Pelajar TAPAK Terima Komputer Riba
TEKNOLOGI maklumat amat penting untuk dipelajari oleh setiap pelajar mahupun individu selain ilmu pengetahuan. Program touch typing yang merupakan cetusan idea Yang Dipertua ANGKASA, Prof Ungku A. Aziz, program kemahiran menaip dengan cepat dan tepat menggunakan komputer. Kursus untuk program touch typing juga perlu disebarkan kepada mereka yang berkecimpung dalam koperasi untuk meningkatkan kualiti pentadbiran dalam koperasi.
Kenyataan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Tabung Pinjaman Pelajaran ANGKASA (TAPAK), Hajah Armi Haji Zainuddin dalam Program Touch Typing 2007 dan Majlis Penyerahan Komputer Riba TAPAK yang berlangsung di Dewan Serbaguna ANGKASA, pada 14 hingga 15 Mei lalu. Seramai 29 peserta yang terdiri daripada pelajar TAPAK telah mengikuti program itu. Program pelajar TAPAK itu dilanjutkan sehingga 18 Mei bagi menjalani kem motivasi di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat.
Katanya, kecekapan menggunakan komputer harus dikuasai bagi memudah dan menjalankan tugasan seharian dengan lebih berkesan.
Beliau turut mengumumkan bahawa pelajar TAPAK akan diberikan sebuah komputer riba. Harapannya agar peserta dapat memanfaat dan menjaga komputer tersebut seperti hak milik mereka dan dapat dipulangkan dalam keadaan baik.
Katanya, ada di antara pelajar yang tidak mampu memiliki komputer kerana masalah kewangan. Justeru, beliau menasihatkan pelajar-pelajar TAPAK agar tidak mensia-siakan kemudahan yang disediakan, aspirasi ANGKASA dan juga hasrat ibu bapa.
Program touch typing katanya, mengajar peserta menaip dengan cara menyentuh tanpa melihat papan kekunci. Sebelum menerima komputer, katanya pelajar terlebih dahulu diuji dengan kemahiran touch typing.
Katanya, kini kerja-kerja menaip bukan sahaja dilakukan oleh jurutaip, malah oleh Chief Executive Officer. Akhir sekali, beliau berharap ilmu dan kemahiran menaip itu dapat dipanjangkan kepada yang lain untuk dimanfaatkan.
Peserta memulakan pembelajaran program touch typing. Mereka diuji dan diberi latihan bagi menguji kefahaman dan kemahiran menaip. Mereka juga mengikuti ceramah bertajuk ‘Penggunaan Sistem Komputer’ yang disampaikan oleh Pegawai-Pegawai Unit Teknologi Maklumat ANGKASA.
Taklimat tentang ‘Tanggungjawab Penggunaan Komputer Riba TAPAK’ oleh Setiausaha Kerja TAPAK ANGKASA, Encik Ismail Ibrahim mengingatkan mereka agar lebih bertanggungjawab menjaga komputer tersebut. Sekiranya, komputer rosak atau hilang, mereka perlu melaporkan kepada ANGKASA dengan segera. Sekiranya berlaku kehilangan atas sebab kecuaian, maka pelajar perlu memberi justifikasi kehilangan tersebut.
Pelajar TAPAK turut diberi Taklimat Mengenai Peraturan Penggunaan Skim Bantuan Komputer Riba TAPAK, Perkakasan, Internet dan Anti Virus oleh Unit Teknologi Maklumat ANGKASA oleh pegawai IT ANGKASA.
Mereka dibenarkan memperbaharui program yang terdapat dalam komputer tetapi perlu memaklumkannya kepada ANGKASA. Walau bagaimanapun mereka tidak dibenarkan membuang sistem operasi dan perisian yang asal.
Dalam majlis penutup, Pengerusi TAPAK, Hajah Armi Haji Zainuddin berkata, dengan asas touch typing yang ada mereka boleh mempraktikkannya sehingga mahir. Kemahiran tersebut boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi akademik peserta untuk mencapai markah yang cemerlang. Touch typing juga memudahkan tugas-tugas kepimpinan dalam koperasi kerana mengandungi cara-cara menaip yang bersistematik, cekap dan cepat.
Selain itu, ANGKASA turut membantu pelajar TAPAK dengan mencari dan menyediakan pekerjaan untuk mereka. Beliau turut menerangkan skim pinjaman untuk pelajar TAPAK yang boleh diubah dengan pembiayaan jika mendapat keputusan cemerlang.
Dalam program kali ini, mereka turut diberi kursus motivasi dengan menjemput pakar motivasi dari MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd., Dr. Tengku Asmadi T. Mohamed serta menganjurkan sesi kaunseling.
Kesemua 51 peserta TAPAK itu masih dalam pengajian dan sebahagiannya dalam peperiksaan akhir. Seramai 29 peserta layak menerima kemudahan komputer riba daripada ANGKASA.
Sebelum itu, Pemangku Yang Dipertua, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Baharum berkata, melalui pembelajaran touch typing, peserta boleh menaip dengan cepat. Justeru, kursus itu patut dihadiri oleh setiap orang bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka cara menaip yang bersistematik. Katanya bidang tersebut telahpun lama dikuasai oleh bangsa Cina dan antara bidang yang sudah lama bertapak di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap para peserta menggunakan komputer riba sumbangan ANGKASA untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan pengetahuan mereka, selain mempraktikkan program touch typing yang dipelajari.
Program touch typing itu turut disertai oleh sembilan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri, Pengurus Umum dan Naib Yang Dipertua serta 12 Pegawai Pelajaran B4P. Kedua-dua sesi program touch typing itu disampaikan oleh Prof. Madya Halifah Abdul Rahman dan Puan Sharifah Ali dari UiTM, Selangor.
Selesai mengikuti program dalaman, para pelajar TAPAK kemudian berkampung selama empat hari tiga malam mengikuti program motivasi yang berlangsung bermula dari 15 hingga 18 Mei 2007.
Bertempat di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, bas yang membawa pelajar TAPAK tiba kira-kira jam 5.30 petang. Setibanyanya di Nur Lembah Pangsun, mereka diberikan taklimat mengenai program serta dijelaskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi. Hari pertama banyak dihabiskan dengan perjumpaan bersama Pengerusi TAPAK, Puan Hajah Armi Haji Zainudin serta sesi kaunseling pelajar TAPAK bersama Ahli Jawatankuasa TAPAK.
Pada hari kedua, atur cara padat dengan sesi kuliah bahasa Inggeris yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 4.30 petang. Kuliah tersebut disampaikan oleh Pensyarah UiTM Shah Alam, Puan Norleza Abd Manan. Dalam kuliah tersebut masih terdapat ramai pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Bagaimanapun, kuliah yag berlangsung hampir lapan jam sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang lemah membaiki kemahiran dalam bahasa Inggeris.
Di sebelah petang selepas tamat kuliah, kakitangan terlatih dari Pengurusan Nur Lembah Pangsun mengambil alih tanggungjawab program motivasi. Para pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan bagi sesi ujian kecergasan fizikal. Setiap kumpulan diperlukan untuk berjalan merentasi denai serta halangan dengan membawa baldi dan perlu sampai secepat mungkin ke tempat penamat.
Pada sebelah malam, motivasi dipenuhi dengan sesi kuliah agama yang disampaikan oleh Puan Dr. Robiah Kulop Hamzah dari RKH Motivation & Services. Walaupun bentuk penyampaiannya lebih banyak berseloroh dan bersahaja, namun banyak perkara dan isu yang disentuhnya terutama masalah sosial di kalangan pelajar IPT yang semakin menjadi-jadi.
Pada hari ketiga, perunding motivasi Founder of MAP Training, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad menggunakan pendekatan penyampaian yang agak tegas. Bermula seawal jam 8.00 pagi, beliau serius dalam penyampaiannya dan keseluruhan peserta menumpukan sepenuh perhatian dalam sesi beliau.
Tepat jam 5.00 petang, pihak pengurusan Nur Pangsun membawa peserta ke kolam berhadapan dewan kuliah untuk ujian kecergasan fizikal. Pada kali ini empat kumpulan yang sama dikehendaki belumba rakit yang dibuat daripada pelampung merentasi kolam tersebut dan kemudian berpatah balik. Dalam sukan ini kita dapat melihat semangat bekerjasama yang wujud dalam kumpulan dalam mencapai matlamat untuk menang. Sebelah malam, sesi motivasi yang terakhir bersama Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad diteruskan.
Hari keempat merupakan hari terakhir program motivasi di Nur Lembah Pangsun. Memandangkan masa yang agak suntuk, seawal jam 7.00 pagi pelajar telah di bawa mencuba sukan wall climbing. Aktiviti lasak ini benar-benar menguji kekuatan dan ketahanan fizikal setiap pelajar, malah ramai di antara mereka yang tidak berjaya menghabiskan cabaran ini.
Program motivasi Tapak yag berlangsung selama empat hari ini berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengerusi TAPAK merangkap Naib Yang Dipertua ANGKASA, Puan Hajah Armi Haji Zainuddin. Setiap pelajar juga turut menerima sijil daripada Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Program tersebut telah berakhir jam 12.00 tengah hari.
- NOR AZAH ABD. AZIZ /
ZULKARNAEN ABD. RANI