PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

TASKA - Tempat Mengasuh Dan Mendidik

DEWAN sebuah hotel di Shah Alam, Selangor di mana berlangsungnya Kursus Kemahiran Pengasuh TASKA pada 18 hingga 20 Mei 2007 berkumandang dengan lagu kanak-kanak. Keadaan ini berbeza dengan lain-lain kursus di mana para pesertanya duduk tekun mengikuti ceramah-ceramah yang diberi. Kursus ini lain pula gelagatnya.

Di sebalik dendangan lagu kanak-kanak, 37 pesertanya aktif mengambil bahagian melukis, menyanyi, bercerita, menyediakan bahan dan lain-lain kegiatan kreatif yang menguji kecegasan dan kecedasan mereka, sepanjang kursus berlangsung.

Jika pada mula hadir, ada yang malu dan takut berdiri untuk bercakap di hadapan, namun atas semangat dan dorongan fasilitator profesional, Puan Aishah Hashim dan Puan Pauline George, mereka berubah berani dan seronok. Kedua fasilitator ini adalah dari Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM).

Melalui Kursus ini setiap peserta perlu membentangkan hasil kerja dan perlaksanaan aktiviti masing-masing dan persembahan itu dinilai dari sudut intonasi suara, tahap keyakinan, isi kandungan aktiviti dan bahan mengajar yang digunakan.

Pengisian Kursus Kemahiran Pengasuh TASKA anjuran Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA ini terbahagi kepada empat sesi. Dalam sesi pertama, iatu pengenalan, mereka diberi tugas menyediakan bahan untuk sesi bercerita dan bernyanyi mengikut peringkat umur. Mereka juga diberi penerangan tentang garis panduan perbincangan dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Dalam sesi kedua, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Mereka dikehendaki memilih cerita atau nyanyian mengikut perkembangan atau tahap kanak-kanak. Di samping itu mereka dikehendaki menyediakan rancangan pelajaran untuk menjalankan aktiviti, menulis skrip dan seterusnya membuat pembentangan secara individu.

Dalam sesi keempat pula, mereka dikehendaki menyediakan bahan mengajar dari kos rendah mengikut perancangan masing-masing. Seterusnya dalam sesi kelima mereka membuat pembentangan, iaitu memainkan peranan dengan bahan props yang disediakan. Dalam sesi keenam, iaitu yang terakhir mereka dikehendaki merekod penilaian terhadap aktiviti yang dijalankan.

“Menjadi pengasuh yang profesional.” Itu nasihat Timbalan Unit Pembangunan Usahawan B4P, Hajah Roszurina Haji Omar dalam taklimatnya kepada para peserta pada hari pertama mereka hadir berkursus.

Seseorang pengasuh katanya, perlu tahu hala tuju TASKA masing-masing. Mereka hendaklah memastikan anak-anak yang diasuh cergas, cerdik dan berkemahiran. Mereka perlu memberi kelainan pada TASKA masing-masing jika mahu bersaing dengan TASKA-TASKA lain. Misalnya, menekankan kemahiran bercakap dalam bahasa Inggeris yang mudah, sebagai tarikan kepada ibu bapa untuk menghantar anak di TASKA mereka.

Seorang peserta keturunan Portugis, turut setuju dengan saranan tersebut. Menceritakan pengalamannya sebagai pengusaha TASKA, Noor Atikah Annie Abdul menggunakan bahasa Inggeris yang mudah sahaja tetapi mampu diingati dan digunakan oleh kanak-kanak di TASKAnya apabila pulang ke rumah. Noor Atikah adalah anggota Koperasi Perwanis Berhad, Seremban, Negeri Sembilan.

“Aku akan jadi pengusaha TASKA.” Itu kata-kata perangsang yang ditanam Hajah Roszurina kepada para pengasuh yang belum mempunyai TASKA. ANGKASA katanya menyediakan kursus keusahawanan dalam bidang pengasuhan sehingga mereka layak mendapat sijil dan membuka TASKA sendiri. ANGKASA kini sedang memohon akreditasi untuk menganjurkan kursus pengasuhannya sendiri.

“Kursus dua hari tidak cukup,” jelas Puan Aishah kepada para peserta di akhir penutupan majlis. Namun, katanya nyanyian dan cerita boleh dijadikan cara berkesan untuk mengasuh anak-anak belajar menjadi insan cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa B4P, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah mahu para peserta menjadikan bidang pengasuhan sebagai satu bisnes. Melihat dari trend sekarang 70 peratus pelajar di IPTA dan IPTS adalah wanita. Dalam tempoh tiga empat tahun akan datang, dijangkakan pasaran kerja dibanjiri dengan wanita yang bekerjaya. Dengan itu, mereka memerlukan pengasuh profesional berperanan mendidik dan mengasuh anak-anak mereka.

Peranan pengasuh TASKA penting juga penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Mereka perlu ada tanggungjawab sosial untuk mendidik generasi yang akan datang. Kerana itu nasihatnya, jadikan TASKA sebagai tempat mendidik dan mengasuh, bukan tempat menternak.

Majlis berakhir dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta oleh Dato’ Haji Abdul Fattah.

- AINI HAJI ABDUL MAJID

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

TASKA - Tempat Mengasuh Dan Mendidik