Menaiktaraf - Strategi Koperasi Untuk Berkembang
Oleh : Muhammad Harun
matharun@angkasa.coop
Didaftarkan pada 10 Disember 1976, Koperasi Peneroka-Peneroka Jengka 10 Mawar Berhad, Bandar Jengka kini boleh berbangga di atas pencapaiannya. Dengan bilangan keanggotaan seramai 379 orang, koperasi berkenaan telah berjaya melaksanakan beberapa kegiatannya dengan baik.
Antara kegiatan yang sedang diusahakan ialah perniagaan kedai runcit, kedai alatan elektrik, stesen minyak BHP, kerja-kerja kontrak dengan pihak FELCRA Berhad, FELDA Wilayah Jengka dan perladangan kelapa sawit.
Menurut Pengerusinya, Encik Halim Ayub, kesemua kegiatan tersebut berjalan dengan lancar dan dapat memberi pulangan yang memuaskan kecuali perniagaan kedai runcit yang hanya sekadar memberi pulangan yang sedikit. Namun, perniagaan tersebut akan terus dijalankan kerana dapat memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk sekitarnya.
"Pendapatan koperasi banyak dihasilkan melalui kerja kontrak integrasi perladangan kelapa sawit. Sementara itu, keuntungan bersih tertinggi yang pernah dicapai oleh koperasi adalah pada tahun kewangan 2006. Pencapaian tersebut diperoleh kerana harga komoditi sawit pada tahun itu sangat tinggi," jelas beliau.
Katanya, koperasi mempunyai 32 orang pekerja asing bagi menjalankan kegiatan perladangan kelapa sawit. Pekerja-pekerja tersebut ditempatkan di penempatan pekerja yang terletak berhampiran pejabat koperasi.
"Koperasi mempunyai sembilan buah lori yang berat muatannya tiga tan setiap satu bagi mengangkut buah sawit ke kilang sawit di Jengka 8. Jadi, seramai sembilan orang pemandu menjadi pekerja koperasi. Kesemua mereka terdiri daripada penduduk tempatan," jelasnya.
Setiausaha koperasi, Haji Yusof Yunus menyentuh mengenai perniagaan stesen minyak BHP. Katanya, seorang kerani dan tiga orang pekerja pam petrol bertugas di sini setiap hari dengan dua syif. Perniagaan ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penduduk di sini kerana ia merupakan satu-satunya stesen minyak yang ada di sini.
"Kami telah merancang untuk menaik taraf kemudahan yang terdapat di stesen minyak ini. Antara pengubahsuaian yang akan dilakukan ialah membina kedai mini, membaiki tandas, surau dan sebagainya. Dijangkakan pembinaan bermula pada bulan Julai tahun ini. Pengubahsuaian ini dijangka menelan kos sebanyak RM30,000.00," ujar beliau.
Sementara itu, Bendahari koperasi, Haji Mohd. Kadri Haji Othman yang turut serta dalam temu bual ini memberitahu, koperasi kini mempunyai empat pintu rumah kedai yang terletak tidak jauh dari pejabat koperasi. Tiga pintu digunakan oleh koperasi menjalankan kegiatannya dan sebuah lagi disewakan kepada seorang peniaga kedai makan.
Katanya, kegiatan yang dijalankan oleh koperasi ialah perniagaan kedai runcit, penjualan perkakasan dan baja serta perniagaan perabot, barangan elektrik dan motosikal. Semua perniagaan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Selain dari menaik taraf stesen minyak, pihak koperasi turut merancang untuk membuat pengubah-suaian pejabat koperasi. Pengubahsuaian tersebut perlu dilakukan kerana keadaan pejabat koperasi sekarang agak uzur dan beberapa kemudahan tidak terdapat di sini," jelas beliau.
Akhirnya, beliau mengharapkan semua anggota koperasi memberi sokongan dan kerjasama padu terhadap perkembangan koperasi. Paling penting ialah anggota perlulah menjadi pelanggan setia kepada perniagaan yang dijalankan oleh koperasi. Sekiranya koperasi maju, pasti manfaatnya akan dapat dirasai oleh semua anggotanya.
<< Kembali