Cari Keberkatan Dalam Berniaga
Mencari keberkatan dalam berniaga menjadi amalan Koperasi Taman Soga Berhad (KOSOGA) yang telah beroperasi selama hampir 12 tahun itu, berfungsi sebagai koperasi pengguna.
KOSOGA mempunyai modal syer sebanyak RM43,555 daripada seramai 121 anggota itu amat mementingkan keberkatan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam berniaga.
Pengerusinya, Haji Mohd. Bani Sariang, berkata koperasi itu menjalankan perniagaan kedai runcit (KOSOGA MART) menggunakan pendekatan konvensional yang tidak menggunakan pekerja yang ramai, iaitu hanya dua orang.
Kedai koperasi itu menjalankan kegiatan membeli dan menjual barangan untuk membekalkan keperluan kepada anggota-anggotanya dan masyarakat setempat.
Katanya, walaupun pihak koperasi bertugas bersama-sama tetapi masih tidak dapat menandingi kedai-kedai lain kerana koperasi tidak membuat sebarang promosi untuk memperkenalkan kedai koperasi itu.
Namun katanya, koperasi hanya ada membuat promosi dengan menghubungi anggota-anggota untuk membeli di kedai koperasi supaya bersatu hati menyokong kegiatan memajukan koperasi di samping memperoleh keberkatannya.
Dari segi pengurusan kedai, Haji Mohd. Bani berkata kedai koperasi masih boleh bertahan selama 12 tahun walaupun mengalami pelbagai cabaran untuk membangunkan perniagaan di peringkat awal.
Antara cabaran yang dialami oleh kedai koperasi termasuklah sikap anggota yang suka membuat perbandingan harga antara kedai koperasi dengan kedai-kedai lain dan kedai koperasi juga tidak menggunakan peralatan canggih.
Di samping itu, terdapat banyak pasar raya besar di sekitar Taman Soga turut menjadi persaingan kepada KOSOGA Mart.
Oleh sebab itu katanya, koperasi masih belum dapat membayar dividen kepada semua anggota koperasi, walaupun prestasi KOSOGA Mart sudah bertambah baik.
“Kami ingin membayar dividen lebih besar kepada anggota tetapi memandangkan keadaan koperasi yang masih belum kukuh menyebabkan koperasi menangguhkan dahulu pembayaran dividen ini dan dipersetujui oleh semua anggota.
“Sebenarnya koperasi mempunyai banyak lagi program yang masih belum terlaksana. Kini hanya nampak kedai koperasi yang beroperasi kerana semua Anggota Lembaga Koperasi (ALK) masih terikat dengan tugasan yang berat,” katanya.
Setelah 12 tahun beroperasi, KOSOGA merancang untuk meningkatkan produktiviti kegiatan koperasi dengan menyediakan pakej peralatan kenduri seperti sewaan khemah, kerusi, meja dan khidmat katering.
“Idea ini timbul kerana kini sudah ramai anak-anak anggota meningkat dewasa dan akan melangsungkan perkahwinan. Jadi koperasi bercadang mahu menyediakan perkhidmatan ini kepada anggota dan masyarakat setempat.
“Cadangan ini sudah dipersetujui oleh semua ALK dalam mesyuarat agung yang lalu dan kami sedang mengumpul dana untuk membuat modal yang diperlukan, iaitu dalam lingkungan RM50,000,” katanya.
Selain itu, katanya KOSOGA juga merancang mahu membuat aktiviti pelancongan yang melibatkan anggota melalui dana yang terkumpul setiap bulan.
Katanya, ramai anggota KOSOGA yang akan mengerjakan umrah. Jadi beliau bercadang mahu KOSOGA melakukan sendiri segala pengurusan perjalanan itu melalui koperasi.
Menurut Haji Mohd. Bani, perancangan itu dijangkakan akan terlaksana dalam tempoh dua tahun dan berharap pada 2008 segala aktiviti dapat bergerak dengan lancar.
“Koperasi perlukan anjakan paradigma yang dapat membantu pengguna dan koperasi akan dapat dikukuhkan lagi,” katanya.
Selain itu, beliau juga berharap dengan berjayanya kedai KOSOGA dapat menyumbangkan perkhidmatan dan pekerjaan kepada anggota.
“KOSOGA juga mahu memastikan anak-anak anggota boleh menetap di Taman Soga dan menyambung generasi lama untuk meneruskan gerakan koperasi ini dan boleh menyumbang kepada koperasi.
“KOSOGA turut mendapat bantuan daripada Unit PEKA, ANGKASA untuk program pengukuhan koperasi,” katanya.
- Normawati Muhamad Nor