HKS Semai Budaya Koperasi
PARA pelajar harus merebut peluang menyemai budaya koperasi dan keusahawanan dalam usaha membangun dan memperkembangkan potensi diri di samping berfikiran positif dalam membentuk disiplin diri.
“Hari Koperasi Sekolah adalah model terbaik untuk menyemai budaya koperasi dan keusahawanan di kalangan pelajar. Pelajar perlu diberi pendedahan dan bimbingan sewajarnya kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan koperasi pada masa depan.”
Demikian ucapan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Noh Haji Omar, pada Majlis Perjumpaan Koperasi Sekolah Terbaik HKS yang berlangsung di INTEKMA Resort, Shah Alam pada 4 hingga 6 September 2007.
Katanya, kejayaan koperasi sekolah bukan sekadar diukur pada banyaknya barangan atau keuntungan serta aset semata-mata. Sebaliknya ukuran dibuat berdasarkan keupayaan anggota koperasi menterjemahkan amalan koperasi selari prinsip, nilai dan jati diri gerakan koperasi.
Sehingga kini, sebanyak 1,887 koperasi sekolah ditubuhkan dengan 1,618 menjadi ahli ANGKASA. Beliau percaya koperasi sekolah yang mendaftar dengan ANGKASA akan mendapat banyak faedah daripadanya. Sekitar 26 peratus dipercayai belum mendaftar dengan ANGKASA. Beliau berharap akhir tahun hadapan, semua koperasi sekolah telahpun berdaftar dengan ANGKASA.
Lagipun katanya, kegiatan koperasi sekolah sama seperti badan berseragam yang lain. Sebanyak 10 peratus markah daripada kegiatan kokurikulum boleh melayakkan pelajar melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam.
Katanya lagi, pelajar mesti belajar dari sejarah dan barulah mereka akan maju. Setelah 50 tahun merdeka, pelajar kini lebih celik komputer dan lebih terpelajar dengan pencapaian lebih cemerlang daripada pelajar zaman sebelum merdeka. Gerakan koperasi juga telah membuka minda pelajar betapa menceburikan diri dalam bidang perniagaan menguntungkan mereka. Apa yang penting ialah melahirkan modal insan yang seimbang.
Sementara itu, Pemangku Yang Dipertua merangkap Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum berkata, HKS merupakan acara tahunan ANGKASA bagi meraikan anggota koperasi sekolah dengan menobatkan mereka sebagai juara. Daripada 3,454 buah koperasi ahli ANGKASA, kini 1,618 adalah terdiri daripada koperasi sekolah. ANGKASA juga sedang merancang dengan pihak Maktab Kerjasama Malaysia, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pelancongan untuk mengadakan lawatan pelajar dari negara asing ke koperasi sekolah di negara ini. Di peringkat ICA, koperasi terdiri daripada koperator dewasa dan koperator muda, berbeza di Malaysia terdiri daripada koperator dewasa, belia dan pelajar sekolah.
Katanya lagi, 13 hingga 23 Jun 2007 semua koperasi sekolah bebas melakukan kegiatan HKS sama ada yang wajib atau pilihan. Aktiviti yang dijalankan itu perlu direkod dan dihantar kepada ANGKASA. Lebih 700 buah sekolah berjaya menghantar laporan tersebut. Laporan itu dinilai dan diberi markah dan 15 buah koperasi sekolah telah diiktiraf sebagai yang terbaik.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P), Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah berkata, HKS disambut dengan format baru hasil cetusan idea Prof. Diraja Ungku A. Aziz, bagi melahirkan koperator yang berdaya kepimpinan dalam koperasi.
Pada majlis itu, Dato’ Haji Abdul Fattah juga mengumumkan koperasi sekolah yang menjadi juara, bertaraf enam bintang akan dibawa melawat ke luar negara. Lebih 1,000 buah koperasi sekolah yang menyertai HKS. Namun hanya 51 buah sahaja yang terpilih dan terbaik menghadiri perjumpaan malam itu.
Dalam perjumpaan kali ini, para peserta berpeluang menunaikan prinsip koperasi yang ketujuh, iaitu prihatin terhadap masyarakat apabila membuat lawatan khidmat kemasyarakatan ke beberapa buah rumah kebajikan sekitar negeri Selangor.
Beliau turut berbangga apabila perjumpaan kali ini mendapat sambutan yang hebat di luar daripada jangkaan.
Sambutan Perayaan Hari Koperasi Sekolah 2007 telah sampai ke kemuncaknya apabila 51 buah koperasi sekolah diraikan di Majlis Perjumpaan Koperasi Sekolah Terbaik HKS 2007 baru-baru ini. Lebih 200 orang peserta dari kalangan pelajar dan guru koperasi yang hadir mewakili 51 buah koperasi sekolah yang terbaik.
Pada hari kedua, para peserta telah melaksanakan program khidmat kemasyarakatan. Mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk berkhidmat di tujuh lokasi program iaitu Rumah Anak Yatim Darul Kifayah, Kuala Lumpur, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam, Taman Sinar Harapan Cheras, Kajang, PDK Kampung Kenanga Rawang, Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Subang, Penjagaan Warga Tua Seri Tanjung, Kuang dan PDK Klang Utara, Klang.
Penulis berpeluang mengikuti program di RACTAR bersama para peserta mengikui aktiviti gotong-royong serta taklimat ringkas oleh pihak RACTAR. Pihak RACTAR gembira menyambut kunjungan pihak ANGKASA bagi menjalani aktiviti amal.
Di RACTAR peserta dibahagikan kepada dua kumpulan kerja. Kumpulan I ditugaskan mengemas ruang dewan makan asrama dan kumpulan II menyusun bahan bacaan di perpustakaan RACTAR. Di akhir program, pihak RACTAR menerima hadiah berupa hamper dan sedikit sumbangan kakitangan ANGKASA dalam bentuk pakaian terpakai.
Selain mengadakan lawatan khidmat kemasyarakatan, pelajar turut disajikan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk, “Prihatin Terhadap Masyarakat” oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Encik Zuhaimi Omar.
Pada malam perasmian, tetamu dihiburkan dengan tarian Puteri Saadong, Merdeka, sketsa, deklamasi puisi daripada beberapa sekolah yang terlibat.
Koperasi SMK Simpang Beluru – Koperasi Enam Bintang
Koperasi SMK Simpang Beluru, Enggor Berhad, Kuala Kangsar diumumkan sebagai koperasi sekolah terbaik, manakala Koperasi SMK Bukit Jelutong, Shah Alam Berhad di tempat kedua dan Koperasi SMK Meru Berhad di tempat ketiga.
Koperasi SMK Simpang Beluru, Enggor Berhad tersebut diisytiharkan sebagai koperasi bertaraf enam bintang oleh ANGKASA. Kemenangan itu membawa koperasi tersebut memperoleh hadiah pakej lawatan ke sebuah negara Asia dan juga pewter. Pemenang kedua akan melawat ke negara ASEAN manakala tempat ketiga melawat dalam negeri. Sebanyak 12 buah koperasi sekolah yang terbaik yang menerima lima bintang adalah :
- SMK Agama Slim River, Perak.
- SMK Padang Tengku, Pahang.
- Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan.
- SM Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan
- SMK Seri Pagi, Negeri Sembilan.
- SMK Simpang Renggam, Johor.
- SMJK Tinggi Cina, Melaka.
- SMK Gombak Setia, Selangor.
- SMK Seri Serdang, Selangor.
- SMK Labuan, Sabah
- SMK Putri Saadong, Kelantan
- Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Selangor.
Pada hari ketiga, para peserta hadiri sesi maklum balas program HKS 2007 di mana peserta memberi komen atau cadangan terhadap sepanjang perjalanan program, sebelum mereka bersurai kembali ke negeri masing-masing.
Sehari sebelum majlis perasmian, peserta telah diraikan oleh ANGKASA dalam majlis makan malam.
Pada majlis itu, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah mengumumkan ANGKASA akan mengantarabangsakan produk Pelancongan Koperasi Sekolah. Dengan itu, koperasi sekolah luar negara boleh melawat ke koperasi di sini sebagai Tamu dan koperasi sekolah di negara ini berpeluang melawat koperasi sekolah di luar negara pula. Justeru, koperasi sekolah diminta merancang kegiatan koperasi agar dapat menjadi contoh kepada koperasi lain.
Katanya lagi, peserta yang hadir pada malam itu merupakan antara koperasi sekolah terbaik di peringkat negeri dan merupakan satu penghargaan kerana terpilih daripada lebih 1,000 buah sekolah lain.
Pada malam itu juga peserta dibahagikan kepada dua sesi, iaitu guru dan pelajar. Peserta-peserta diminta mengadakan sesi perbincangan bagaimana untuk meningkatkan taraf koperasi sekolah.
- NOR AZAH ABD. AZIZ
<< Kembali