Mesyuarat Koperasi Diadakan Pada Waktu Malam
MESYUARAT Anggota Lembaga Koperasi (ALK) diadakan pada waktu malam adalah perkara biasa bagi Koperasi Kakitangan Kerajaan Hulu Perak Berhad atau ringkasnya KOSEK. Kebiasaannya diadakan selepas waktu Isyak.
Menurut Pengerusinya, Encik Mahamad Rohani Mat Isa, kebanyakan orang waktu tersebut merupakan waktu rehat bersama keluarga tetapi bagi ALK waktu tersebut adalah untuk membincangkan kemajuan koperasi.
“Bagi kami perkara tersebut adalah perkara biasa. Lagi pun, mesyuarat ALK bukanlah selalu diadakan. Apalah salahnya kami meluangkan masa tersebut untuk membincangkan kepentingan koperasi. Sehingga kini, semua ALK KOSEK bersetuju mengadakan mesyuarat pada waktu malam,” ujarnya memberitahu.
Encik Mahamad Rohani menjelaskan, pada waktu malam adalah lebih tenang, selesa dan boleh berbincang dengan lebih panjang. Inilah pengorbanan ALK untuk manfaat seluruh anggota KOSEK. Tambahan pula, kebanyakan ALK sibuk dengan tugasan masing-masing pada waktu siang hari. Mesyuarat yang diadakan pada waktu malam adalah jalan terbaik yang telah dipersetujui bersama.
KOSEK didaftarkan pada 13 September 1980 kini mempunyai keanggotan seramai 828 orang. Ia dianggotai oleh kakitangan kerajaan yang bertugas di daerah Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu.
Sejak mula beroperasi, KOSEK menumpukan kepada kegiatan memberi kemudahan pinjaman kepada anggotanya. Langkah menyediakan perkhidmatan tersebut bagi mengelakkan anggotanya membuat pinjaman kepada pihak-pihak lain yang mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi terutamanya melalui pinjaman daripada ceti atau ‘along’.
Kegiatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan anggota KOSEK. Sehingga kini, KOSEK telah menyediakan sebanyak lima skim pinjaman yang boleh dinikmati oleh anggotanya. Skim tersebut ialah pinjaman kecemasan, pinjaman berjamin, pinjaman 90 peratus daripada jumlah saham, pinjaman komputer dan pinjaman pendidikan dan pelancongan.
Menurut Encik Mahamad Rohani, pinjaman yang paling banyak dipohon ialah pinjaman berjamin di mana had maksimum yang boleh diluluskan sebanyak RM8,000.00, dengan seorang penjamin. Lebih 70 peratus yang menjadi anggota KOSEK pernah membuat pinjaman tersebut.
“Tempoh bayaran balik ialah selama 48 bulan dengan kadar faedah enam peratus setahun. Kelulusan pinjamannya adalah cepat, mudah dan tidak membebankan.
“Koperasi turut mengalu-alukan anggota supaya membuat pinjaman untuk membeli komputer. Ini kerana KOSEK mahu setiap rumah anggota memiliki sebuah komputer dan setiap keluarga, celik komputer,” jelas beliau.
Setiausaha koperasi, Encik Abdul Halim Baharom memberitahu, dalam tempoh sebulan koperasi memperuntukkan sebanyak RM100,000.00 untuk diluluskan, bagi kelima-lima skim pinjaman tersebut. Pembayaran balik dibuat melalui sistem potongan gaji ANGKASA.
Encik Abdul Halim turut menyentuh tentang bangunan koperasi yang dikenali sebagai ‘Wisma KOSEK’ yang terletak di Jalan Takong Datok, Gerik. Katanya, Wisma KOSEK telah dibina pada pertengahan tahun 2002 dan mula diduduki pada awal tahun 2003.
Bangunan setinggi tiga setengah tingkat dibina dengan kos sebanyak RM850,000.00, dari hasil jualan kayu balak yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri dan ditambah dengan pinjaman bank. Pihak koperasi telah menjadikan paras dua sebagai pejabat koperasi.
Encik Abdul Halim memberitahu, paras dua telah disewakan kepada peniaga dan syarikat-syarikat swasta seperti TNB dan TMnet. Hasil sewaan tersebut telah dapat meringankan bebanan koperasi untuk menjalankan kegiatannya. Dengan terbinanya bangunan tersebut, banyak memudahkan anggota-anggota berurusan di koperasi.
Sementara itu, Bendahari koperasi, Haji Mhd. Supian Nordin berkata, sebuah lagi bangunan milik koperasi, terletak di Jalan Kroh berdepan dengan Taman Toh Purba Lahamat. Bangunan ini telah dibeli pada Disember 2005 dan mula diduduki pada pertengahan tahun 2006.
Katanya, bangunan dua tingkat ini telah disewakan kepada pihak Proton Edar dengan kadar RM2,100.00 sebulan. Ia telah dibeli dengan harga RM365,000.00
Haji Mhd. Supian memberitahu, kedua-dua bangunan tersebut turut memberi punca pendapatan koperasi dalam jangka masa panjang. Selain itu, bangunan tersebut dapat menaikkan nama koperasi di mata masyarakat.
- MUHAMMAD HARUN