Hari JEDA Ogos 2009
Oleh : Nor Azah Abdul Aziz
naa@angkasa.coop
Pegawai-Pegawai Pelajaran ANGKASA telah mengikuti Program Hari Jeda atau Hari 'J' sebagai aktiviti bulan Ramadan Unit Kursus ANGKASA. Program yang dijalankan pada 26 Ogos 2009 di Dewan Serbaguna ANGKASA adalah bagi membincangkan tentang perubahan yang akan dilakukan pada modul-modul kursus selain dapat memantapkan lagi Pegawai Pelajaran dengan lebih berkesan melalui pertukaran dan buah fikiran.
Perkara tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) merangkap Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Armi Haji Zainudin. Menurutnya lagi, perancangan telah dibuat memandangkan program akan diadakan pada bulan Jun hadapan. Sebarang cadangan mengenai program tersebut boleh dikemukakan.
Para Pegawai diminta mengemukakan pandangan masing-masing dalam bulan Mac dan boleh memulakan penulisan modul dan buku program. Dijangkakan dalam bulan Jun penulisan modul dan buku program tersebut telah boleh dicetak dan diedarkan. Sebagai makluman, beliau mengumumkan bahawa Dasar Koperasi Negara juga turut digubal dan kini dalam proses penggubalan yang kedua.
Harapan beliau, pada tahun 2010 hingga 2011 nanti, semua program akan menjadi lebih tersusun dan mantap. Bagi tujuan itu, ANGKASA telah menganjurkan Kursus Tatacara Dan Etika Berkomunikasi Dalam Mesyuarat.
Seminggu berkursus, Pegawai-Pegawai Pelajaran telah dimaklumkan tentang peruntukan kewangan program B4P tahun 2009/2010. Peruntukan kewangan ini telah disampaikan oleh Pengurus Pelajaran, Haji Md. Ali Ahmad. Para Pegawai juga turut dikehendaki membuat penyemakan modul mengikut kumpulan masing-masing. Hasil penyemakan berkumpulan dibentangkan selain mengadakan perbincangan mengenai cara pengendalian dan perlaksanaan kursus dan seminar.
Pegawai-pegawai turut membincangkan isu-isu dalam gerakan koperasi selain mengenal pasti tajuk kajian kes bagi melatih pegawai-pegawai menulis kes-kes untuk diguna pakai dalam kursus dengan tujuan memantapkan kursus. Program ini mengenal pasti tajuk koperasi dan tempatkan di koperasi-koperasi dan menganalisa. Sementara Prof. Dr. Zainal Abidin, penceramah dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) hadir bercakap mengenai "Bagaimana Menjalankan Kajian Kes Yang Berkenaan".
Hari 'J' diakhiri dengan penyemakan borang penilaian kursus dan seminar serta majlis penutupan.
<< Kembali