PELANCAR ONLINE
November 2009

ARKIB PELANCAR


 

Pengerusi Kembali Bertukar Tangan
Oleh : Muhammad Harun
matharun@angkasa.coop

Kalah atau menang merupakan adat pertandingan. Mereka yang kalah tidak perlu rasa kecewa dan yang menang jangan pula leka. Inilah yang berlaku di dalam mesyuarat pertama JPN Terengganu sesi 2009/2010, apabila Dato' Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail gagal mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Terengganu.

Jawatan tersebut kini disandang oleh Haji Mohamed Jais Hassan. Ini bermakna beliau hanya sempat berehat sepenggal sahaja menduduki jawatan sebagai Pengerusi JPN Terengganu setelah gagal mempertahankannya pada sesi lalu.

Hakikatnya, semua pihak haruslah menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan merapatkan kembali barisan dalam satu pasukan demi manfaat koperasi di seluruh Terengganu.

Dalam persidangan kali ini, menyaksikan Pengganti Pengerusi, Dato' Haji Hashim Mamat dan Bendahari, Haji Abdul Rashid Awang tidak dipilih oleh perwakilan sebagai Anggota JPN. Dua muka baru yang dipilih sebagai Anggota JPN Terengganu ialah Haji Ismail Muda dan Encik Wan Ahmad Nadzri Wan Abdullah.

Dalam ucapan Pengerusi JPN, mantan Pengerusinya, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail telah mengumumkan tiga perkara pokok iaitu Koperasi SMK Agama Al-Falah Kemaman Terengganu Berhad telah dipilih sebagai juara (Enam Bintang) bersempena sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) 2009.

Perkara kedua ialah kerajaan negeri Terengganu pada dasarnya telah bersetuju akan menubuhkan Yayasan Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi. Akhir sekali ialah ANGKASA Pusat telah bersetuju untuk membeli bangunan tiga tingkat yang dijangka siap pada Julai tahun hadapan.

Beliau mengharapkan semua pihak perlulah berganding bahu dan menyokong setiap kegiatan koperasi yang boleh memberi manfaat kepada anggota masing-masing. Kerajaan negeri Terengganu katanya, sentiasa akan membantu dan menyokong gerakan koperasi di negeri ini demi manfaat bersama.

Sementara itu, Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum dalam ucapannya menyentuh mengenai keputusan kerajaan mengekalkan urusan potongan gaji diserahkan kepada pihak ANGKASA. Sebelum ini ada ura-ura mengatakan bahawa pihak Akauntan Negara akan memberikan kod potongan kepada bank secara terbuka.

Katanya, kalau perkara tersebut berlaku maka banyak koperasi kredit akan terjejas kegiatannya. Secara langsung ANGKASA turut akan menghadapi musibah dan masalah besar. Dengan keputusan kerajaan mengekalkan urusan potongan gaji diserahkan kepada ANGKASA maka ia memberi kelegaan kepada banyak pihak.

Dalam majlis ini, beliau menyerahkan zakat perniagaan ANGKASA untuk negeri Terengganu bagi tahun 2008/2009 kepada Penolong Setiausaha Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu, Encik Nazli Amirri Ngah berjumlah RM51,554.49. dari 254 buah koperasi ahli. Turut disampaikan ialah hadiah penghargaan Koperasi Pelanggan Terbaik BPA 2009 yang dianugerahkan kepada Koperasi Guru-Guru Terengganu Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Haji Alias Yahya.

Persidangan kali ini dihadiri oleh 229 perwakilan daripada 113 buah koperasi. Seperti kelazimannya, Naib-Naib Yang Dipertua ANGKASA iaitu Dato' Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, Hajah Armi Haji Zainudin dan Haji Mustapha Kamal Maulut telah hadir dan melaporkan aktiviti, pencapaian dan program yang dipengerusikan oleh mereka. Laporan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) disampaikan oleh Encik Zaharuddin Alias.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan ANGKASA iaitu Encik Nasir Khan Yahaya (Pengurus Umum), Encik Mohammad Zamri Yaacob (Setiausaha), Haji Yahya Mohd. Amin (Pengurus Peyakin), Encik Hasnan Mustapha (Ketua Bahagian 4P) dan Encik Ismail Ibrahim (Timbalan Bahagian Kewangan).

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Pengerusi Kembali Bertukar Tangan