PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Koperasi Untung Bina Garaj

MATLAMAT penubuhan koperasi di sekolah adalah untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan di kalangan warga sekolah berkenaan. Selain itu, koperasi sekolah bermatlamat mendidik pelajar mengamalkan nilai-nilai murni koperasi seperti beramanah, bertanggungjawab, ikhlas dan bekerjasama antara satu sama lain.

Sehubungan itu, untuk menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh guru-guru dan kakitangan di Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II Gerik Berhad, pihak koperasi sekolah berkenaan telah membina garaj kereta berbumbung untuk mereka.

Menurut Setiausaha koperasi, Puan Che Hayati Saad, pihak koperasi sangat menghargai guru-guru, kakitangan dan terutamanya Pengetua di sekolah ini yang telah sama-sama memaju dan menggerakkan kegiatan koperasi sehingga mencapai keuntungan yang meningkat setiap tahun.

Katanya, hasil daripada keuntungan tersebut telah membolehkan pihak koperasi membina sebanyak 48 petak kereta berbumbung. Tanpa kerjasama warga sekolah ini pasti ia tidak dapat dilaksanakan.

Garaj kereta dibina mengikut dua fasa. Fasa pertama dibina pada tahun 2002. Sebanyak 14 petak telah dibuat dengan kos bernilai RM5,000. Fasa kedua pula telah dibina pada tahun 2004 dengan jumlah 34 petak yang telah disiapkan dengan kos sebanyak RM11,000.

“Apa yang lebih membanggakan ialah segala kos pembinaan adalah hasil dari keuntungan jualan di kedai koperasi,” ujar beliau.

Puan Che Hayati memberitahu, pada setiap awal tahun undian akan diadakan bagi menentukan siapa yang bertuah untuk mendapat kemudahan tempat letak kereta tersebut. Ini dilakukan demi untuk keadilan kepada semua kakitangan dan guru di sini.

Namun, syarat utama untuk mendapatkan kemudahan ini adalah seseorang itu perlulah menganggotai koperasi sekolah ini. Katanya, memandangkan jumlah kereta yang digunakan oleh kakitangan dan guru melebihi jumlah petak yang ada maka undian dan keanggotaan koperasi diambil kira.

“Sehingga kini, kaedah tersebut telah dipersetujui dan lebih adil. Sesiapa yang mendapat tempat, dikehendaki membayar sewa perkhidmatan sebanyak RM50 setahun. Kadar sewaan itu adalah berpatutan,” tambah beliau.

Dengan terbinanya tempat letak kereta berbumbung maka kenderaan mereka lebih selamat dan teratur. Puan Che Hayati menjelaskan, walaupun ada permintaan di kalangan guru dan kakitangan meminta supaya pihak koperasi menambah jumlah tersebut tetapi tidak dapat dipenuhi. Salah satu sebabnya ialah kekurangan kawasan untuk menambah perkhidmatan tersebut.

Puan Che Hayati menambah, pembinaan garaj kereta yang dijalankan oleh koperasi bertindak sebagai ‘serampang dua mata’. Pertama, dapat memberi kemudahan kepada anggota (guru dan kakitangan) dan kedua, memberi punca pendapatan dalam jangka masa panjang kepada koperasi ke atas sewa yang dikenakan.

Bendahari koperasi, Puan Zaharah Haji Basar memberitahu, guru dan kakitangan yang menggunakan perkhidmatan petak garaj boleh membuat pembayaran secara bulanan atau sekali bayaran yang berjumlah RM50 setahun.

“Lebih melegakan lagi semua penyewa petak telah menjalankan tanggungjawab mereka membayar sewa tanpa berlengah-lengah. Sampai waktu yang ditetapkan semua akan menjelaskannya. Ini memudahkan urusan saya sebagai Bendahari,” jelas beliau.

Mengenai urusan di kedai koperasi, beliau amat berterima kasih kepada semua pengawas koperasi yang telah menjalankan tugas dengan sempurna. Pelajar yang terpilih sebagai pengawas koperasi menjalankan tugasan masing-masing tanpa menimbulkan sebarang masalah.

“Jika diberi peluang, pihak koperasi mahu membesarkan ruangan perniagaan bagi kemudahan urusan jual beli di kedai koperasi. Selain itu, kami bercadang untuk mempelbagaikan lagi jualan supaya segala keperluan pelajar dan guru boleh didapati di kedai koperasi,” ujarnya.

- MUHAMMAD HARUN

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Koperasi Untung Bina Garaj