PELANCAR ONLINE
Mei 2010

ARKIB PELANCAR


 

ANGKASA Gesa 7 Juta Anggota Kurangkan Gula

Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menaruh keyakinan tinggi agar Kempen Kurangkan Penggunaan Gula Dan Peranan Koperasi yang dilancarkan anjuran ANGKASA mencapai objektifnya apabila dapat disampaikan kepada tujuh juta anggota koperasi seluruh negara.

Menterinya, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Dato’ Tan Lian Hoe menyatakan keyakinan demikian dalam satu Majlis Pelancaran kempen berkenaan di Dewan Auditorium Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, pada 7 April 2010 lalu di hadapan kira-kira 450 hadirin yang terdiri daripada koperator dewasa dan sekolah.

Menurut beliau, pendekatan ANGKASA untuk melancarkan kempen kurangkan gula ini sangat bertepatan dengan hasrat KPDNKK yang giat berusaha menyedarkan masyarakat Malaysia supaya mengurangkan penggunaan gula dalam usaha mendidik rakyat mengamalkan cara hidup sihat sekali gus bebas daripada pelbagai penyakit kronik yang berpunca daripada pengambilan gula secara berlebihan.

“KPDNKK juga berbangga kerana kempen yang dianjurkan ANGKASA ini dapat disampaikan kepada kira-kira tujuh juta anggota koperasi seluruh negara. Ini kerana kumpulan sasar untuk kempen ini adalah sangat besar dan boleh dikatakan hampir setiap anggota individu koperasi juga berperanan sebagai ketua keluarga.

“Di samping itu, pihak kementerian yakin dengan bilangan ahli koperasi yang begitu besar ini, ia dapat menyampaikan maklumat-maklumat tersebut dan seterusnya menjadi agen perubahan (change agent) bukan sahaja di peringkat isi rumah, tetapi juga di peringkat koperasi masing-masing. Oleh yang demikian, langkah sebegini dan penglibatan ANGKASA dalam melaksanakan kempen ini amat bertepatan dan bersesuaian dalam menyebarluaskan maklumat mengenai kepenggunaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi fakta yang memeranjatkan melalui kajian yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa rakyat Malaysia mengambil sebanyak 26 sudu teh gula sehari, iaitu hampir tiga kali ganda dari jumlah ideal yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 10 sudu teh gula sehari termasuk gula tersembunyi dalam makanan.

“Fakta lain yang membimbangkan ialah terdapat lebih kurang 1.2 juta pesakit diabetes di Malaysia dan angka ini terus bertambah setiap tahun manakala menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (2006), peratusan orang dewasa yang mengalami masalah berat badan berlebihan adalah sebanyak 29.1 peratus berbanding 16 peratus pada kajian terdahulu (1996),” ujarnya.

Selain masalah kesihatan, isu bebanan tanggungan kerajaan juga merupakan isu yang wajar ditangani kerana gula adalah barangan yang disubsidi oleh kerajaan. Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM1.008 bilion tahun 2010 untuk subsidi gula supaya harga gula kekal pada harga sekarang RM1.65 sekilo iaitu dengan subsidi sebanyak RM0.80 sekilo.

Sehubungan itu katanya, kementerian kini sedang meng-gunakan pendekatan mengubah corak pemakanan masyarakat secara sukarela agar bebanan kerajaan dalam tanggungan subsidi akan berkurangan dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, dalam ucapan aluan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Ali Haji Baharum, beliau mengajak semua koperator seluruh negara untuk menjalankan kempen bermula pada hari berkenaan dengan sama-sama menarik perhatian pengguna untuk menggunakan produk keluaran koperasi. Tambahnya, dengan jumlah keanggotaan koperasi seramai 7 juta orang, beliau yakin, pengaruh yang ada itu dapat merealisasikan hasrat tersebut.

Turut hadir dalam majlis ber-kenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Puan Mahani Tan Abdullah; Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah; Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Armi Haji Zainudin; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA dan pegawai-pegawai kanan KPDNKK.

Sebelum itu, satu sesi ceramah berkaitan isu kesihatan dan ke-penggunaan telah di-adakan. Ceramah per-tama disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pema-kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Encik Mohamad Noor Baharom bertajuk “Makan Secara Sihat”. Penceramah kedua pula ialah Ketua Penolong Pengarah (P), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Puan Dayang Siti Noor Jehan Awang Mohd. Saufi dengan tajuknya “Hak Pengguna”.

Menurut Encik Mohamad Noor, gula berfungsi dalam membekalkan tenaga, sebagai pemanis makanan dan minuman serta bahan pengawet. Ia memainkan peranan penting dalam memberi rasa, tekstur pada makanan dan pengambilan gula bagi orang dewasa normal yang perlu dihadkan kepada 15 peratus dari 2,000 kilo kalori atau 10 hingga 11 sudu teh sehari. Jumlah ini termasuklah gula yang tersembunyi dalam makanan seperti dalam kuih-muih manis, puding, aiskrim dan sebagainya. Dalam pembentangan tersebut, beliau memberi panduan kepada para hadirin mengenai panduan mengurangkan pengambilan gula seperti memilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut di samping mengurangkan memakan makanan dan minuman manis dalam pemakanan seharian.

Sementara itu, ceramah “Hak Pengguna” yang disampaikan oleh Puan Dayang Siti Noor Jehan berkisar mengenai ilmu kepenggunaan berkaitan peranan dan tanggungjawab sebagai pengguna, tabiat pengguna, taktik perniagaan yang diamalkan peniaga masa kini, pengguna bijak serta isu-isu semasa berkaitan skim cepat kaya, keselamatan makanan dan gores dan menang.

Di samping itu, hadirin juga dimaklumkan tentang dua kaji selidik antarabangsa yang mendapati pengguna di Malaysia adalah antara ‘penagih’ beli-belah (shopaholic) ang paling tegar di dunia iaitu membabitkan pembelian barangan yang digemari (14 peratus) manakala membeli barangan keperluan (78 peratus). (Sumber ACNielsen, Berita Harian: 15 Jun 2006). Selain itu, penceramah turut mengambil kesempatan berkongsi fakta penting iaitu Kajian Profil Pengguna Malaysia Fasa II (2009) mendapati hanya 58 peratus rakyat Malaysia sedar hak mereka sebagai pengguna dan angka ini amat mengecewakan apabila separuh rakyat Malaysia tidak menyedari akan hak mereka sebagai pengguna.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

ANGKASA Gesa 7 Juta Anggota Kurangkan Gula