PELANCAR ONLINE
Mac 2007

ARKIB PELANCAR


 

Kanak-Kanak Dijaga Sepenuh Hati

PUSAT jagaan kanak-kanak yang diusahakan oleh Koperasi Wanita Jaya Pulau Pinang Berhad atau ringkasnya KONITA JAYA mula beroperasi pada awal tahun 2003. Pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di No. 1, Jalan Ismail Nagore, Gelugor merupakan rumah teres berkembar setingkat.

Bahagian bawah dijadikan tempat jagaan dan di bahagian atasnya dijadikan pejabat koperasi dengan kadar sewa RM1,000.00 sebulan. Rumah ini yang terletak di bahagian tepi deretan perumahan tersebut, mempunyai bahagian tanah yang agak luas untuk dijadikan tempat permainan kanak-kanak.

Menurut Pengerusi koperasi, Puan Fauziah Hani Yacob, pusat jagaan ini diberi nama Sweetheart Nursery. Sesuai dengan namanya, anak-anak di sini dijaga dengan sepenuh hati, seumpama menjaga anak-anak sendiri. Mereka diberikan belaian kasih sayang, diajar berbudi-bahasa, lemah-lembut dan diberi pemakanan yang baik.

Puan Fauziah memberitahu, pada asalnya tempat ini dicadangkan untuk dijadikan tempat jagaan warga emas. Hasrat itu dibatalkan kerana timbul beberapa masalah rumit telah timbul untuk memulakannya. Dengan itu, pihak koperasi telah bersetuju untuk menjalankan kegiatan pusat jagaan kanak-kanak.

Setelah lebih tiga tahun beroperasi, pihak koperasi telah berpuas hati atas sambutan yang diterima. Begitu juga dengan ibu bapa atau penjaga yang telah menghantar anak-anak mereka di pusat ini.

Rata-rata mereka berpendapat, anak-anak yang dihantar ke sini telah menunjukkan kemajuan diri. Mereka tampak lebih berani, berketerampilan dan pandai berbanding dengan kanak-kanak lain seusia mereka, di luar.

Menurut Puan Fauziah, pihak koperasi mempunyai pengasuh yang terlatih bagi memastikan anak-anak yang dihantar ke sini menerima didikan yang terbaik. Selain itu, segala keperluan di TASKA ini memang mencukupi dan lengkap. Contohnya, padang permainan yang bersih dan selamat, buku-buku bacaan yang sesuai dengan umur kanak-kanak di sini dan keselamatan yang terjamin.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa memantau dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak koperasi. Mutu makanan yang disediakan di sini diluluskan oleh pihak jabatan dengan memastikan ianya berzat dan berkhasiat untuk kanak-kanak,” jelas beliau.

Puan Fauziah memberitahu, bayaran yang dikenakan berpatutan dan tidak membebankan ibu bapa. Yuran yang perlu dibayar adalah seperti berikut :

Pendaftaran : RM30.00 Sepenuh Masa :
Satu tahun - Enam tahun : RM220.00

Bayi (sejak lahir hingga satu tahun) - RM250.00

Separuh Hari :
Satu tahun - Enam tahun - RM110.00
Bayi (sejak lahir hingga satu tahun) - RM125.00
Murid sekolah rendah - RM110.00

Pada tahun ini, KONITA JAYA telah menerima Anugerah Khas Koperasi Wanita sempena Hari Koperasi Negara 2006 pada 22 Julai 2006 yang lalu. Anugerah tersebut diberikan oleh pihak kerajaan, berdasarkan penglibatan anggota wanita yang berani menceburi bidang keusahawanan, anggotanya berminat dalam koperasi, berdikari, bersemangat dan mempunyai misi dan visi yang jelas.

Mengakhiri per-bualan dengan wakil PELANCAR, Puan Fau-ziah berharap KONITA JAYA terus berusaha menjadi koperasi yang boleh bersaing dengan koperasi-koperasi yang lebih maju, walaupun dianggotai oleh kaum wanita sahaja. Selain itu, KONITA JAYA akan menambahkan lagi kegiatannya, selain membuka pusat jagaan kanak-kanak seperti menceburi bidang automotif dan sebagainya.2

- MUHAMMAD HARUN

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Kanak-Kanak Dijaga Sepenuh Hati