PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Petanq Perlis Dapat Liputan Luas

PERMAINAN petanq adalah sukan yang sangat baik kerana ianya bukan sahaja sebagai sukan rekreasi tetapi dapat mewujudkan kerjasama berpasukan malah, boleh dimainkan oleh semua peringkat umur. Demikian menurut Senator Ahmad Hussin sewaktu merasmikan Kejohanan Petanq Negeri Perlis pada 5 Mei 2007, peringkat dewasa dan sekolah.

Katanya lagi, sukan petanq memberi fokus pada kekuatan mental dan fizikal, iaitu aspek paling penting dalam penjagaan kesihatan. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bukan kegiatan sukan sahaja yang menyumbang kepada kesihatan diri tetapi juga pemakanan yang seimbang, tidur yang cukup dan juga persekitaran yang sihat. Beliau berharap kejohanan kali ini dapat memberikan kesan yang positif bukan saja dari sudut kesihatan, malah juga menyatukan masyarakat koperasi dari pelbagai peringkat umur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Perlis, Haji Mutadho Bahari pula berkata, kejohanan petanq yang dianjurkan, sentiasa meningkat setiap tahun dari segi penyertaan dan juga strategi permainan yang mantap. Pada tahun ini, pihaknya membelanjakan sebanyak RM10,000 menganjurkan kejohanan petanq bagi negeri Perlis yang berlangsung selama dua hari. Peruntukan tersebut termasuk hadiah untuk para peserta yang kalah, selain hadiah cabutan bertuah.

Kejohanan petanq tersebut berlangsung dengan meriah sekali selama dua hari. Ini kerana pada kejohanan kali ini, JPN Perlis telah melakukan sedikit kelainan, di mana penganjuran dibuat secara karnival, di mana selain pertandingan petanq turut terdapat gerai-gerai jualan.

Dianjurkan bersama Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) Negeri Perlis di padang petanq Stadium Utama Kangar, karnival kali ini juga turut mendapat liputan daripada RTM Perlis.

Seramai 135 peserta daripada 45 buah pasukan peringkat dewasa dan 159 peserta daripada 53 buah pasukan peringkat sekolah menyertai kejohanan tersebut. Pasukan petanq Koperasi FELDA Rimba Mas Padang Besar Perlis Berhad muncul johan bagi kategori lelaki, sementara pasukan petanq Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Perlis Berhad muncul johan bagi kategori perempuan.

Bagi persaingan peringkat sekolah pula, pasukan petanq Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Padang Besar Berhad telah muncul sebagai johan kategori lelaki. Johan bagi kategori perempuan pula disandang oleh pasukan petanq Koperasi SMK Arau Berhad.

- ZULKARNAEN ABD. RANI

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Petanq Perlis Dapat Liputan Luas