Aktiviti Pengambilan Deposit
Adakah anda atau kenalan anda mengalami senario seperti ini?
Senario 1
Pengambilan Deposit Tanpa Lesen
Cik Tipah tertarik dengan satu skim yang dikelolakan oleh sebuah syarikat tempatan, iaitu syarikat ABC Sdn. Bhd. (bukan nama sebenar). Skim yang digelar ‘Skim Pinjaman Modal Perniagaan’ itu, kononnya untuk membiayai aktiviti perniagaan syarikat itu. Skim tersebut menawarkan kepada orang ramai pulangan atas pelaburan yang berlipat kali ganda, iaitu bagi setiap pelaburan yang bernilai RM10,000, skim itu menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus sebulan untuk tempoh 12 bulan.
Cik Tipah semakin yakin pada skim berkenaan apabila jirannya Puan Salbiah sudah pun mendapat pulangan sebanyak tiga kali. Tanpa berfikir panjang, Cik Tipah mengeluarkan wang simpanan ASB beliau sebanyak RM10,000 untuk dilaburkan ke dalam syarikat ABC Sdn. Bhd. Seperti yang dijanjikan, Cik Tipah mendapat pulangan pada bulan pertama. Didorong perasaan tamak, beliau mengeluarkan kesemua wang simpanannya dalam ASB untuk dilaburkan ke dalam syarikat ABC Sdn. Bhd.
Malang menimpa Cik Tipah, pejabat syarikat berkenaan ditutup tidak lama kemudian. Pengarah syarikat melarikan diri dan tidak dapat dihubungi. Cik Tipah rasa tertipu dan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia.
Senario 2
Urus Niaga Mata Wang Asing Tanpa Lesen
Jane seorang graduan yang baru menamatkan pengajian dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Beliau yang sedang mencari pekerjaan, tertarik dengan satu iklan sebuah syarikat yang menawarkan jawatan pegawai pemasaran dengan gaji dan komisyen yang lumayan. Kononnya syarikat tersebut merupakan ejen kepada sebuah syarikat pengurus dana yang berpangkalan di Hong Kong.
Jane ditemu duga dan diterima bekerja di syarikat itu, tanpa diberi surat pelantikan jawatan. Beliau terus diberi tugas mencari pelabur yang ingin membuat pelaburan dalam pasaran mata wang asing.
Jane memujuk ibunya melabur sebanyak USD10,000 (RM34,570 pada 30 Mac 2007). Atas dasar percaya kepada anaknya, ibu Jane bersetuju untuk membuat pelaburan. Wang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat pengurup wang berlesen. Tanpa sebarang perjanjian urus niaga yang sah, Jane cuma diberikan “kata laluan” untuk menjalankan urus niaga mata wang asing melalui internet.
Apa yang berlaku ialah Jane kehilangan kesemua wang pelaburannya dalam masa seminggu dan beliau diminta membuat “panggilan margin” dengan dipaksa menambah pelaburan. Tetapi beliau sudah tidak percaya lagi dengan syarikat tersebut dan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia.
Penguatkuasaan Undang-Undang
Senario 1 ialah contoh pelanggaran Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, manakala Senario 2 merupakan contoh pelanggaran Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953. Kedua-dua Akta ini dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Unit Penyiasatan Khas (UPK), Bank Negara Malaysia diberi mandat menguatkuasakan dan menjalankan siasatan di bawah Akta-Akta ini.
Tindakan yang Perlu Diambil
Anda perlu peka, berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan taktik yang dilakukan oleh pengambil deposit atau pengamal urus niaga mata wang asing tanpa lesen. Jika anda pernah terlibat dalam kes seperti contoh yang diberikan, sila laporkan kepada UPK Bank Negara Malaysia. Berdasarkan laporan yang diterima, pegawai penyiasat UPK akan menjalankan pengawasan, pemantauan dan serbuan terhadap individu / premis yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta-Akta berkenaan.
Segala aduan dan pertanyaan tentang aktiviti pengambilan deposit dan urus niaga mata wang asing tanpa lesen boleh dibuat kepada :
Pengarah
Unit Penyiasatan Khas
Tingkat 5C
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
Telefon : 03-2698 4163 / 2691 0824 / 2694 2143 / 2692 6482 / 2691 5090
No. Faks : 03-26987467
Semua aduan yang diterima dan identiti pemberi maklumat / pengadu akan dirahsiakan.