PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

ANGKASA Perkenal Kursus Baru 'Touch Typing'

PROGRAM Sistem Siber (Touch Typing) adalah satu kursus baru yang sedang dirangka oleh Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan Dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA untuk mengajar anggota koperasi ahli ANGKASA menaip pantas dan bersistem menggunakan semua 10 jari tanpa melihat papan kekunci komputer.

Penulis Modul B4P, Puan Safinah Saufi telah menghasilkan sebuah kertas konsep dan menganjurkan kursus-kursus percubaan sebelum diperkenalkan pada Januari 2008. Kursus ini sedang melalui peringkat percubaan di ANGKASA Pusat dan Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) sebelum diperkenalkan kepada gerakan koperasi.

Kursus ini bertujuan untuk memberi kefahaman dan pendedahan asas cara-cara menaip menggunakan 10 jari tangan tanpa melihat papan kekunci untuk dipraktiskan sendiri secara berterusan oleh peserta. ANGKASA juga berharap gerakan koperasi (dewasa/sekolah) celik IT dan boleh menggunakan komputer.

Modul kursus pengajaran yang dicadangkan meliputi, Tatacara membuka komputer; Kedudukan ketika menaip; Motivasi dalam menggunakan komputer; Pengenalan Touch Typing; Belajar Home Keys, a, s, d, f, j, k, l; dan latihan; Belajar e dan i, g dan h, dan latihan; Belajar o dan n, shift keys dan t, dan latihan; Belajar . (noktah) dan y, dan latihan; Belajar , (koma) dan w, r dan b, dan latihan; Belajar m dan u, p dan c, dan latihan; Belajar v dan x, q dan z, dan latihan; Belajar menaip angka (nombor); dan Latih tubi (menaip ayat dan perenggan mengikut abjad; dan akhir sekali ujian.

Kenapa Perlu Belajar ‘Touch Typing’?

Sejak akhir-akhir ini komputer telah menjadi sebahagian daripada rakan kerja kita di mana tiap-tiap hari kita amat memerlukannya untuk melaksanakan tugas-tugas harian seperti mendapatkan maklumat di Internet, menulis e-mel, membuat laporan, menyediakan persembahan, menyemak akaun peribadi atau syarikat dan lain-lain lagi.

Pendek kata kesemua kerja yang melibatkan penggunaan komputer masa kini memerlukan input atau arahan yang bermula dengan ‘sentuhan jari kita’.

Kebolehan menaip dengan pantas dan tepat sangat diperlukan, sama ada untuk kegunaan sendiri di rumah atau dalam sesebuah organisasi. Kemahiran ini hanya boleh dicapai jika kita belajar menggunakan teknik menaip yang betul dan pantas.

Teknik ini telah diperkenalkan oleh Edgar McGurrin, sekitar tahun 1888 di Salt Lake City, Amerika Syarikat. Touch typing ini terbukti berkesan penggunaannya dan telah diamalkan oleh jurutaip-jurutaip pantas di mahkamah untuk merekod perjalanan sesuatu perbicaraan.

Sebenarnya touch typing adalah teknik taip-menaip yang menggunakan deria sentuhan dan bukannya dengan cara melihat untuk mencari kekunci butang arahan, di mana posisi untuk meletak lapan jari utama telah dikhaskan dalam satu barisan mengufuk di sepanjang papan kekunci (baris rumah).

Kebiasaannya papan kekunci komputer telah ditanda dengan satu titik timbul sama ada di butang kekunci ‘F’ dan ‘J’ supaya sentuhan jurutaip boleh berasa apabila hujung jari mereka sudah berlalu pada baris rumah yang betul.

Pada peringkat permulaan teknik penaipan sentuh akan memberi fokus kepada posisi jari-jari yang betul di papan kekunci komputer. Latihan menaip akan diberikan mengikut tahap kecekapan yang telah ditentukan.

Setelah kita benar-benar mahir dan menguasai papan kekunci komputer, kemahiran individu akan bertambah. Kita tidak perlu lagi berhenti seketika untuk melihat papan kekunci atau terpaksa membetulkan kedudukan jari setiap kali hendak menaip.

Masalah seperti kekok, menjengkal dan kerap kali melakukan kesalahan menaip dapat dikurangkan. Dengan demikian tumpuan kita pada teks dapat diutamakan, aliran fikiran serta idea yang kreatif dapat diterjemah terus ke dalam teks penulisan tanpa gangguan seperti kesilapan menaip yang tidak diingini membawa kepada pembaziran masa.

Secara kesimpulannya dengan mempraktikkan touch typing, kerja taip-menaip boleh dipermudahkan dan tugasan dapat disiapkan dengan pantas. Kemahiran asas individu dalam bidang teknologi maklumat juga akan bertambah sesuai dengan kehendak pasaran kerja yang sangat memerlukan kecekapan tenaga kerja.

Majikan juga akan mendapat faedah langsung di mana produktiviti sesuatu syarikat atau organisasi akan bertambah selari dengan kecekapan dan kualiti kerja yang dihasilkan.

- Norashidi Nazri
Unit IT, ANGKASA

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

ANGKASA Perkenal Kursus Baru