PELANCAR ONLINE
Mei 2006

ARKIB PELANCAR

Koperasi Kepala Batas Berhad : Buah Tangan Haji Ahmad Badawi

ANGKASA giat menjalankan projek Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dengan melibatkan beberapa tokoh terkenal, terutamanya mereka yang pernah menyumbang dalam sektor pelajaran negara. Bagi negeri Pulau Pinang, dua tokoh dipilih, iaitu Syed Sheikh Al-Hadi dan Haji Ahmad Badawi, ayahanda Perdana Menteri Malaysia kini.

Wakil PELANCAR berkesempatan membuat liputan ke Koperasi Kepala Batas Berhad yang digagaskan penubuhannya oleh Allahyarham Haji Ahmad Badawi sendiri bersama beberapa teman rapatnya pada April 1968. Pada awal penubuhannya koperasi itu dinamakan Syarikat Bekerja Sama-Sama Serbaguna Kepala Batas Seberang Perai Utara Dengan Tanggungan Berhad. Bagaimanapun pada 12 Jun 1998 namanya ditukar kepada Koperasi Kepala Batas Berhad.

Bagi penduduk sekitar Kepala Batas sendiri, siapa yang tidak kenal Haji Abdullah Fahim, Haji Ahmad Badawi dan Abdullah Haji Ahmad Badawi. Ketiga-tiganya telah membawa perubahan besar dalam arus pelajaran di daerah itu dan juga pentadbiran negara. Bermula dengan penubuhan Daeratul Maarif Wataniah di Kepala Batas pada 1955 oleh datuk kepada Perdana Menteri, iaitu Haji Abdullah Fahim, sistem pelajaran dan ekonomi berkembang di daerah itu.

Tujuan asal penubuhan koperasi, antara lain untuk meningkatkan ekonomi anggota khususnya dalam memberikan pinjaman kewangan, derma siswa dan mengutamakan pelajaran anak-anak, membuat baja padi untuk tujuan pertanian, melibatkan diri dalam perniagaan jualan pasir (kegiatan ini berlangsung selama lebih 20 tahun), jualan susu pekat, membuat perniagaan runcit, perniagaan simen dan khidmat pengangkutan (dua buah lori angkut).

Hasil jualan pasir selama beberapa tahun, membolehkan koperasi ini mampu membeli unit kedai di Kompleks Dato’ Kailan, Kepala Batas. Kebanyakan unit kedai tersebut disewakan, sama ada kepada anggota dan juga orang awam untuk menjalankan perniagaan.

Aset yang dibeli pada tahun 2005 itu juga merupakan sumber pendapatan utama kepada koperasi kini, iaitu sebanyak RM2500 sebulan. Koperasi juga mempunyai satu lagi bangunan kedai yang terletak di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas yang masih belum disewa.

Koperasi turut memberi pinjaman untuk pembelian kenderaan sehingga RM20 000 bagi setiap anggota. Konsep pinjaman ini berlainan daripada konsep pinjaman konvensional secara tunai.

“Kami mendapat nasihat daripada pegawai-pegawai di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Pihak koperasi dinasihat supaya menghadkan jumlah pinjaman kerana bimbang berlaku kerugian sekiranya pembayaran pinjaman gagal dibuat. Ia merupakan langkah berhati-hati yang perlu diambil koperasi, dan memperlihatkan pemantauan oleh agensi yang menaungi koperasi ini,” demikian ulasan Pengerusi, Haji Ismail Saad, iaitu salah seorang anggota pengasas koperasi ini yang masih ada dan memegang jawatan.

Menurutnya, hasil perkhidmatan tersebut, koperasi memperoleh RM17 000 berdasarkan modal sebanyak RM90 000 bagi lima anggota koperasi ini yang meminjam untuk membeli kenderaan.

Pada 2006 ini, koperasi bercadang untuk memajukan koperator wanitanya yang juga merupakan sebahagian besar, anggota Koperasi Wanita Kepala Batas Berhad dalam bidang pelabelan produk kuih-muih tradisional. Hasrat koperasi ini adalh untuk menjadikan sistem pembungkusan dan pelabelan lebih sistematik, cantik dan berupaya menarik lebih ramai pelanggan.

Koperasi ini berhasrat untuk menggabung dan memajukan koperasi-koperasi yang terdapat di sekitar daerah Kepala Batas mengikut bidang ekonomi yang bersesuaian.

“Kami mahu orang Melayu sama-sama maju dalam sektor ekonomi yang kami ceburi. Kalau orang koperasi sahaja yang hidup senang, sedangkan saudara dan jiran tetangga yang berdekatan dengan kita tidak dibantu, tidak ada maknanya koperasi itu ditubuhkan. Inilah satu khidmat kebajikan yang kami rancang selaras dengan hasrat para pengasas koperasi ini dahulu,” ujar Naib Pengerusi pula, Haji Ghazali Haji Abdul Rahim. Beliau juga adalah salah seorang anggota pengasas koperasi ini.

“Kami juga merancang untuk menambah modal bagi membeli bangunan dan tanah. Selain boleh digunakan sendiri oleh koperasi atau anggota, ia juga boleh mendatangkan sumber kewangan kepada koperasi sekiranya disewakan dan sebagainya,” ujar beberapa ALK lain yang turut serta di pertemuan bersama wakil PELANCAR itu.

- NORLAILI MANSOR

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Koperasi Kepala Batas Berhad : Buah Tangan Haji Ahmad Badawi