KBKB Hebat Promosi Matrex Di Langkawi
ANGGOTA Lembaga Koperasi Bumiputera Kedah Berhad (KBKB) memulakan langkah terawal mereka di tahun 2007 ini dengan mengadakan mesyuarat Lembaga di Langkawi, melawat tanah milik koperasi, memberi taklimat kepada bakal-bakal anggota baru, bertemu dengan beberapa koperasi dan mempromosikan produk keluaran KBKB, Matrex kepada bakal ejen tunggal di Langkawi pada akhir Januari 2007 lalu.
Pertemuan dengan bakal-bakal anggota baru yang ingin menganggotai KBKB, turut diisi dengan penerangan tentang produk Matrex. Ramai yang berminat untuk mencuba keluaran minyak enjin tersebut.
Satu pertemuan juga diadakan dengan Encik Ahmad Long dan seorang Anggota Lembaga Koperasi Desa Cemerlang Berhad dari Kampung Sungai Itau, Langkawi. Respon yang diterima juga baik. Setelah mendengar tentang produk Matrex, satu lagi pertemuan susulan akan diadakan dengan semua Anggota Lembaga Koperasi Desa Cemerlang Berhad (KDC).
Pengerusi KBKB, Encik Ahmad Zuhdi Haji Yaacob amat berterima kasih kepada semua Anggota Lembaga Koperasi (ALK) / KDC yang sudi menerima kunjungan mereka. Selain menceritakan perkembangan dan kejayaannya, KBKB menawarkan bantuan kepada KDC dalam bidang perniagaan. Pengerusi KDC, Haji Maton Mahmud dalam ucapan balas mengalu-alukan kehadiran semua ALK KBKB. Produk Matrex keluaran KBKB akan dipertimbangkan dan kemungkinan besar perjanjian bersama (MoU) antara dua koperasi akan dimeterai secepat mungkin.
KDC yang baru ditubuhkan pada akhir tahun 2006, ingin belajar dari KBKB untuk terus maju dan meningkatkan produktiviti mereka. Dengan adanya bantuan dan sokongan dari koperasi yang telah lama berjaya, KDC yakin mereka juga akan berjaya. Di majlis ini juga, pihak KBKB berjaya menjalinkan hubungan baik di antara satu koperasi dengan koperasi yang lain. Sikap, saling bantu-membantu ini harus dipraktikkan dengan lebih prihatin oleh semua koperasi terutama sekali koperasi yang telah berjaya.