebagainya.

Katanya, KAAK mengajar cara mengasuh kanak-kanak. Tanpa ilmu KAAK, tiada pengisian dalam aktiviti yang dijalankan. Menu makanan perlu berkualiti dan berkhasiat. Seseorang pengasuh digalakkan menjaga kanak-kanak berusia dari 0 hingga tiga tahun dan seorang pengasuh untuk menjaga 10 orang kanak-kanak yang berusia dari tiga hingga empat tahun.

Terdapat juga TASKA yang tidak menghantar pengasuhnya ke KAAK, kerana masalah kekurangan pengasuh ataupun melibatkan kos. Walau bagaimanapun JKM ada menganjurkan kursus pada hari minggu.

Beliau juga bersetuju bila dikatakan pengasuhan kanak-kanak merupakan bidang keusahawanan. Ini kerana PBT telah menetapkan sekitar 500 buah unit kediaman perlu mempunyai sebuah TASKA atau TADIKA. Kadar bayaran untuk seorang kanak-kanak pula ditentukan oleh pengusaha TASKA berdasarkan aktiviti atau keperluan lain dalam TASKA tersebut, begitu juga dengan peraturan TASKA.

Pengalaman Peserta KAAK

Pengusaha TASKA Nurilham, Puan Lafisah dari Koperasi KOSWIP, telah menubuhkan TASKA pada tahun 2002 dan menghadiri KAAK pada tahun berikutnya, 2003. Beliau percaya bahawa pengasuhan merupakan ilmu bagi pembangunan yang menyeluruh dalam mendidik anak-anak, menitikberatkan perkembangan fizikal, mental, lebih profesional dengan pelajaran yang lebih rasmi.

Kini beliau tahu mengapa kanak-kanak diajar menyanyi sesebuah lagu, mengajar kank-kanak cara bergaul, cara melayan kanak-kanak dan cara untuk menarik minat ibu bapa menghantar anak ke TASKA dan lain-lain.

Puan Lafisah juga lebih berkeyakinan dalam menangani masalah kakitangan dan melayan kerenah ibu bapa. Beliau yang memperolehi lesen pendaftaran pada tahun 2004, mendapat keuntungan bersih sekitar RM1,000.00 sebulan. Berlokasi di kawasan perumahan yang sederhana dan di lokasi strategik, kanak-kanak jagaannya kini seramai 35 orang diasuh oleh lima orang pengasuh.

Komennya, KAAK bagus kerana memberi pendedahan ilmu secara terperinci selain menerapkan nilai murni. Turut berminat dengan kursus itu ialah anaknya yang mengambil jurusan pemasaran. Selain dapat mendidik anaknya menyumbang kepada masyarakat dan negara, kini anaknya lebih memahami prospek TASKA yang boleh dijadikan sebuah kerjaya.

Peserta KAAK tahun 2006, Hajah Shamsiah Boon dari Koperasi Wanita Batu Pahat Berhad, akan mencadangkan penubuhan TASKA koperasi kepada Anggota Lembaga sekembalinya dari kursus.

Katanya, koperasi atau agensi lain wajar mengambil peluang menjadi pengusaha TASKA kerana ia dapat membantu kakitangan masing-masing dalam hal penjagaan anak-anak. Beliau juga dalam usaha mencari rakan-rakan bekas jururawat atau anggota koperasi sebagai pengasuh TASKA. Ini kerana bekas jururawat mempunyai kemahiran berkomunikasi dan merawat kanak-kanak.

Pada pendapatnya, kursus ini ke arah mengukuhkan akhlak bagi membendung remaja yang bermasalah. Ianya peluang baik baginya untuk menimba ilmu selain memang menyukai kanak-kanak dan berminat dalam bidang itu.

- NOR AZAH ABD. AZIZ

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Usahawan Bidang Pengasuhan