PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Julang JPN ANGKASA Kelantan

JUARA Kejohanan Petanq Kebangsaan 2006 kategori koperasi sekolah akan beraksi sekali lagi tahun ini bagi mempertahankan kejuaraannya. Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail Berhad yang mewakili negeri Kelantan merupakan juara bertahan pada tahun lalu dengan menewaskan Koperasi SMK Raja Muda Musa Berhad dengan keputusan 13 – 11 di peringkat akhir kejohanan tersebut. Kali ini Koperasi SMK Sultan Ismail Berhad sekali lagi mewakili negeri Kelantan setelah menewaskan Koperasi SMK Sultan Ibrahim (1) Pasir Mas Berhad 13 – 7 di peringkat akhir kejohanan petanq peringkat negeri yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik, Bachok pada 9 – 10 Mei 2007 lalu.

Sebanyak 58 pasukan lelaki dan 44 pasukan perempuan, kategori koperasi sekolah, bertanding pada tahun ini. Bagi pasukan perempuan pula, koperasi sekolah yang sama telah menjadi johan.

Tambah menarik lagi, pemain yang sama juga wakil koperasi sekolah berkenaan. Mereka terdiri daripada Mohamad Hakem Ahmad Saberi. Mohd. Aizat Fakihin Zulkifli dan Mohd. Irfan Zulkifli. Barisan pemain tersebut pasti mengundang gerun kepada pasukan lawan. Mohamad Hakem Ahmad Saberi turut telah dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kejohanan tahun lalu.

Koperasi SMK Sultan Ismail Berhad turut mewakili Kelantan bagi kategori perempuan setelah mengalahkan Koperasi SMK Kota Berhad dengan keputusan 13 – 11. Koperasi tersebut diwakili oleh Nurul Nadia Ezani, Nur Hayati Husin dan Nik Nur Nadhirah Nik Ismail.

Bagi koperasi dewasa pula, Koperasi Serbaguna Kakitangan Penjara Kelantan Berhad akan mewakili negeri Kelantan bagi kategori lelaki dan wanita. Pasukan lelakinya menumpaskan pasukan Koperasi Daerah Bunut Susu Berhad dengan keputusan 13 – 9. Pemain yang mewakili koperasi tersebut ialah Nik Azmi Raja Mahmud, Che Mat Che Soh dan Zuki Zakaria.

Sementara itu, kategori wanita pula ia diwakili oleh Cik Siti Maria Roshayati Isa, Asmawati Chik @ Muhammad dan Azminar Muhammad. Mereka telah mengalah pasukan daripada Koperasi SMK Sultan Ibrahim (1) Pasir Mas Berhad dengan mata 13 – 7.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Kelantan, Haji Husain Muhammad ketika ditemubual berkata, JPN Kelantan berasa yakin pemain yang mewakili negeri ini akan mengulangi kejayaan di peringkat kebangsaan kali ini.

Katanya, mutu permainan petanq di negeri Kelantan semakin meningkat. Mereka terpaksa mengharungi perlawanan yang sengit daripada setiap pasukan lawan sebelum menjadi juara.

Haji Husin mengharapkan semua pasukan yang mewakili negeri Kelantan di peringkat kebangsaan nanti dapat bermain dengan bersungguh-sungguh, penuh semangat kesukanan dan mutu permainan yang tinggi. JPN Kelantan berdoa kejayaan akan dapat dijulang pada tahun ini dengan lebih cemerlang oleh Koperasi SMK Sultan Ismail Berhad bagi kategori sekolah dan Koperasi Serbaguna Kakitangan Penjara Kelantan Berhad bagi kategori dewasa.

- MUHAMMAD HARUN

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Julang JPN ANGKASA Kelantan