KOSMAT Akan Ceburi Bidang Hartanah
KOPERASI Pekerja-Pekerja Majlis Perbandaran Kuala Terengganu Berhad (KOSMAT) sedang berusaha menceburi bidang hartanah sebagai kegiatan barunya. Lembaga koperasi berkenaan berpendapat peluang yang terbuka untuk koperasi sekarang jangan sekali-kali dilepaskan.
Menurut Pengerusinya, Haji Husni Yahya, koperasi perlu keluar dari kepompong yang sedia ada. Walaupun sukar ia perlu diusahakan demi masa hadapan koperasi yang lebih cerah. Pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh pemimpin dan anggota KOSMAT, boleh membantu koperasi berjaya jika menceburi bidang hartanah.
Pihak KOSMAT sedang berusaha mendapatkan sebidang tanah seluas 9.9 ekar milik orang perseorangan. Tanah yang terletak dalam kawasan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu itu dijangka akan dipecah lot untuk dijual kepada anggota koperasi bagi membina rumah masing-masing.
“Dalam perundingan tersebut, pemilik tanah pada dasarnya telah bersetuju menjual dengan harga yang berpatutan, iaitu lebih kurang RM500,000. Kami menjangkakan segala urusan akan dapat diselesaikan hingga suku ketiga tahun ini,” ujar beliau.
Haji Husni memberitahu, koperasi yakin dengan mempelbagaikan kegiatannya pendapatan koperasi boleh ditingkatkan. Pertambahan pendapatan koperasi membantu memberi perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik kepada anggotanya. Hartanah adalah satu bidang yang boleh memberi pulangan yang baik kepada koperasi dan akan menjadikan KOSMAT berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan koperasi-koperasi lain yang telah ke hadapan.
Namun, apa yang lebih penting katanya, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutamanya anggota koperasi perlu utuh sepanjang masa. Tidak akan berjaya sesuatu usaha itu sekiranya hanya pemimpin sahaja yang bersungguh-sungguh tetapi anggota koperasi hanya melihat dari jauh.
“KOSMAT mempunyai anggota yang sentiasa bekerjasama dan menyokong setiap kegiatan yang dilakukan. Buktinya, sudah ada permintaan terhadap lot-lot tanah yang akan dirancang itu. Inilah peluang kepada anggota KOSMAT memiliki tanah sendiri apabila projek ini dilaksanakan nanti,” ujar Haji Husni bersungguh-sungguh.
Sementara itu, Setiausaha koperasi, Haji Noorzan Mohamed memberitahu, kegiatan utama KOSMAT adalah memberi kemudahan pinjaman kepada anggotanya di samping mengelakkan anggotanya daripada meminjam ke institusi kewangan lain yang mengenakan kadar perkhidmatan yang tinggi.
Katanya, terdapat lima skim pinjaman yang boleh dipohon oleh anggota, iaitu pinjaman buku, pelancongan, keperluan rumah tangga (pengguna), barangan elektrik, perabot dan insurans. Seseorang anggota boleh meminjam sehingga RM10,000 dengan dua orang penjamin di kalangan anggota KOSMAT yang lain.
“Kelulusan pinjaman dibuat secepat mungkin sekiranya syarat-syarat telah dipenuhi. Kebiasaannya dari tarikh borang permohonan dipenuhi sehingga cek diterima oleh peminjam hanya memakan masa tidak sampai seminggu. Malah, ada yang selesai hanya dua hari sahaja,” jelas beliau.
Tempoh bayaran balik adalah selama 18 bulan hingga 48 bulan. Bayaran balik dibuat melalui Bahagian Gaji Majlis Perbandaran Kuala Terengganu. Ini merupakan satu kemudahan yang diberikan oleh pihak majikan kepada KOSMAT tanpa sebarang bayaran perkhidmatan.
Haji Noorzan memberitahu, keprihatinan pihak majikan membantu koperasi amat dihargai. Selain kemudahan potongan gaji, pihak majikan turut memberi peluang kepada koperasi menjalankan urusan perkhidmatan tempat letak kereta.
Antara kawasan operasi yang diserahkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu kepada koperasi ialah tempat letak kereta di Batas Baru (dalam bandar Kuala Terengganu). Di sini terdapat kira-kira 200 tempat letak kereta.
Katanya, pihak koperasi mengharapkan kontrak pungutan sewa tempat letak kereta akan terus diserahkan kepada pihak KOSMAT. Melalui kegiatan ini, ia memberi pendapatan yang baik kepada koperasi.
Akhirnya, beliau mengharapkan pihak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu akan terus bekerjasama dan menyokong usaha-usaha koperasi demi kebaikan anggota yang juga terdiri daripada kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.
- MUHAMMAD HARUN