PELANCAR ONLINE
Mac 2007

ARKIB PELANCAR


 

Garis Panduan Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2007

PENGENALAN

Perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS) telah mula disambut sejak tahun 1995 dan tahun ini merupakan tahun kedua HKS disambut di peringkat sekolah dengan pelbagai aktiviti berdasarkan garis panduan yang disediakan. Sambutan ini diadakan bertujuan untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik para pelajar supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi. Pada tahun 2006, 1,007 buah koperasi sekolah telah mengesah mengadakan sambutan HKS. Bagi tahun ini juga, HKS akan disambut di peringkat sekolah dan dijangka akan melibatkan penyertaan yang menyeluruh di kalangan para pelajar anggota koperasi, guru-guru, kakitangan sekolah dan masyarakat setempat.

PENYERTAAN
Terbuka kepada semua koperasi sekolah ahli ANGKASA.

PIHAK YANG TERLIBAT DENGAN HKS 2007

    Pihak-pihak yang akan terlibat secara langsung :
  • Koperasi Sekolah
  • Jabatan Pelajaran Negeri
  • Kementerian Pelajaran Malaysia
  • ANGKASA Pusat
  • Jabatan Pembangunan Koperasi
  • Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN)
  • Persatuan Ibubapa Guru (PIBG)
  • Masyarakat Setempat

TARIKH PERAYAAN DAN TEMA SAMBUTAN
Sambutan akan diadakan pada 17 hingga 23 Jun 2007 iaitu minggu keempat bulan Jun 2007. Koperasi sekolah boleh memilih salah satu hari dalam minggu tersebut.

Tema sambutan adalah “Nilai Koperasi Jamin Kesejahteraan”.

AKTIVITI – AKTIVITI HKS
Dua jenis aktiviti hendaklah diadakan di koperasi iaitu aktiviti wajib dan aktiviti pilihan. Setiap aktiviti sama ada aktiviti wajib atau pilihan hendaklah dibuat berdasarkan kreativiti pihak sekolah sendiri. Kesemua aktiviti yang dijalankan hendaklah berasaskan kepada tema sambutan.

Aktiviti Wajib
Bagi aktiviti wajib, pihak koperasi mesti mengadakan perkara-perkara berikut :

  1. Perhimpunan Khas
    • Pihak sekolah hendaklah mengumpul kesemua pelajar dalam satu perhimpunan khas atau perhimpunan mingguan yang biasa untuk sambutan HKS.
    • Pengetua atau Pengerusi koperasi akan memaklumkan tentang sambutan HKS serta tujuan diadakan. (ANGKASA akan membekalkan sejarah HKS untuk rujukan. Sejarah ini juga boleh dimuat turun dari laman web ANGKASA; www.angkasa. coop).
    • Pengetua atau Pengerusi koperasi hendaklah menerangkan kepentingan koperasi di sekolah dan perkembangan terkini serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan di koperasi sekolah mereka.
    • Lagu koperasi atau lagu ANGKASA bolehlah dimainkan semasa perhimpunan tersebut.
    • Perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Prof. Diraja Ungku A. Aziz hendaklah dibaca oleh pelajar semasa perhimpunan. (ANGKASA akan mengedarkan ketiga-tiga perutusan ke sekolah-sekolah dua minggu sebelum perayaan. Perutusan juga boleh dimuat turun dari laman web ANGKASA; www.angkasa.coop)

  2. Tambahan Aktiviti Semasa Perhimpunan Khas
    • Pihak koperasi sekolah juga boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti tambahan seperti berikut dalam majlis perhimpunan yang diadakan.
    • Pengiktirafan koperator terbaik koperasi sekolah
      Pihak koperasi bolehlah memberi pengiktirafan kepada mana-mana koperator yang telah menunjukkankecemerlangan sepanjang penglibatan mereka dalam koperasi. Antara pengiktirafan yang boleh diberikan ialah Anggota Lembaga Koperasi Terbaik, koperator terbanyak berlanggan di kedai koperasi dan sebagainya. Koperasi sekolah bolehlah menyediakan hadiah-hadiah untuk tujuan tersebut.
    • Edaran Tanda Peringatan HKS
      Satu tanda peringatan HKS berbentuk buku nota kecil, lencana, stiker atau lain-lain bentuk cenderahati bolehlah disediakan oleh pihak koperasi untuk mereka yang terlibat dengan sambutan atau untuk anggota-anggota di koperasi sekolah mereka sebagai tanda memperingati HKS.
    • Penanaman Pokok
      Pihak koperasi sekolah digalakkan mengadakan acara menanam pokok sama ada sebagai simbol sambutan HKS atau sebagai sumbangan koperasi sekolah kepada pihak sekolah untuk menghijaukan persekitaran.
      Aktiviti-aktiviti tambahan dalam perhimpunan khas akan diambilkira semasa penilaian dibuat oleh ANGKASA.
Aktiviti Pilihan
    Bagi aktiviti pilihan, tiga kategori aktiviti telah ditetapkan iaitu :
  • Pendidikan
  • Ekonomi
  • Sosial

Pihak koperasi sekolah hendaklah menjalankan sekurang-kurangnya satu daripada aktiviti-aktiviti yang tersebut. Pemberian markah juga akan berdasar kepada kuantiti aktiviti yang dijalankan. Jika koperasi sekolah menjalankan lebih daripada satu aktiviti, tambahan markah akan diberikan. Kesemua aktiviti yang dijalankan hendaklah mengikut kreativiti pihak sekolah dan sebagai Badan Penilai, ANGKASA tidak akan terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Antara contoh-contoh aktiviti adalah seperti berikut :

  1. Aktiviti Pendidikan
      Contoh Aktiviti :
    • Ceramah Koperasi.
    • Seminar Koperasi.
    • Pertandingan Perbahasan/Pidato.
    • Forum Koperasi.
    • Lain-lain berdasarkan kreativiti koperasi.
  2. Aktiviti Ekonomi
      Contoh Aktiviti :
    • Jualan barangan terpakai atau barangan kitar semula.
    • Bazar Koperasi.
    • ‘Car-Boot’ Sale.
    • ‘Car Wash’.
    • Lain-lain berdasarkan kreativiti koperasi.
  3. Aktiviti Sosial Dan Budaya
      Contoh Aktiviti :
    • Menjalankan projek komuniti dengan PIBG atau masyarakat setempat seperti membantu mereka yang kesusahan kerana bencana alam dan sebagainya.
    • Sketsa Koperasi yang mengisahkan tentang ‘Bekerjasama-Sama Demi Manfaat Bersama’ yang boleh menjadi teladan kepada pelajar-pelajar anggota koperasi.
    • Bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah, menyediakan pondok bacaan dan tempat duduk.
    • Lain-lain berdasarkan kreativiti koperasi.
    BANTUAN PERBELANJAAN
  • ANGKASA akan memberi sumbangan sebanyak RM300.00 sebagai menampung perbelanjaan sambutan.
  • Bantuan perbelanjaan ini akan disalurkan ke koperasi sekolah sebaik sahaja menerima laporan mengenai sambutan yang telah diadakan.

BORANG PENGESAHAN SAMBUTAN DAN LAPORAN SAMBUTAN

    Bagi tujuan penyelarasan dan penilaian, pihak koperasi sekolah hendaklah menghantar :

  • Borang Pengesahan Sambutan (BPS01 – HKS/07; warna merah jambu)
    Borang pengesahan sambutan ini hendaklah dihantar ke ANGKASA sebulan sebelum tarikh sambutan. Pihak Koperasi hendaklah menyatakan tarikh sambutan HKS yang akan diadakan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.

  • Borang Laporan Sambutan (BLS02 – HKS/07 ; warna biru)
    Bagi tujuan penilaian dan pembayaran sumbangan, laporan sambutan hendaklah dihantar ke ANGKASA dua minggu selepas majlis sambutan HKS. Laporan yang lengkap hendaklah disertakan dengan gambar-gambar sekitar hari sambutan. Pihak koperasi juga boleh menyertakan VCD atau CD jika rakaman telah dibuat sepenuhnya.
  • Kedua-dua borang ini bolehlah dimuat turun dari laman web ANGKASA; www.angkasa.coop.

PENILAIAN AKTIVITI

    Penilaian akan dibuat berdasarkan pungutan bintang yang diperolehi daripada setiap aktiviti yang dijalankan. Aktiviti juga dinilai mengikut kualiti persembahan, bilangan acara yang dijalankan, penglibatan pelbagai pihak dan lain-lain lagi yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penilai. Lima Koperasi Sekolah terbaik dari segi penganjuran akan dipilih dari setiap negeri dan hadiah akan diberikan oleh ANGKASA Pusat.

    Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada :
  • ANGKASA
  • Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Jabatan Pembangunan Koperasi

LAWATAN WAKIL KEMENTERIAN, JABATAN DAN AGENSI
Wakil Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Pembangunan Koperasi, Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan dan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri akan membuat lawatan ke koperasi-koperasi sekolah yang mengadakan sambutan.
Lawatan yang diadakan adalah bertujuan untuk meraikan sambutan yang dilaksanakan oleh pihak koperasi sekolah dan ianya bukan bertujuan untuk penilaian HKS. Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan dan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri akan mengisi borang laporan lawatan yang telah disediakan untuk diserahkan kepada ANGKASA Pusat.

PERTANYAAN
Sebarang bentuk pertanyaan yang berkaitan dengan sambutan HKS bolehlah diutarakan kepada Timbalan Bahagian 4P (Pembangunan) di talian : 03-78007823 atau Ketua Unit Koperasi Sekolah di talian : 03-78008156 atau e-mel : pembangunan@angkasa.coop. Faks : 03-78061506.2

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Garis Panduan Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2007