Ke Arah Memperkasakan Wanita Dalam Pembangunan Gerakan Koperasi
Oleh : Wan Adlina Wan Ab. Aziz
w_adlina@angkasa.coop
Majlis Perbincangan Tahunan Wanita 2010 menyaksikan pendekatan berkaitan tiga hala tuju jawatankuasa wanita ke arah memantapkan peranan kaum berkenaan dalam membangunkan gerakan koperasi. Menariknya, program tahunan yang digerakkan oleh Unit Pembangunan Wanita dan TASKA Cahaya Mata (TCM) ANGKASA kali ini menyaksikan hala tuju yang digariskan yang memberi fokus kepada pemantapan jawatankuasa wanita di peringkat negeri dan pusat.
Pembentangan kertas kerja bertajuk “Hala Tuju Jawatankuasa Wanita” yang disampaikan oleh Naib yang Dipertua ANGKASA, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemba-ngunan Wanita Kebangsaan (JPWK), Hajah Armi Zainudin itu ternyata mendapat perhatian penuh di kalangan 26 Jawatankuasa Wanita Perhubungan ANGKASA Negeri melalui penyertaan mereka dalam sesi soal jawab yang diadakan selepas itu.
Dalam pembentangan tersebut, Hajah Armi Zainudin menjelaskan tiga hala tuju jawatankuasa wanita yang diketengahkan iaitu memantapkan peranan Jawatankuasa Wanita ANGKASA Peringkat Pusat, Peringkat Negeri serta mempelbagaikan program/aktiviti koperator dan koperasi wanita.
Dalam usaha memastikan ketiga-tiga hala tuju berkenaan mencapai sasaran, beberapa program dan aktiviti diberi perhatian serius iaitu penubuhan TASKA Cahaya Mata (TCM) ANGKASA yang membabitkan TASKA Koperasi, TASKA Individu, Taska Di Rumah dan TASKA Komuniti. Selain itu, turut diberi perhatian ialah mengkoperasikan rakyat, projek francais/perlesenan TASKA, kepenggunaan, seminar kesihatan, pusat pengumpulan produk dan projek Spa.
Menurut Hajah Armi, berdasarkan rekod ANGKASA, statistik menunjukkan sebanyak 100 buah TASKA telah ditubuhkan oleh koperasi dan individu koperator dari seluruh negara sehingga November 2009, iaitu membabitkan sejumlah 27 buah TASKA yang berjaya diurus dan dikendalikan oleh koperasi, manakala 65 buah TASKA lagi adalah TASKA koperator dan lapan buah TASKA di rumah.
Sebagai memenuhi saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob iaitu mengkoperasikan rakyat, ANGKASA akan mengembangkan lagi aktiviti pengasuhan kanak-kanak melalui koperasi kejiranan iaitu di dalam kawasan perumahan termasuk kawasan rumah pangsa dan apartmen.
Di samping itu katanya, fokus turut diberikan kepada mewujudkan projek francais/perlesenan TASKA bagi memastikan pengasuhan yang berkualiti dan profesional mengikut akta dan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Dalam usaha merealisasikan projek francais TASKA ini, beliau menyatakan ANGKASA kini masih melakukan proses perbincangan bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sebelum usaha ke arah itu dilaksanakan.
Tambahnya, isu kepenggunaan juga turut diberi penekanan dalam memastikan hala tuju jawatankuasa wanita dapat berfungsi dengan mantap melalui beberapa pendekatan. Di antaranya ialah barangan hasil koperasi/koperator, meningkatkan pengetahuan berkaitan hak wanita sebagai pengguna, membantu mengekalkan harga patut di pasaran serta menerapkan budaya jimat cermat dan menyimpan wang di kalangan anggota koperasi melalui kempen menabung.
“Melalui kempen menabung ini, diharapkan agar budaya menyimpan wang yang suatu ketika dahulu diamalkan, kini mula dipraktikkan kembali dalam usaha menangani krisis kewangan dalam keluarga. Dalam hal ini, golongan wanita berperanan besar dalam menerapkan nilai-nilai murni berkenaan di dalam keluarga masing-masing di samping meningkatkan pendidikan menabung dan pengurusan kewangan di kalangan anggota koperasi.
“Selain itu, fokus hala tuju iaitu memantapkan program/aktiviti koperator dan koperasi wanita juga turut mengambil kira pengendalian seminar kesihatan dengan kerjasama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) serta mewujudkan pusat pengumpulan produk yang berperanan mengumpul hasil produk anggota koperasi untuk dipasarkan selaras dengan saranan Menteri KPDNKK. Dengan adanya Pusat Pengumpulan Produk sebegini, ia mampu memastikan kedapatan (availability) produk dapat disalurkan mengikut permintaan semasa sekali gus memastikan pembungkusan dan label yang bersesuaian,” jelasnya.
Projek Spa merupakan projek baru yang bakal dilaksanakan melalui penyertaan koperator wanita. Bagi merealisasikan hasrat itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Usahawan Big Dee Selangor Berhad bakal menjadi ‘batu loncatan’ buat koperasi wanita untuk menceburi dalam bidang kecantikan dan kesihatan melalui tawaran yang akan diberikan kepada koperasi-koperasi wanita yang berminat untuk menjalankan projek tersebut.
Sebelum mengakhiri pembentangan, Hajah Armi menaruh harapan yang tinggi supaya jawatankuasa wanita dapat menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna dan bermanfaat bagi gerakan koperasi sekali gus memberi impak yang besar dalam menjayakan segala program dan aktiviti yang dirancang.
<< Kembali