Koperasi Taja Tambang Lawatan ALK
SEKIRANYA terdapat persatuan atau kelab Sekolah Menengah Kebangsaan Datin Onn Jaafar (SMKDOJ) mengadakan program lawatan sambil belajar, koperasi tidak akan melepaskan peluang untuk menghantar Anggota Lembaga Koperasi (ALK) pelajar menyertainya,” kata Pengerusi Koperasi SMKDOJ Batu Pahat Berhad, Haji Idris Ahmad.
“Misalnya tahun lepas terdapat persatuan menganjurkan lawatan ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan koperasi telah menaja tambang beberapa ALK untuk menyertainya. Sebaliknya segala perbelanjaan lain dibayar sendiri oleh pelajar.
Penajaan tambang untuk lawatan itu katanya, akan menggalakkan para pelajar terbabit supaya lebih gigih menjalankan tugas di koperasi sebagai menghargai sumbangan mereka.
Kegiatan koperasi yang lain termasuklah jualan runcit, buku teks, penjilidan buku dan peralatan alat tulis, dan perkhidmatan fotostat.
“Koperasi juga ada membina Sudut Membaca Koperasi untuk kemudahan anggota koperasi. Selain itu, turut dibina kawasan tempat letak kereta untuk disewakan para guru.
“Sewa yang dikutip diagihkan kepada Tabung Koperasi dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana semasa pembinaannya, PIBG turut menyumbangkan dana,” katanya.
Koperasi yang telah ditubuhkan pada 1988 itu, turut menyediakan sumbangan kepada anggota pelajar yang kurang mampu untuk memperoleh peralatan sekolah.
“Koperasi akan memberi buku teks dan alat tulis. Biasanya pemberian sumbangan ini akan dibuat pada awal tahun. Pelajar boleh memohonnya pada awal tahun daripada koperasi dan koperasi menganggap sumbangan ini sebagai derma kepada sekolah kerana bukan semua pelajar akan diberi subsidi,” katanya.
Pihak pengurusan koperasi katanya, akan sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap koperasi dengan menambah pelbagai jualan.
“Antaranya menjual buku-buku rujukan dengan potongan 15 peratus, menyediakan perkhidmatan fotostat, penjilidan buku serta peralatan kerja kursus.
“Bagi mendapatkan potongan 15 peratus ke atas pembelian buku rujukan itu, pihak koperasi sudahpun berbincang dengan pembekal. Pemberian potongan itu banyak membantu para pelajar dan guru mendapatkan buku rujukan yang sesuai,” katanya.
Koperasi yang sudah beroperasi hampir 19 tahun itu, turut menekankan keselamatan kedai koperasi dengan memasang gril dan alat penggera keselamatan bagi mengelak berlaku kecurian.
“Setakat ini tiada kecurian berlaku di kedai koperasi kerana ALK yang bertugas amanah dan patuh melakukan tugasan mereka.
“Guru-guru juga bekerjasama untuk mengawasi pelajar semasa bertugas kerana setiap kali koperasi beroperasi, guru dan pelajar bertugas bersama-sama,” katanya.
Waktu Koperasi SMKDOJ Berhad beroperasi adalah pada masa rehat yang mempunyai empat sesi sehari, setiap sesi 30 minit bermula jam dari 7.00 hingga 7.30 pagi, 10.25 hingga 10.45 pagi, 12.30 hingga 1.00 tengah hari dan 3.30 hingga 3.50 petang.
Haji Idris berharap semoga Koperasi SMKDOJ Batu Pahat Berhad akan menjadi koperasi yang berjaya dengan pengurusan yang lebih tersusun dan teratur serta berminat dengan sistem koperasi.
Malah, beliau berharap koperasi memperoleh untung yang lebih banyak bagi membolehkan pihak koperasi menjaga kebajikan dan kesenangan para pelajarnya.
“Kerjasama ALK terhadap koperasi sangat baik kerana mereka memberikan bantuan yang terbaik,” katanya menamatkan perbualan dengan wakil PELANCAR.
- NORMAWATI MUHAMAD NOR