PELANCAR ONLINE
Mei 2006

ARKIB PELANCAR

PKS Menepati Falsafah Pendidikan Negara

SUATU majlis perbincangan Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) peringkat negeri Melaka telah diadakan pada 28 Februari 2006 lalu, bertempat di Hotel Equatorial, Bandar Hilir. Tujuan majlis tersebut diadakan ialah untuk memberikan kedudukan serta perkembangan terkini mengenai program PKS selain mendapatkan maklumbalas tentang masalah serta isu pelaksanaan dan keberkesanan program itu bagi tujuan perancangan projek PKS akan datang.

Ia juga merupakan satu pentas kepada pihak koperasi yang telah melaksanakan PKS pada tahun 2005 untuk memfokus kepada pelan tindakan dan gerak kerja pelaksanaan PKS pada tahun 2006 ini.

Pengurus Pelajaran Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P), Haji Md. Ali Ahmad dalam ucapannya berkata, tujuan perbincangan itu diadakan adalah untuk mendapatkan maklumbalas daripada koperasi sekolah Hos dan Tamu yang telah melaksanakan projek pada tahun 2005 selain menerangkan perkembangan terkini PKS.

Beliau menyampaikan beberapa maklumat atau data status pelaksanaan PKS di peringkat negeri Melaka, di samping menerangkan serba sedikit kandungan modul PKS yang memberi ilmu mengenai pengurusan perbelanjaan (budgeting). Koperasi sekolah Hos digalakkan untuk terus melaksanakan PKS dan pada masa yang sama terlibat sebagai Tamu kepada koperasi sekolah Hos yang lainnya.

Sementara itu, wakil Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Haji Kamaruddin Ismail menerangkan kepentingan koperasi sebagai salah satu kegiatan kokurikulum yang bermanfaat. Katanya, PKS merupakan salah satu kegiatan yang menepati falsafah pendidikan negara iaitu melahirkan, mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Selain memperkenalkan tokoh tempatan (negeri) kepada pelajar, program itu menggalakkan koperasi sekolah Hos yang telah melaksanakan projek lawatan pada tahun 2005 untuk merancang dan merangka projek lawatan untuk tahun 2006.

Hasil rumusan daripada perbincangan yang diadakan, satu persetujuan telah dicapai oleh pihak koperasi sekolah untuk melaksanakan PKS tahun 2006 berdasarkan pelan tindakan yang dibincangkan. Ini bermakna, satu pelan tindakan dan perancangan pelaksanaan PKS bagi tahun 2006 untuk koperasi sekolah di Melaka telah berjaya diadakan.

Seramai 15 orang peserta daripada enam buah koperasi sekolah telah hadir. Ia terdiri daripada dua orang pengetua dan 13 orang guru koperasi sekolah. Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Melaka, Haji Mohd. Sharif Ahmad.

Berita disumbangkan oleh :
Encik Abdul Halim Ibrahim,
Ketua Unit Institusi Pelajaran

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

PKS Menepati Falsafah Pendidikan Negara