PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

SMK Batu Maung Kekal Juara

KOPERASI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung Berhad sekali lagi menang kejohanan petanq peringkat negeri (kategori sekolah) setelah berjaya menewaskan Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Berhad pada 28 dan 29 April lalu. Kemenangan ini merupakan kali ketiga setelah dua tahun berturut-turut menjuarai kejohanan ini. Dengan itu, mereka mewakili Pulau Pinang untuk kejohanan petanq di peringkat kebangsaan akan datang.

Guru pengiringnya, Puan Azmahani Mohd. Nor berkata pihak sekolah amat berbangga dengan kemenangan ini kerana dapat mempertahankan kejuaraan lalu, di samping melahirkan jaguh petanq di peringkat remaja.

Pasukan sekolah ini menerima khidmat jurulatih daripada Haji Zainal Mohd. Tahir yang juga merupakan jurulatih kebangsaan dan menjadi pegawai teknikal dalam kejohanan ini.

Wakil pasukan, Muhammad Hidayat Subri, 16, melahirkan rasa gembira dengan kejayaan pasukan meraih kemenangan dalam pertandingan petanq yang disertai.

“Sebelum kejohanan ini, kami telah menjalankan latihan setiap hari, iaitu antara jam 3.30 petang hingga 7.30 malam untuk mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran melontar,” katanya.

Mereka turut mengimpikan untuk menjadi pemain Malaysia yang terkenal dalam sukan petanq. Mereka berazam untuk terus menyertai kejohanan-kejohanan seperti ini bagi mengilap bakat bermain.

Ahli pasukan yang lain ialah Muhammad Fitri Fahmi Jasani, 17 dan Mohamad Kamalazim Jasani, 15.

Bagi pasukan wanita pula, johan turut dirangkul oleh pasukan Koperasi SMK Batu Maung Berhad. Mereka ialah Nuraini Fedan, 17, Nurul Syifaa Ishak dan Nursyazwani Anuar, masing-masing 15 tahun.

Kejohanan itu membabitkan sebanyak 27 pasukan lelaki dan 25 pasukan wanita peringkat sekolah bagi negeri Pulau Pinang. Kejohanan ini berjaya melahirkan jaguh-jaguh petanq remaja yang boleh meneruskan perjuangan ke peringkat kejohanan kebangsaan nanti.

Sementara itu, bagi kategori dewasa pula, pasukan lelaki dimenangi oleh Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Berhad dengan menewaskan Koperasi Rakyat Seberang Prai Berhad, manakala pemenang pasukan perempuan ialah Koperasi Pembangunan Daerah Barat Daya Pulau Pinang Gotong Royong Berhad dengan mengalahkan Koperasi Kaum Ibu Balik Pulau Berhad.

Pemenang tempat ketiga ialah Koperasi SMK Batu Maung Berhad (guru) dan keempat ialah Koperasi Pembangunan Barat Daya Berhad.

Kejohanan kali ini diadakan di padang petanq SMK Batu Maung, Pulau Pinang yang mempunyai 12 gelanggang dengan jumlah pasukan sebanyak 80 termasuk sekolah dan dewasa.

Mengulas mengenai kejohanan petanq kali ini, Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Tuan Shaik Ismail Md. Allapichay, berkata walaupun penyertaan pertandingan peringkat sekolah agak ramai tetapi dari segi corak permainan di peringkat akhir masih kurang memuaskan kerana ramai peserta sekolah masih kurang faham undang-undang dan teknikal permainan petanq berbanding peserta dewasa.

Oleh itu, untuk meningkatkan kemahiran bermain petanq, beliau menyarankan ANGKASA memberikan bengkel dan teknik permainan petanq dan undang-undang permainan kepada peserta pelajar dewasa.

“Dengan adanya bengkel ini kita dapat memberikan pendedahan kepada mereka kaedah bermain petanq terutama untuk pelajar kerana mereka masih baru menceburi sukan ini. Bagi peserta dewasa pula, kebanyakan mereka sudah jelas dengan undang-undang dan aspek teknikal permainan petanq membolehkan mereka bermain dengan baik,” katanya.

Beliau amat berharap ANGKASA boleh menerima cadangan yang diusulkan itu untuk penambahbaikan permainan petanq di kalangan pelajar sekolah.

- NORMAWATI MUHAMAD NOR

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

SMK Batu Maung Kekal Juara