PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Penubuhan Zakat Perlu Dipatuhi Dan Dilaksanakan

TIADA alasan untuk tidak mahu membayar zakat setelah mengetahui kaedahnya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Hajah Noraini Datuk Seri Panglima Haji Salleh dalam ucapannya menutup Bengkel Pengiraan Zakat Perniagaan Koperasi Dan Skim Ar-Rahnu di Kota Kinabalu pada 13 Mei lalu.

Katanya, sebagai umat Islam, kita wajib mengeluarkan zakat perniagaan bagi mereka yang memenuhi syarat kerana sudah mengetahui ilmu berkaitan zakat.

“Pembayaran zakat itu wajib ke atas umat Islam terutama setelah kita mengetahui cara pengiraannya di samping telah memenuhi syarat-syarat untuk berbuat demikian. Hal ini perlu dilakukan kerana ia melibatkan hukum-hukum tertentu yang akan membabitkan perhitungan kita sehingga di akhirat kelak,” katanya.

Justeru, beliau amat mengharapkan semua anggota koperasi yang menyertai bengkel itu supaya menghayati, mematuhi dan melaksanakan ilmu yang telah diperoleh itu melalui kaedah pengiraan yang betul.

Menurut beliau lagi, bengkel yang pertama kali diadakan di Sabah itu sangat bermanfaat kepada semua dan diharap bengkel seumpama ini akan diadakan lagi pada masa akan datang.

“Program ini sangat baik pengisiannya kerana ia memberi penekanan tentang pengiraan zakat daripada yang asas kepada tahap yang lebih tinggi. Oleh itu, kita wajar mewarwarkan ilmu berkaitan zakat kepada koperasi-koperasi yang tidak dapat menghantar wakil ke majlis seumpama ini,” katanya dengan rasa tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat itu.

Bengkel yang dijalankan di Kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu pada 11 hingga 13 Mei itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (JB4P), Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah.

Bengkel itu bertujuan untuk memberikan kefahaman tentang kewajipan membayar zakat perniagaan oleh koperasi, memberi kemahiran untuk membuat pengiraan zakat perniagaan dengan betul dan mendedahkan potensi Skim Ar-Rahnu kepada koperasi.

Antara perisian yang boleh dimanfaatkan oleh seramai kira-kira 111 orang peserta ialah melalui pembentangan kertas kerja 1 iaitu ‘Skim Ar-Rahnu Dan Perlaksanaannya Di Bank Rakyat’ yang disampaikan oleh Eksekutif Rakyat Management Sdn. Bhd. Encik Mohd. Nazim Ismail.

Selain itu, bengkel dan pembentangan kertas kerja 2 yang bertajuk ‘Zakat Perniagaan Koperasi’ oleh Ketua Unit Zakat Perniagaan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Encik Khairul Azhar Shamsudin dan pembentangan kertas kerja 3 oleh Prof. Madya Syed Mohd. Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengenai ‘Kefardhuan Zakat Untuk Koperasi’.

Hadir sama dalam bengkel itu ialah Pengurus Pelajaran, Haji Md. Ali Ahmad, Pengganti Pengerusi JPN, Haji Ahmad Awang, Setiausaha JPN serta Anggota Lembaga JPN Sabah.

Seorang wakil peserta bengkel, Pengerusi Koperasi Temasa Berhad, Encik Awang Thomas berkata, pengisian bengkel itu memang positif dan seharusnya wajib dihadiri oleh semua Anggota Lembaga Koperasi (ALK) tertinggi dan juga ahli koperasi.

Katanya, bengkel ini dapat membantu meningkatkan keprihatinan koperasi kepada komuniti yang merupakan salah satu aspek untuk membantu fakir miskin.

Selain itu, beliau turut mengharapkan ANGKASA memperbanyakkan aktiviti di peringkat negeri Sabah di samping mencadangkan wakil penceramah adalah yang bekerja di Sabah supaya mereka lebih memahami butir-butir maklumat yang disampaikan.

- NORMAWATI MUHAMAD NOR

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Penubuhan Zakat Perlu Dipatuhi Dan Dilaksanakan