PELANCAR ONLINE
Mei 2006

ARKIB PELANCAR

Fakta Terkini Tentang Koperasi

PADA hari ini, bilangan anggota koperasi adalah seramai 5.5 juta orang dengan bilangan koperasi berdaftar mencecah angka 4706 buah. Manakala modal syer terkumpul pula adalah sebanyak RM6.7 bilion dan aset terkumpul dicatatkan berjumlah RM32.7 bilion.

Persoalannya kini bolehkah kita berpuas hati dengan kedudukan dan pencapaian tersebut? Adakah statistik di atas mencerminkan bahawa sememangnya sektor koperasi kuat dan kukuh? Jika Bank Rakyat sebuah bank yang beroperasi di atas prinsip-prinsip koperasi dengan modal syer terkumpul berjumlah RM1.95 bilion dengan aset berjumlah RM23.95 bilion dikeluarkan dari perkiraan tersebut, maka kita akan dapati bahawa modal syer sebenar adalah RM4.75 bilion dan aset terkumpul sebenar koperasi adalah RM8.75 bilion. Dan pada masa yang sama dari jumlah keseluruhan koperasi yang berdaftar, 1816 buah adalah koperasi sekolah dan saya tidak menafikan di sini bahawa dari jumlah 5.5 juta orang anggota tersebut, seseorang itu mungkin menjadi anggota kepada lebih dari satu koperasi. Berdasarkan dari perkiraan tersebut, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa pencapaian gerakan koperasi dari aspek keseluruhan merangkumi modal, aset, bilangan anggota dan bilangan koperasi berdaftar, pada masa ini belum boleh kita berpuas hati.

Di samping itu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi sehingga 30 Jun 2005 menunjukkan bahawa dari segi modal sebanyak 334 buah koperasi mempunyai modal syer kurang dari RM100 000; sebanyak 710 buah koperasi mempunyai modal syer antara RM100 000 hingga RM1 000 000; sebanyak 239 buah koperasi mempunyai modal syer antara RM1 000 001 hingga RM10 000 000; sebanyak 70 buah koperasi mempunyai modal syer RM10 000 001 hingga RM100 000 000 dan hanya tujuh buah koperasi mempunyai modal syer melebihi RM100 000 000. Nyata sekali bahawa statistik tersebut memberikan gambaran tentang sejauh mana koperasi negara ini boleh terlibat dalam kegiatan ekonomi. Menyentuh tentang aktiviti koperasi daripada 4651 buah koperasi yang didaftarkan; dilaporkan sebanyak 122 buah koperasi adalah tidak aktif dan sebanyak 398 buah adalah dorman. Bagi bilangan koperasi yang berjaya adalah sebanyak 2107 buah yang melibatkan keanggotaan seramai 3 260 271 orang dengan jumlah saham sebanyak RM3.9 bilion berbanding dengan bilangan koperasi tidak berjaya iaitu sebanyak 2544 buah yang melibatkan keanggotaan seramai 2 191 802 orang dengan jumlah saham sebanyak RM2.8 bilion. Mengikut laporan berdasarkan akaun yang teraudit sehingga penghujung tahun 2003, hanya 3668 buah koperasi yang mencatatkan keuntungan manakala 842 buah koperasi mencatatkan kerugian. Jika dilihat pertumbuhan koperasi dalam sektor perladangan pula, ianya semakin menguncup dari 221 buah pada tahun 2003 kepada 189 buah pada tahun 2004.2

Petikan ucapan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Seminar Hala Tuju Gerakan Koperasi di Hotel Hilton, Petaling Jaya, pada 14 Februari 2006.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Fakta Terkini Tentang Koperasi