Semangat Setia Kawan Koperasi Perkasa (A) Juara
SEMANGAT setia kawasan yang terjalin antara ahli pasukan menjadi tunjang utama Koperasi Perkasa (A) Berhad mencipta kejuaraan dalam Kejohanan Petanq Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Mei lalu.
Kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Petanq Kompleks Sukan Kampung Pandan itu memperlihatkan kesungguhan pasukan Koperasi Perkasa (A) Berhad merebut juara daripada pihak lawan yang merupakan pasukan dari koperasi sama dengan mata 13 – 7.
Wakil pasukan, Encik Abdul Razak Awang berkata, bermain atas semangat setia kawan, membuatkan mereka lebih terdorong untuk bermain bersungguh-sungguh. Katanya, setiap ahli pasukan perlu berusaha untuk mendahului pihak lawan dengan menganggap lawan adalah musuh pertandingan walaupun bersahabat ketika di luar gelanggang.
“Bersahabat di luar gelanggang tidak bermakna kita boleh bermain secara sambil lewa tetapi kita harus komited terhadap perlawanan untuk menaikkan nama Koperasi Perkasa. Hal ini kerana koperasi mahu mencipta kejayaan yang lebih tinggi lagi, “ katanya.
Beliau yang melahirkan rasa gembira atas kejayaan itu berkata, disiplin ahli pasukan amat penting untuk melahirkan jaguh petanq peringkat wilayah kerana ia mencerminkan kekuatan sesebuah pasukan.
Selain itu katanya, beliau bangga dengan komitmen yang diberikan oleh pasukannya sehingga mereka bergelar juara sekali gus melayakkan mereka mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bertanding di peringkat kebangsaan nanti.
Dalam kejohanan kali ini, Koperasi Perkasa telah menghantar dua pasukan untuk mewakili koperasi dan berjaya mencipta rekod apabila kedua-dua pasukan berjaya mara ke pusingan akhir.
Bagi pasukan wanita, Koperasi Bank Negara Berhad telah berjaya menjuarai kejohanan ini dengan menewaskan pasukan Koperasi Kastam Berhad dengan mata 13 – 4. Diikuti tempat ketiga oleh Koperasi Kotamas Berhad yang menentang Koperasi SMK Sri Pantai (A) Berhad dengan pungutan mata 13 – 8.
Sementara itu bagi kategori sekolah pasukan lelaki, Koperasi SMK Sri Pantai Berhad berjaya meraih johan apabila Koperasi SMK Agama Kuala Lumpur Berhad gagal mempertahankan keunggulan mereka. Tempat ketiga dipegang oleh Koperasi SMK Victorial Kuala Lumpur Berhad dan tempat keempat oleh Koperasi SMK Bandar Baru Sentul Berhad.
Manakala bagi kategori wanita, pasukan Koperasi SMK Sains Seri Puteri Berhad berjaya menjadi johan diikuti Koperasi SMK Bandaraya (A) Berhad, naib johan Koperasi SMK Bandaraya (B) Berhad, tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Koperasi SMK Bandar Tasek Selatan Berhad.
Kesemua pemenang akan menerima baucher bernilai RM300 bagi johan (RM100 x 3), naib johan RM240 (RM80 x 3), tempat ketiga RM180 (RM60 x 3) dan tempat keempat RM120 (RM40 x 3).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pendidikan Sosial Dan Hal Ehwal Koperasi Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Haji Zulkifli Jamaludin, pemberian hadiah dalam bentuk baucher adalah memudahkan tugas jawatankuasa hadiah untuk menyediakan hadiah kepada pemenang.
Baucher itu katanya, boleh ditukar dengan barangan di pasaraya terkemuka yang menjadi pilihan Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya, untuk menjayakan kejohanan ini, JPN hanya mengadakan sekali mesyuarat dan semua pengagihan tugas dapat dijalankan dengan lancar. Malah pada hari pertandingan, JPN mendapat kerjasama baik daripada wakil Jabatan Pelajaran iaitu Haji Ghazali Katun.
Kejohanan ini adalah untuk memilih wakil pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Pertandingan Petanq Kebangsaan menampilkan sebanyak 24 pasukan koperasi dewasa daripada 14 buah koperasi manakala sebanyak 26 pasukan koperasi sekolah dari 24 buah sekolah.
Bagi setiap pasukan koperasi dewasa, penyertaan telah dikenakan bayaran sebanyak RM20 sebagai usaha untuk menarik minat peserta serta berkomited terhadap kejohanan kali ini.
Bagi Pengerusi JPN, Encik Ismail Nordin yang turut hadir menyaksikan kejohanan itu berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan padu terhadap sukan petanq dan akan bekerjasama dengan ANGKASA Pusat bagi melahirkan jaguh petanq ternama.
Pada pandangannya, pertandingan petanq ini amat bagus dan baik kerana pemainnya terdiri daripaa pelbagai peringkat umur. Oleh itu katanya, pemain dapat memupuk semangat setia kawasan melalui perbincangan yang diadakan semasa perlawanan berlangsung.
“Walaupun hadiah yang disediakan tidaklah seberapa tetapi mereka memperoleh kepuasan dengan permainan ini,” katanya.
Katanya lagi, untuk meningkatkan mutu permainan, beliau amat mengharapkan koperasi supaya sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding sama ada melalui sumbangan atau galakan moral yang boleh mendorong mereka berlatih dengan gigih.
Selain itu, beliau turut menyarankan jaguh petanq supaya mempunyai latihan yang konsisten untuk memantapkan lagi teknik permainan di samping mempelajari teknik-teknik bermain dengan betul.
“Teknik itu boleh diperoleh dengan kerjasama Persatuan Petanq Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ANGKASA,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu turut dihadiri oleh Pengganti Pengerusi JPN, Dato’ Rahim Baba dan Timbalan Bahagian 4P (Pelajaran), Haji Nik Rashid Ismail.
- NORMAWATI MUHAMAD NOR