PELANCAR ONLINE
Jun 2007

ARKIB PELANCAR


 

Pembabitan Pelajar Dihargai

PENGETUA merangkap Penasihat Koperasi SM Teknik Gerik Berhad, Haji Azahan Haji Daud menasihatkan semua warga sekolah terutamanya pelajar, supaya menganggotai koperasi di sekolah masing-masing. Katanya, pelajar yang aktif dalam koperasi akan memberi kelebihan atau kebaikan kepada mereka. Penglibatan pelajar dalam ko-kurikulum akan diambil kira untuk kemasukan ke IPTA dan kegiatan koperasi merupakan salah satu daripadanya.

Haji Azahan meminta pelajar di SM Teknik Gerik melibatkan diri secara aktif dalam koperasi sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK) atau pengawas koperasi. Selain daripada pengiraan untuk ke IPTA, koperasi mampu melatih pelajar yang terbabit menanam sikap yang baik ke dalam diri pelajar.

Melalui jualan di kedai koperasi, seseorang pelajar dilatih menjalankan tugas dengan jujur, bertanggungjawab, amanah dan bertolak ansur oleh guru-guru koperasi. Pelajar yang terbabit akan membentuk diri mereka berminat dalam perniagaan kerana mereka melihat dan menguruskan jual beli di kedai koperasi yang memberi keuntungan.

“Guru-guru koperasi hanya bertindak sebagai pembimbing dan kebanyakan urusan kedai koperasi dijalankan oleh pelajar yang dilantik sebagai pengawas koperasi. Dengan cara itu, pelajar dapat mempelajari sesuatu dari kegiatan perniagaan di kedai koperasi.

“Sehingga kini, mereka dapat membuktikan perjalanan koperasi diurus dengan baik. Mereka melayan pelanggan dengan baik, berbudi-bahasa, barangan disusun dengan kemas, kebersihan kedai koperasi diutamakan dan pendapatan koperasi semakin meningkat,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun keuntungan bukan matlamat utama koperasi tetapi bukan bermakna koperasi harus menanggung kerugian. Sebaliknya, matlamat utama koperasi adalah menyediakan beberapa perkhidmatan kepada warga sekolah di samping mencari keuntungan. Daripada keuntungan itulah nanti akan disalurkan beberapa perkhidmatan dan kemudahan kepada warga sekolah ini.

Katanya, dengan adanya kedai koperasi pelajar tidak perlu bersusah payah keluar ke pekan yang berhampiran (Gerik) untuk membeli keperluan mereka. Ini kerana koperasi sekolah ini menjual berbagai-bagai keperluan pelajar dengan harga yang berpatutan.

Haji Azahan memberitahu, pihak koperasi telah bercadang untuk membina ‘Taman Koperasi’ yang cantik hasil daripada jualan di kedai koperasi. ‘Taman Koperasi’ akan dibina di hadapan kedai koperasi.

Katanya, taman koperasi itu dapat mengindah dan menceriakan lagi SM Teknik Gerik. Jika ia terlaksana maka sumbangan ini merupakan sumbangan yang terbesar diberikan oleh koperasi.

Satu lagi hasrat Haji Azahan adalah supaya pihak koperasi melaksanakan ‘Bank Koperasi’. Ini bukan bermakna koperasi perlu bertindak sebagai ‘bank sebenar’ tetapi bank koperasi bertujuan memberi kemudahan kepada pelajar menyimpan dan mengeluarkan wang dengan mudah tanpa perlu ke pekan Gerik untuk berurusan dengan pihak bank.

Selain itu katanya, menyimpan duit di bank koperasi akan dapat mengelakkan kecurian atau kehilangan wang ketika di sekolah. Namun begitu, bank koperasi tidak perlu menyimpan wang seseorang pelajar dalam jumlah yang banyak, hanya sekadar satu jumlah yang munasabah. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul.

Haji Azahan mengharapkan guru dan pelajar yang terbabit dalam kegiatan koperasi akan terus meningkatkan usaha bagi manfaat bersama. Pihak sekolah amat menghargai tugas dan sumbangan mereka bagi menambahkan perkhidmatan dan pendapatan koperasi.

Wakil PELANCAR yang meninjau urusniaga berjalan di kedai koperasi, mendapat sambutan amat menggalakkan. Waktu rehat selama 20 minit digunakan sebaik mungkin oleh pelajar membeli berbagai-bagai keperluan mereka.

Menurut Setiausaha koperasi, Encik Mohd. Ashri Othman, pada tahun lalu jualan kasar di kedai koperasi berjumlah RM112,735.55. Jualan paling banyak diperoleh ketika awal persekolahan dan pada hari kemasukan pelajar baru tingkatan empat.

Pada waktu itu, koperasi menjual keperluan pelajar secara pakej mengikut aliran pelajar. Ketika itu, semua pengawas koperasi telah memberikan kerjasama yang cukup baik membantu guru koperasi menjalankan urusniaga.

Encik Mohd. Ashri memberitahu, pelajar yang berminat menjadi pengawas koperasi perlu terlebih dahulu melepasi temuduga dan waktu percubaan selama satu bulan. Pelajar yang melepasi halangan tersebut akan terus dilantik sebagai pengawas koperasi.

Katanya, proses tersebut telah terbukti berjaya melahirkan petugas yang amanah, bertanggungjawab, boleh bekerjasama dan ikhlas. Mereka sentiasa bersedia memberi perkhidmatan apabila diperlukan.

Sehingga kini katanya, koperasi turut membuka cawangan kedai koperasi di asrama. Ia dibuka pada waktu petang dan malam. Dengan adanya kedai tersebut, dapat memudahkan pelajar mendapatkan barang keperluan mereka ketika di asrama. Kedai ini dikendalikan sendiri oleh pelajar yang telah dilantik sebagai pengawas koperasi.

Bagi menghargai pelajar terbabit, siri lawatan ke tempat menarik dalam negara akan diadakan pada setiap tahun. Tahun lalu, ALK dan pengawas koperasi di kalangan pelajar telah dibawa melawat ke Pulau Langkawi.

Difahamkan juga, pihak koperasi telah bercadang untuk membina garaj berbumbung. Ia akan disewakan kepada guru dan kakitangan yang berminat dengan kadar sewa yang berpatutan. Namun begitu, keutamaan akan terlebih dahulu diberikan kepada anggota koperasi sekolah ini.

Penasihat koperasi, Haji Azahan berkata, tujuan koperasi membina garaj tersebut ialah tanda menghargai guru dan kakitangan di sekolah ini yang sentiasa menyokong kegiatan yang dijalankan oleh koperasi. Selain itu, ia juga akan memberi pendapatan kepada koperasi sekolah ini.

- MUHAMMAD HARUN

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Pembabitan Pelajar Dihargai