ANGKASA Terajui Program Latihan Koperator
Oleh : Abdul Aziz Mohamed Yunus
Program Latihan ANGKASA adalah antara program yang bermatlamatkan informasi dan pendidikan bagi memajukan gerakan koperasi di negara ini. Program-program ini dilaksanakan bagi tujuan menanam prinsip-prinsip dan falsafah serta etika dalam berkoperasi. Bagi menguar-uarkan program ini, wakil PELANCAR telah berkesempatan mewawancara Pn. Hajah Armi Haji Zainudin selaku Naib Yang DiPertua merangkap Pengerusi Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA. Ikuti wawancara eksklusif ini.
Soalan: Tahniah di atas perlantikan Puan Hajah Armi atas pemilihan Puan sebagai Naib Yang DiPertua ANGKASA pada Persidangan Kebangsaan Tahunan (PKTA) ke-25 yang lalu dan juga dilantik sebagai Pengerusi Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA. Boleh Pn. Hjh terangkan apakah perancangan dan hala tuju program latihan pendidikan ANGKASA pada masa kini?
Jawapan: Terima kasih. Perancangan dan hala tuju yang ingin dilaksanakan oleh ANGKASA ialah dengan mempelbagaikan lagi kursus-kursus baru yang bertepatan dengan keperluan semasa gerakan koperasi dan dasar-dasar kerajaan. Dalam Rancangan Malaysia Ke9, koperasi telah diiktiraf sebagai sektor ekonomi ketiga dan kerajaan inginkan sektor koperasi meningkatkan sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 1% kepada 5% pada tahun 2013 nanti. Sehubungan itu B4P akan memperkenalkan kursus-kursus baru yang pendekatannya lebih menjurus kepada strategi pengurusan perniagaan yang berkesan. Sebagai contohnya kursus yang difikirkan wajar untuk dilaksanakan adalah seperti Kursus Pengurusan Strategik, Kursus Tadbir Urus serta Kursus Perancangan Perniagaan. Bagi memperkasakan kursus ini kelak, B4P akan melihat dan menilainya dalam pelbagai sudut serta menyeluruh.
Disamping itu juga B4P akan mengadakan seminar-seminar dan bengkel-bengkel yang membincangkan isu-isu semasa yang boleh mempengaruhi suasana perniagaan koperasi yang lebih kondusif. Program ini berbeza dengan program yang akan dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan. Oleh itu, B4P sentiasa menjalin kerjasama dengan unit itu. Sehubungan itu, B4P juga akan mempelbagaikan program-program kemahiran asas yang menjurus kepada pemantapan pentadbiran dan pengurusan perniagaan koperasi.
Soalan: Aktiviti Program Latihan Pendidikan B4P adalah antara yang terbesar di ANGKASA. Boleh Pn. Hjh. terangkan apakah aktiviti-aktiviti latihan pendidikan yang sedang dijalankan?
Jawapan: Sejak penubuhan Angkasa pada tahun 1971, ANGKASA telah bergerak pantas menerajui pelbagai program latihan yang berkualiti bagi menggerakkan gerakan koperasi di negara ini. Selaku badan apex, ANGKASA melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ( JKT ) dan Jawatankuasa Kerja Kebangsaan (JKK) sentiasa mengenalpasti program-program pendidikan baru untuk ahli ANGKASA. Melalui pengendalian di Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) program latihan ANGKASA dari semasa ke semasa semakin bertambah. Program ini disusun dan dirancang agar perjalanan program ini mencapai matlamat dan sasarannya.
Semenjak tahun 2003 hingga kini, B4P melalui Unit Kursus dan Seminar menitik-beratkan Kursus wajib ANGKASA siri 1 untuk Anggota Lembaga Koperasi, Kursus Wajib ANGKASA Siri 2 untuk Juru Audit Dalaman dan Kursus ANGKASA Siri 3 untuk Anggota Lembaga Koperasi Sekolah. Melalui kursus-kursus ini peserta-peserta kursus dapat memperkukuh dan memperkasa koperasi yang dipimpin oleh mereka.
Selain itu, B4P juga tidak mengabaikan kursus-kursus asas untuk anggota koperasi. Kursus-kursus asas mempunyai matlamat dan sasarannya sendiri. Ada yang dikhususkan untuk koperasi dewasa, koperasi sekolah dan koperator wanita. Untuk koperator wanita misalnya, B4P telah mengendalikan beberapa kursus iaitu Kursus Keterampilan Bertutur (KKB), Kursus Asas Kepimpinan, Kursus Asas Kejurulatihan Koperator Wanita dan Kursus Pembangunan Koperator Wanita. Dengan kerjasama Bank Negara, B4P telah memperkenalkan Kursus Pengurusan Kewangan Keluarga. Kursus ini diadakan bertujuan bagi memberi penekanan kepada aspek pengurusan kewangan oleh koperator-koperator wanita yang memainkan peranan penting bagi membantu menguruskan kewangan keluarga dengan cekap dan berhemah.
Manakala untuk koperasi dewasa pula, Kursus Tatacara Pengurusan Mesyuarat & Minit Koperasi Dewasa dan Kursus Tatacara & Etika Berkomunikasi Dalam Mesyuarat Agung merupakan kursus baru. Kursus-kursus ini adalah penting bagi memastikan dalam tadbir urus koperasi dan pemahaman serta kelancaran dalam mengendalikan sesuatu Mesyuarat Agung koperasi. Saya berharap ALK koperasi mengambil kesempatan meluang masa untuk menghadiri kursus ini walaupun mereka telah mempunyai maklumat mengenainya. Di samping itu, saya juga berharap Kursus Touch Typing yang dikendalikan secara bersama dengan UiTM mendapat sokongan daripada ahli ANGKASA. Sokongan yang dimaksudkan ialah ALK mengendalikannya di peringkat koperasi masing-masing.
Selain itu, terdapat juga kursus-kursus asas perniagaan yang disediakan oleh ANGKASA bagi memberi pendedahan asas terutama kepada koperasi-koperasi baru ditubuhkan dan koperasi yang baru menjadi ahli ANGKASA. Melalui program latihan asas seperti Kursus Asas I (KA 1) Pengenalan dan Tanggungjawab Anggota Koperasi, Kursus Asas II (KA 2) Pengenalan Perundangan Koperasi, Kursus Asas III (KA 3) adalah Asas Memahami Penyata Kewangan Koperasi di samping kursus-kursus lanjutan bagi memantapkan lagi pengurusan koperasi. Antara kursus lanjutan yang sedang dibangunkan adalah seperti Kursus Lanjutan Pentadbiran dan Pengurusan Koperasi iaitu dalam mengenengahkan isu-isu dalam Prinsip Koperasi dan Pembangunan Minda (KL 1), Pengurusan Kewangan & Pengauditan Koperasi (KL 2), Penilaian & Prestasi Koperasi (KL 3) dan Kursus Kemahiran ICT (KL 4). Program Majlis Bicara Ilmu yang baru diperkenalkan oleh ANGKASA bertujuan bagi memupuk semangat cintakan ilmu di kalangan para koperator disamping dapat menerapkan ciri-ciri keusahawanan di kalangan mereka.
Tidak ketinggalan juga terdapat kursus-kursus yang dikhususkan untuk koperasi sekolah ahli ANGKASA. Antaranya ialah Kursus Keterampilan Bertutur (KKB), Kursus Tatacara Pengurusan Mesyuarat & Minit Koperasi Sekolah serta Kursus Pengurusan Kedai Koperasi Sekolah. Kurus-kursus ini dikendalikan dalam tempoh sehari. Unit Institusi Pendidikan turut serta dalam mengembangkan pendidikan untuk koperasi sekolah seperti Kursus Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS). Kursus ini telah mendapat sambutan kerana konsep kursus ( hos dan tamu ) ini telah berjaya membuka minda anggota koperasi. Selain itu, bagi memperkasakan lagi kursus PKS, unit ini telah mengadakan Majlis Bicara Tokoh PKS. Majlis ini bertujuan mendekatkan peserta dengan tokoh PKS.
Terdapat juga latihan yang melibatkan bidang sukan. Bengkel Asas Permainan Petanq dan Strategi Petanq telah dilaksanakan oleh ANGKASA. Bengkel ini di jalankan bertujuan bagi melatih minda para pemain memberi fokus atau tumpuan yang lebih dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan. Bengkel Kejurulatihan Petanq pula adalah bagi melatih pelatih-pelatih sukan yang terlibat dalam permainan petanq ini.
Soalan: Saya lihat, prestasi dan pencapaian koperasi sekolah semakin meningkat. Jika tidak di pantau, ianya boleh menjejaskan prestasi dan pencapaian masa kini. Sehubungan itu, boleh Puan nyatakan strategi-strategi baru bagi memperkasakan lagi gerakan koperasi sekolah?
Dalam hal ini, B4P sentiasa mendapat pandangan dan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. B4P sentiasa mengadakan perbincangan tentang kursus yang sesuai. Antara kursus yang telah dikenalpasti ialah Kursus Untuk Pengetua Sekolah, Peranan Guru Koperasi Dalam Tadbir Urus Koperasi Sekolah dan Kursus Untuk Guru-Guru Pelatih KPLI. Tujuan utama kursus-kursus ini diadakan bagi memastikan ujudnya kesinambungan dalam mentadbir dan mengurus koperasi dengan cemerlang. Selain itu, melalui kursus ini juga B4P dapat mengumpul maklumat-maklumat baru terutama berhubung dengan aktiviti perniagaan koperasi.
Soalan: Baru-baru ini ANGKASA telah mengadakan program Majlis Bicara Ilmu yang melibatkan koperator-koperator di sekitar Lembah Kelang. Apakah tujuan dan matlamat program ini diadakan dan apakah perkara yang dibincangkan di dalam program ini.
Jawapan: Majlis yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan bagi memberi pendedahan dan maklumat kepada para koperator agar cintakan ilmu. Majlis ilmu yang dijalankan ini mampu dikongsi bersama oleh para koperator yang lain dengan tujuan dapat menyemai sifat keusahawanan melalui perkongsian pengalaman dengan para penceramah yang hadir. Buat pertama kalinya Majlis Bicara Ilmu ini telah membincangkan tentang “Rahsia Bisnes Orang Cina”. Tajuk ini dipilih bertujuan bagi menangkis tanggapan segelintir masyarakat Melayu yang sering beranggapan negatif terhadap masyarakat ini yang suka mengambil kesempatan dan menipu orang lain sehinggakan melalui aktiviti ini mereka berjaya meraih kejayaan dalam perniagaan. Ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu agar dapat mengubah cara pemikiran yang kuno dan sebaliknya terus berusaha bersungguh-sungguh di dalam memajukan perniagaan sebagaimana yang diamalkan oleh Orang Cina. Sifat yang amat ketara yang sering menghantui pemikiran Orang Melayu adalah seperti sifat hasad dengki, dendam, takbur dan riak yang mendalam yang tidak seharusnya ada pada mereka sebaliknya haruslah mengambil kira persaingan perniagaan yang sihat.
Soalan: Apakah kata-kata perangsang atau nasihat yang dapat diberikan oleh Pn. Hjh. selaku Pengerusi B4P kepada para koperator koperasi tentang pentingnya program latihan pendidikan ANGKASA bagi memantapkan lagi koperasi masing-masing.
Jawapan: Apa yang dapat saya katakan di sini ialah kejayaan sesebuah koperasi juga banyak bergantung pada kecekapan dan kebolehan tenaga kerjanya. Atas dasar ini, koperasi perlu memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan supaya kecekapan serta kemahiran mereka sentiasa dapat dipertingkatkan seiring dengan era perniagaan masa kini. Dengan itu ianya akan dapat memantapkan lagi hala tuju sesebuah koperasi itu. Bak kata pepatah Inggeris “Knowledge is Power” yang mana apabila modal insan di dalam sesebuah organisasi itu berpengetahuan, mereka lebih cekap dan berkebolehan untuk membawa organisasi tersebut ke tahap yang lebih cemerlang dan berdaya maju.
<< Kembali