Kerjasama Koperasi Bantu Usahawan Kerepek
SARANAN Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz agar ANGKASA memberi fokus pada koperator wanita menceburi bidang keusahawanan kerepek yang berkualiti, nyata tepat sekali. Perusahaan kerepek kini bukan sahaja mendapat sambutan pengguna tempatan, malah mendapat permintaan di luar negara.
Yang menjadi halangan sekarang, bahan mentah tidak mencukupi untuk pengeluaran kerepek secara besar-besaran, sehinggakan ada pengusaha tempatan terpaksa mengimport ubi dari Thailand dan menolak tempahan kerepek pisang dari Jepun.
Dilema ini turut dihadapi sembilan usahawan kerepek yang telah menerima bimbingan dan latihan daripada ANGKASA dengan kerjasama MARDI. Hasil dari bimbingan itu, pendapatan mereka bertambah dan kerepek yang dihasilkan berkualiti. Namun untuk menerima tempahan secara besar-besaran apatah lagi untuk eksport, keupayaan mereka terhad kerana masalah bekalan bahan mentah.
Sehubungan itu, Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan Dan Perkhidmatan (B4P) telah menganjurkan Bengkel Pengeluaran Dan Pengendalian Sumber Bahan Mentah di INTEKMA Resort Convention Centre, Shah Alam pada 5 dan 6 Mei lalu.
Bengkel tersebut dihadiri 92 orang peserta yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan anggota koperasi yang berminat menceburi bidang penanaman ubi kayu dan pisang untuk pengeluaran kerepek.
Selain tekun mengikuti pembentangan kertas kerja, para peserta teruja mendengar perkembangan-perkembangan yang mempengaruhi pengeluaran kerepek Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa B4P, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, memaklumkan hasrat koperasi di Iran untuk menempah kerepek sebanyak dua tan bagi penghantaran yang pertama ke Iran. Untuk makluman, pada tahun lalu ANGKASA telah menghantar dua usahawan kerepek mempromosi kerepek di Iran.
Beliau yang hadir merasmikan Bengkel tersebut juga memaklumkan hasrat penganjur Sukan Olimpik di Beijing, China untuk mendapatkan bekalan kerepek dari Malaysia, sempena penganjuran sukan tersebut pada tahun hadapan.
Penceramah dari MARDI Johor, Puan Che Rahani Zakaria memberitahu, pengusaha kerepek pisang tempatan terpaksa menolak tempahan dari luar negara kerana tidak mampu membuat penghantaran secara besarbesaran dan berterusan kerana kekurangan bahan mentah. Katanya lagi, negeri Kelantan bercadang menggantikan tanaman tembakau dengan ubi kayu untuk industri pengeluaran kerepek.
Dirasmikan oleh Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, bengkel tersebut bertujuan memberi pendedahan ilmu kepada koperasikoperasi ahli ANGKASA yang berminat dan mempunyai sumber untuk mengusahakan penanaman pisang dan ubi kayu.
Aspek yang ditekankan adalah kaedah pengendalian sumber bahan mentah, pembiayaan, pemasaran, dan teknologi pengeluaran kerepek. Beberapa penceramah daripada agensi-agensi berkaitan dijemput untuk menyampaikan ceramah. Dari Jabatan Pertanian Negeri, Encik Adam Ali memulakan pembentangan bertajuk, “Kaedah Penanaman Dan Pengendalian Pisang Dan Ubi”.
Pemangku Naib Yang Dipertua ANGKASA, Haji Aliasak Ambia yang mempengerusikan sesi tersebut menyarankan agar koperasi menganjurkan projek penanaman bahan mentah secara berkelompok dan berjemaah. Dengan menarik anggota menyertai projek tanaman itu, pihak koperasi pula mengendalikan hal-hal pengurusan termasuk mengadakan perundingan, mengeluarkan modal, dan membuat pemasaran.
Ketua Kredit Bank Pertanian Negeri Selangor, Puan Norazizah Abdul Aziz turut dijemput menyampaikan penerangan tentang, “Pembiayaan Untuk Industri Asas Tani”. Puan Nor Azizah dihujani dengan soalan-soalan yang berkaitan syarat-syarat pinjaman, cagaran tanah, dan skim pinjaman khas untuk koperasi.
Penolong Pengarah Cawangan Industri Asas Tani, FAMA Selangor, Encik Noh Nik Wan turut dijemput memberi penerangan tentang “Pemasaran Produk-Produk Hasil Tani Dan Perkhidmatan Yang Ditawarkan”. Antara perkara yang dikemukakan para peserta, termasuklah masalah pelabelan produk dan baja yang mahal.
Para peserta juga berminat dengan penerangan Pengurus Stesen MARDI Johor Bahru, Puan Hajah Che Rahani Zakaria tentang “Teknologi Kaedah Pengeluaran Kerepek”. Puan Che Rahani menyeru koperasi-koperasi mengeluarkan kerepek yang berkualiti dan sekata.