PELANCAR ONLINE
Jun 2010

ARKIB PELANCAR


 

Pertama Kali Petanq Di Luar Kuala Lumpur
Oleh : Abdul Aziz Mohamad Yunus
ziz@angkasa.coop

Kejohanan Petanq ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2010 kali ini telah diadakan di luar kawasan Kuala Lumpur. Ini adalah disebabkan oleh pelawaan dari Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Melaka yang inginkan kelainan pada kejohanan kali ini. Bertempat di Gelanggang Arena Petanq Hang Jebat, Kompleks Japerun Pantai Kundur, Tanjung Kling, Melaka seramai 190 orang peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada 56 pasukan iaitu empat pasukan dari setiap negeri. Kejohanan ini telah berlangsung dari 7 hingga 9 Mei 2010.

Pada “Majlis Jamuan Makan Malam Peserta Kejohanan bersama Y.A.B. Ketua Menteri Melaka”, Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa kejohanan petanq ini adalah pertama kali diadakan di luar kawasan Kuala Lumpur. Menurutnya permainan ini berasal dari negara Perancis yang sesuai dimainkan oleh semua golongan masya-rakat. Ia mempunyai falsafah dan kepentingan secara tersendiri di mana ia harus dimainkan secara berkumpulan iaitu yang memerlukan kerjasama di antara satu sama lain. Ini bersesuaian dengan dasar koperasi yang bekerja bersama-sama demi manfaat bersama. Menurut beliau lagi, permainan ini telah mendapat promosi dari ANGKASA untuk Sukan ASEAN (SEA Game) dan telah dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA).

Majlis perasmian jamuan makan malam telah disempurnakan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd. Ali Mohd. Rustam. Beliau mengucapkan terima kasih kepada ANGKASA kerana telah memilih Negeri Melaka sebagai lokasi yang pertama bagi kejohanan Petanq bagi luar kawasan Kuala Lumpur. Adalah difahamkan bahawa Petanq adalah sukan rasmi bagi ANGKASA dan ia seiringan dengan sukan SUKMA ke 13 yang akan diadakan di Gelanggang Arena Petanq Hang Jebat, Pantai Kundur, Melaka. Beliau berharap agar sukan petanq yang diwakili negeri-negeri dapat menaikkan lagi tahap sukan ini ke peringkat antarabangsa sekiranya komited dalam permainan ini.

Pada keesokan harinya Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Petanq Kebangsaan ANGKASA telah berlangsung. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Petanq Kebangsaan ANGKASA, Hajah Armi Haji Zainudin. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana membenarkan ANGKASA menggunakan gelanggang petanq tertutup di Kompleks Japerun Pantai Kundur Melaka ini. Adalah difahamkan juga ANGKASA adalah yang pertama menggunakan gelanggang ini. Walaupun kejohanan petanq ini diadakan setiap tahun tapi ANGKASA telah membuat satu perubahan atau pembaharuan dalam mengadakan kejohanan di luar Kuala Lumpur dan Melaka merupakan negeri yang pertama sekali menganjurkan kejohanan petanq kebangsaan ini. Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa yang menganjurkan kejohanan ini. Menurut beliau lagi kejohanan petanq yang diadakan ini bukan sahaja untuk beriadah tetapi meliputi latihan mental dan fizikal. Ia memerlukan fokus dan tenaga untuk mengasah kekuatan latihan tersebut. Sejak permainan petanq diperkenalkan oleh ANGKASA pada tahun 1989, ianya menjadi satu permainan yang popular dan contohnya pada tahun 1993, ianya telah diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebagai sukan rasmi negara melalui Kementerian Belia dan Sukan. Pada tahun 2001, ianya telah dimasukkan sebagai salah satu acara sukan SEA atau SEA Game dan pada tahun 2004 pula sukan ini telah dimasukkan sebagai acara dalam sukan SUKMA. Pada tahun ini sukan petanq akan dijadikan salah satu acara dalam sukan SUKMA ke 13, Melaka. Pertandingan ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat negeri yang dilaksanakan antara bulan Mac dan April manakala peringkat kebangsaan pada hari ini. Pada tahun ini juga seramai 5199 orang peserta bertanding di peringkat negeri. Manakala jumlah pasukan pula adalah sebanyak 1439. Angka ini membuktikan bahawa gerakan koperasi telah mula menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukan ini. Di peringkat kebangsaan pula menurut beliau terdapat 56 pasukan dengan 190 orang peserta terlibat. Harapan ANGKASA agar dapat mencungkil bakat pemain-pemain petanq yang berkualiti dan akan menjadi pemain yang terkemuka bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa kelak. Pihak Kementerian Pelajaran telah mensyaratkan kepada setiap pelajar sekolah mengambil bahagian sekurang-kurangnya satu sukan di sekolah dan menjadi harapan ANGKASA agar pelajar tersebut memilih sukan petanq sebagai sukan pilihan mereka.

Pada kejohanan kali ini persaingannya amat sengit di mana setiap pasukan yang bertanding telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan. Setiap pasukan yang menang menerima hadiah kejohanan di akhir program. Johan pasukan akan membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM2,700 sepasukan, Piala Iringan dan Sijil Pemenang manakala Naib Johan akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,100, Piala Iringan dan Sijil Pemenang. Tempat ketiga pula akan mendapat wang tunai sebanyak RM1,500 sepasukan, Piala Iringan dan Sijil Pemenang dan tempat keempat akan menerima wang tunai RM900 sepasukan, Piala Iringan dan Sijil Pemenang.

Pada acara perasmian penutupan pula, ucapan aluan telah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah yang menyatakan bahawa sempurnalah sudah kejohanan petanq ini dan syabas kerana telah berjaya menganjurkan kejohanan ini terutamanya kepada Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Melaka yang berjaya mengendalikan kejohanan ini dengan baik sekali. Kepada negeri yang ingin menganjurkan kejohanan pada tahun hadapan, menurut beliau lagi haruslah memiliki standard yang sama dengan Melaka malah diharapkan agar lebih baik lagi. Cadangan beliau agar Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama ANGKASA akan dapat menganjurkan Kejohanan Petanq peringkat antarabangsa pada tahun hadapan dengan menjemput negara-negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja, Brunei dan Indonesia bertanding. Ini akan dapat menaikkan lagi martabat permainan petanq di peringkat antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur, Melaka, Y.B. Datuk Haji Ab. Rahaman Ab. Karim telah diberi penghormatan bagi merasmikan upacara penutupan kejohanan ini. Dalam ucapannya, beliau berterima kasih kepada ANGKASA yang sudi mengadakan kejohanan ini di negeri Melaka dan mengundang Y.A.B. Ketua Menteri Melaka bagi merasmikan “Majlis Makan Malam Peserta Kejohanan”. Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. yang sentiasa memilih asbat iaitu sesuatu perkara yang baik bagi melaksanakan kejohanan ini mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kita harus mengorak langkah keluar dari kotak sendiri dengan menganjurkan kejohanan petanq koperasi sekolah peringkat ASEAN, Asia dan Dunia. Kita yakin kerana Presiden Persatuan Petanq Malaysia adalah Ketua Menteri Melaka sendiri manakala Jawatankuasanya pula adalah terdiri daripada Dato’ Haji Abdul Rahim Baba dan Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah. Kita harus komited dan serius dalam menjayakannya. Pada hemat beliau lagi petanq ini harus dimiliki dan dimasyarakatkan kepada semua penduduk kerana ia boleh dimainkan oleh semua golongan masyarakat tanpa batasan usia, jantina dan status quo masing-masing. Oleh demikian kita harus mempromosikan permainan ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ucapan terima kasih beliau juga kepada Ketua Menteri Melaka yang mengambil langkah pantas menyiapkan gelanggang berbumbung petanq untuk tujuan Sukan SUKMA Ke-13 nanti. Beliau berharap agar kejohanan ini akan dapat dipanjangkan dan menjadi permainan yang terkemuka di peringkat antarabangsa satu hari nanti.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Pertama Kali Petanq Di Luar Kuala Lumpur