Cadangan Berniaga Barangan Runcit,
Tingkat Produktiviti Kedai Koperasi
BIASANYA, perniagaan koperasi sekolah hanya berkisar pada kegiatan penjualan alat-alat tulis, buku, minuman dan barangan sekolah untuk pelajar dan guru. Namun, Koperasi SMK Bandaraya Kota Kinabalu Berhad (SMKBKK) cuba membuat kelainan dengan cadangan menjual barangan runcit.
Cadangan itu telah dibincangkan oleh pihak koperasi sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan produktiviti kegiatan kedai koperasi ke arah yang lebih membanggakan.
Menurut Timbalan Pengerusi Koperasi SMKBKK, Encik Jais Abdul Hamid, rancangan untuk berniaga barangan runcit adalah untuk memudahkan para guru di SMKBKK yang menjadi anggota koperasi, mendapatkan barangan runcit dengan segera tanpa perlu ke bandar.
“Koperasi sekolah sebenarnya memahami keadaan guru-guru di sekolah ini yang sibuk sehingga mereka tidak sempat untuk mendapatkan barangan keperluan dapur. Jadi, dengan adanya perniagaan barangan runcit dan basah di sini, koperasi akan dapat membantu mereka di samping mempelbagaikan kegiatan koperasi.
“Peluang barangan itu dibeli oleh para guru adalah amat tinggi kerana kebanyakan daripada guru-guru SMKBKK menetap di kawasan perumahan guru dan berdekatan dengan koperasi sekolah,” katanya.
Encik Jais berkata, cadangan itu mungkin akan dilaksanakan pada penggal kedua akan datang kerana kini pihaknya sedang berusaha mencari pembekal barangan yang menawarkan harga yang berpatutan.
Katanya, SMKBKK dahulunya dikenali sebagai SMK Menggatal. Selain mempelbagaikan usaha mendapat keuntungan bagi meningkatkan kewangan koperasi, usaha juga diberi mempertingkatkan ilmu perakaunan, pengiraan stok, pemasaran kepada anggota koperasi dan sekolah.
“Keuntungan koperasi adalah penting untuk memastikan kejayaan koperasi kerana dari keuntungan, kita boleh memajukan koperasi. Koperasi sekolah merupakan penyumbang berterusan kepada aktiviti sekolah termasuk kelab dan persatuan,” kata beliau.
Pihak koperasi turut merancang untuk membuat jualan murah bagi barangan keperluan pelajar-pelajar asrama pada setiap hujung tahun. Oleh itu, koperasi akan mendapatkan barangan daripada pembekal-pembekal yang boleh membekalkan alat tulis, kasut dan baju kepada pelajar.
“Selain itu, koperasi juga mengunjungi Yayasan Sabah atau kilang kasut dan pakaian untuk mendapatkan barangan secara pukal dan murah,” katanya.
Kedai koperasi turut dipasang dengan gril bagi mengelak berlaku kecurian di koperasi. Pelajar tidak dibenarkan memasuki dalam kedai koperasi kecuali Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang bertugas sahaja. Biasanya, sekolah membenarkan seramai tiga hingga lima orang yang bertugas dalam satu sesi iaitu pada waktu rehat.
“Jika sesi persekolahan pagi, ALK pelajar dari sesi petang akan bertugas untuk membuka koperasi dan begitulah sebaliknya. Waktu peperiksaan, pihak koperasi mempunyai petugas yang diupah untuk membantu urusniaga,” katanya.
Koperasi sekolah ini turut terlibat sebagai tuan rumah menguruskan pertandingan petanq peringkat negeri. Pihaknya mengambil masa dua minggu untuk persediaan ini yang kebanyakannya melibatkan guru-guru dari kelab petanq, kelab sukan dan guru koperasi,” katanya mengakhiri perbualan.
- NORMAWATI MUHAMAD NOR