![]() |
Selesaikan Masalah Di Kalangan Pemandu
PERNAH suatu ketika dahulu, Koperasi Serbaguna Teksi Seberang Perai Selatan Berhad yang ditubuhkan pada 11 Julai 1969 menjalankan perkhidmatan kereta sewa dengan memiliki kereta sewanya sendiri. Namun ianya tidak dapat bertahan lama disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Pendapatan melalui perkhidmatan ini tidaklah begitu lumayan sedangkan kos untuk penyelenggaran kenderaan kadangkala melebihi daripada pendapatan. Oleh itu, koperasi terpaksa menanggung kerugian bagi kerja-kerja penyelenggaraan tersebut hinggalah koperasi mengambil keputusan menjual kereta sewanya. Namun kini, koperasi masih bergiat aktif dalam kegiatan pengangkutan walaupun tidak memiliki kereta sewanya sendiri. Menurut Jamaluddin Mohd. Taib, kini koperasi telah menawarkan permit kereta sewa kepada anggotanya yang memiliki teksi sendiri. Dengan ini, segala urusan penyelenggaraan akan ditanggung sendiri oleh anggota dan koperasi tidak akan menghadapi risiko kerugian dan sebagainya. Beliau menjelaskan bahawa, koperasi memiliki sebanyak 10 permit kereta sewa dan setiap satu permit disewakan kepada anggota dengan kadar bayaran sebanyak RM60 sebulan. Melalui sewaan permit ini, koperasi mampu memperolehi pendapatan kira-kira RM600 sebulan. Koperasi telahpun membuat permohonan untuk menambah jumlah permit kereta sewa dan sedang menunggu kelulusan. Perkhidmatan kereta sewa ini mula beroperasi dari jam 6.30 pagi hinggalah 8.00 malam dan stesennya terletak di pekan Nibong Tebal. Haji Jamaluddin menyatakan, walaupun koperasi hanya menyewa permit kereta sewa namun beliau sering mengunjungi stesen kenderaan pengangkutan awam ini, melihat perkembangan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Sekiranya dahulu, pekerjaan ini mampu memberi pulangan yang lumayan kepada pemandu tetapi hari ini mereka perlu bekerja lebih masa untuk meraih pendapatan yang lebih. Katanya, sebelum ini pemandu mampu memperolehi pendapatan sebanyak RM70 sehari namun kini hanya mampu memperolehi pendapatan sebanyak RM30 sehari. Banyak faktor yang menyumbang kepada kekurangan pendapatan pemandu. Antaranya harga minyak yang telah meningkat, kemampuan masyarakat sekarang ini yang sudah memiliki kenderaan sendiri dan pengangkutan awam lain seperti bas ekspres yang mengambil dan menurunkan penumpang di banyak lokasi di sepanjang perjalanan sebelum sampai di stesen bas ekspres. Bagi lokasi seperti bandar-bandar besar, mendapatkan penumpang tidak menjadi masalah kerana ianya merupakan tumpuan ramai memandangkan pusat membeli belah, kedai dan sebagainya beroperasi hingga lewat malam. Perkhidmatan pengangkutan awam seperti teksi dan kereta sewa sentiasa diperlukan. Namun pekan kecil seperti Nibong Tebal ini, kebiasaannya jam 10.00 malam sudah sepi. Sekarang ini pun katanya, kebanyakan pelanggan mereka adalah terdiri daripada kalangan pekerja-pekerja asing yang semakin ramai membanjiri kawasan ini. Sebagai Setiausaha, beliau merasakan perlu ada satu tindakan daripada pihak koperasi sendiri untuk mengatasi masalah yang dihadapi pemandu. Koperasi tidak boleh bergantung kepada pihak lain untuk membantu tetapi mereka sendiri perlu mencari jalan penyelesaian dalam setiap perkara yang dihadapi. Buat masa sekarang koperasi sedang meninjau peluang perniagaan lain yang boleh dijalankan dan pada masa yang sama, dapat melibatkan anggota yang terdiri di kalangan pemandu untuk menggerakkannya bersama-sama demi manfaat bersama. - ZULKARNAEN ABD. RANI |
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Untuk paparan terbaik gunakan
pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001 webmaster@angkasa.coop