PELANCAR ONLINE
Jun 2007

ARKIB PELANCAR


 

Terap Ilmu Cara Penyediaan Buku Panduan Ibu Bapa

SERAMAI 23 peserta termasuk pengusaha dan penyelia Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), dapat menerapkan ilmu cara menyediakan Buku Peraturan (hand-book) ibu bapa untuk TASKA masing-masing melalui Kursus Pengurusan dan Pengendalian TASKA yang diadakan di Dewan Serbaguna ANGKASA pada 18 hingga 21 April lalu.

Kursus ini memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada para peserta untuk memahami tujuan utama bengkel yang menekankan aspek mengenai kepentingan TASKA memiliki Buku Peraturan Ibu Bapa.

Pakar Rujuk Pusat Latihan Taska Cahaya Mata (PLTCM) ANGKASA, Puan Amy Bala, berkata, Buku Peraturan yang akan disediakan oleh peserta, mestilah merangkumi aspek polisi, peraturan, program, kewangan, keselamatan, kesihatan dan penglibatan ibu bapa terhadap TASKA.

Katanya, dalam kursus ini, peserta didedahkan dengan pelbagai input yang berkaitan polisi dan prosedur bagi menghasilkan buku peraturan tersebut sebelum dibentangkan.

“Mereka dibahagikan kepada 10 kumpulan yang akan membincangkan tajuk-tajuk yang telah diberikan untuk dibentangkan sebagai tugasan mereka sepanjang menyertai bengkel ini.

“Kaedah ini membolehkan peserta lebih memahami perkara-perkara yang diperlukan oleh sesebuah TASKA di samping memudahkan cara pengurusan dan pengendaliannya,” katanya.

Tajuk yang dibincangkan dalam kursus itu adalah Pengenalan kepada Kandungan Buku Panduan, Visi dan Falsafah, Polisi dan prosedur pengambilan kanak-kanak, jadual aktiviti harian dan tugas-tugas mengemaskini/menyediakan handbook sendiri.

Selain itu, mereka turut membincangkan mengenai polisi dan prosedur kesihatan dan keselamatan kanak-kanak, menu dan pemakanan, disiplin dan peraturan untuk kanak-kanak serta program penglibatan ibu bapa dalam aktiviti TASKA.

Katanya, tujuan penyediaan buku peraturan itu adalah untuk meningkatkan kefahaman ibu bapa kanak-kanak terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh TASKA di samping mengetahui segala peraturan yang telah ditetapkan.

“Setiap TASKA digalakkan mempunyai buku panduan sendiri untuk kefahaman ibu bapa mengenai TASKA berkenaan,” katanya.

Kursus yang berlangsung selama empat hari itu, banyak memberi pelbagai input baru kepada pengusaha dan penyelia TASKA bagi memudahkan mereka mengurus dan mengendalikan dengan lebih berkesan.

Kursus kali ini merupakan lanjutan dari kursus yang pertama anjuran ANGKASA dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), iaitu pada 28 hingga 30 Mei 2006 yang menekankan aspek keusahawanan dalam pengurusan TASKA.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua ANGKASA, dalam bidang pengurusan dan pengendalian TASKA.

Sementara itu, Presiden PPBM, Cik Norsheila Abdullah amat berpuas hati dengan penglibatan ahli ANGKASA yang memberikan maklum balas positif untuk meningkatkan industri pengasuhan di Malaysia.

Beliau menggalakkan agar semua peserta sentiasa memotivasikan diri sendiri dengan menghadiri kursus seperti ini untuk meningkatkan tahap kecemerlangan industri pengasuhan.

Malah, dari segi pemilihan pengasuh pula katanya, beliau bersetuju agar pengusaha mempunyai dasar yang sesuai dengan mengeluarkan satu buku garis panduan TASKA supaya mutu dan kualiti perkhidmatan terjamin.2

- Normawati Muhamad Nor

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Terap Ilmu Cara Penyediaan Buku Panduan Ibu Bapa