PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Kejayaan Bermula Dari Langkah Pertama

KETIKA hadir di Hari Wanita Desa ANGKASA anjuran Unit Pembangunan (Usahawan) Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan Dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA dua tahun lalu, dia sudah pun mengusahakan perniagaan kerepek dengan dibantu dua orang pekerja. Setelah mengikuti program usahawan kerepek anjuran ANGKASA, dia berusaha meningkatkan kualiti kerepek keluarannya.

Kini, dia mendapat permintaan yang menggalakkan. Jumlah pekerja meningkat kepada enam orang. Dahulu kerepeknya dijual sekitar kawasan tempat tinggalnya, iaitu di FELDA Tembangau 2 , Kemayan, Pahang. Sekarang perniagaan kerepek yang diusahakan bersama suami dan anak, dipasarkan di luar daerah hingga ke Melaka.

Puan Jamilah Salleh, seorang anggota Koperasi FELDA Tembangau 2 Berhad, Kemayan, Pahang ketika dikunjungi di rumahnya, menyambut kami dengan gembira. Kami di bawa melihat bengkel di mana kerepek ubi di proses. Kaedah digunakan masih tradisional.

Para pekerjanya merupakan jiran tetangga berdekatan. Mereka memulakan tugas se awal jam 7.30 pagi mengopek kulit ubi di belakang bangsal. Ubi yang telah dikopek dibersihkan dengan air sebelum dihiris menggunakan alat penghiris secara (slicer) manual.

Hirisan ubi digoreng oleh dua orang pekerja lagi dengan menggunakan dapur gas dan dua kuali besar. Menggoreng memerlukan kemahiran dan tumpuan agar kerepek yang dihasilkan kekal kualitinya. Kerepek ubi yang telah digoreng dimasukkan ke dalam karung plastik yang besar yang diikat kuat supaya tidak masuk angin.

Sebelum dipek dalam bungkusan kecil 100 gram, kerepek dibubuh perasa, misalnya perasa lada hitam, kentang dan lain-lain. Kerepek yang telah dipek dilabel dan sedia untuk diedar. Suami dan anak membantu menjual kerepek tersebut.

Mendapatkan bahan mentah tiada masalah bagi Puan Jamilah. Kami dibawa melihat seorang lagi ahli koperasi FELDA Tembangau 2 mengusahakan 15 ekar tanaman ubi kayu kuning, tidak jauh dari rumahnya. Encik Sabri pernah menghadiri Bengkel Penanaman Dan Pengeluaran Bahan Mentah anjuran Unit Pembangunan (Usahawan) Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA April 2007 lalu, di INTEKMA, Shah Alam.

Menyedari potensi tanaman ubi kayu yang kini mendapat permintaan tinggi, Encik Sadri Musani mendapat kebenaran pihak FELDA untuk menanamnya di atas tanah milik FELDA. Jika dahulu tanaman ubi kayu tumbuh liar dalam kebun, kini tanaman ubi kayu dijaga dengan baik, dibubuh baja dan dipagar dengan parit dari dimasuki oleh haiwan perosak.

Kami juga dibawa melihat kebun pisang milik seorang lagi penduduk. Meskipun tanaman ini baru berusia tiga bulan, Puan Jamilah sudah bersedia dengan bekalan pisang nipah untuk kerepek pisang pula.

Puan Jamilah juga menunjukkan kepada kami tapak yang akan dibina bangunan pembungkusan dan tempat pameran kerepek keluarannya yang diperoleh daripada pihak FELDA. Terletak tidak jauh dari pejabat koperasi, lokasi tersebut sesuai jika pelanggan datang membuat tempahan dan pembelian. Ketika ini kerepek Puan Jamilah dipamerkan di atas meja pejabat koperasi.

Puan Jamilah yang pernah menyertai pameran perdagangan di Teheran, Iran bagi memperkenalkan kerepek keluaran usahawan kerepek ANGKASA sedar potensi industri kerepek. Selain mendapat permintaan dalam pasaran tempatan, kerepek juga mendapat permintaan tinggi di luar negara. Dari pengalaman itu, dia berazam satu hari nanti kerepek keluarannya dapat menembusi pasaran luar negara.

Setelah ditolak kos dan gaji pekerja, Puan Jamilah ketika ini memperoleh keuntungan bersih RM6,400.00 sebulan. Namun dia meletakkan sasaran pendapatan RM50,000.00 dalam tempoh lima tahun akan datang dari perusahaan ini. Penggunaan mesin, label dan pembungkusan yang menarik, meningkatkan kualiti kerepek, dan menyediakan modal yang cukup untuk pengeluaran secara besar-besaran, dan sistem kawalan rekod perniagaan yang kemaskini, semua ini dalam perancangannya.

Sama-sama kita berdoa semoga. cita-cita Puan Jamilah sekeluarga tercapai. ANGKASA akan terus memberi bimbingan kepadanya untuk maju dan berjaya, sekaligus membuktikan bahawa perusahaan kerepek yang boleh diteroka oleh koperator wanita bukan perkara yang merepek.

Puan Rokiah Hussin Dan Puan Rossini Misron, dari Koperasi FELDA Pemanis 2 Berhad, Segamat Pahang adalah sahabat sekampung yang sama-sama aktif dalam perkumpulan wanita dan lain-lain persatuan di kampung mereka. Mereka berpeluang menyertai sambutan Hari Wanita Desa anjuran ANGKASA pada tahun 2004. Melalui program tersebut dan program-program latihan seterusnya, mereka menimba ilmu dan pengalaman tentang pengeluaran kerepek berkualiti.

Puan Jamilah bernasib baik kerana ketika suaminya membuat pengubah-suaian rumah, lebihan bahan binaan diguna untuk membangunkan bengkel seluas 400 kaki persegi dengan kos RM4,000.00. Bengkel tersebut kini digunakan sepenuhnya untuk kegiatan perusahaan kerepek. Bengkel tersebut selesa untuk menyelenggara kerja-kerja memproses kerepek, dan menempatkan sebilangan pekerja bila tiba masanya kelak.

Kedua wanita ini memberi tumpuan pada pengeluaran kerepek pisang. Kerepek keluaran mereka mendapat permintaan yang baik kerana kualitinya. Namun, atas kekangan masa dan bahan mentah, mereka belum dapat menceburi secara serius.

Puan Rokiah pula masih bekerja di Pusat Pengumpulan Getah berdekatan rumahnya. Puan Rossini pula suri rumahtangga. Oleh itu, pada hari biasa mereka memproses kerepek selepas waktu kerja dan sepenuh masa pada hujung minggu jika tiada urusan lain.

Puan Rokiah asalnya merupakan pengusaha rempeyek dan tumpi. Dia mendapat tempahan daripada kawan-kawan untuk majlis-majlis dan kenduri perkahwinan. Dengan bimbingan ANGKASA mereka beroleh ilmu dan pengetahuan dari kursus dan latihan yang dihadiri. Mereka mula mengusahakan kerepek pisang dari pisang tanduk dan pisang nipah secara serius mulai 2005.

Kerepek yang dijual di kalangan kawan-kawan mendapat pujian kerana kualitinya baik dan rasanya sedap. Jika kerja memproses kerepek dibuat selepas waktu kerja, mereka mampu menghasilkan sebanyak 30 kilo sehari.

Buat masa ini mereka membuat kerepek atas permintaan pelanggan. Yang pasti menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri ini mereka sedar tempahan mencurah diterima. Oleh itu, persediaan dibuat untuk memastikan bahan mentah mencukupi untuk memproses kerepek pisang. Bekalan pisang diperoleh daripada dua sumber. Yang ditanam sendiri di sekitar rumah dan dibeli daripada petani di sekitar kampung tersebut.

Mereka menjangkakan menjelang projek tanaman semula getah di FELDA dan sementara menunggu pokok getah membesar, ramai petani akan mengusahakan tanaman pokok pisang secara kontan. Sungguhpun, usaha mereka masih kecil-kecilan, kita harap kedua sahabat ini akan terus gigih berusaha.

Kepada Puan Jamilah Salleh, Puan Rokiah Hussin dan Puan Rossini Misron, ANGKASA menaruh harapan yang tinggi agar segala ilmu dan bimbingan yang mereka terima untuk menjadikan mereka usahawan kerepek yang berjaya, menjadi kenyataan. Selebihnya bergantung pada usaha mereka sendiri. Oleh itu, teruskan usaha, kerana setiap kejayaan bermula dari langkah yang pertama.

- AINI HAJI ABDUL MAJID

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Kejayaan Bermula Dari Langkah Pertama