ANGKASA Berjeda Memperingati 36 Tahun Penubuhan
SEMPENA memperingati 36 tahun penubuhan ANGKASA pada 12 Mei 1971, satu majlis sederhana yang dinamakan Hari Jeda ANGKASA telah diadakan pada 26 Mei 2007 lalu. Pada hari tersebut semua warga ANGKASA berjeda dari tugas masing-masing, berkumpul di Dewan Auditorium. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat, serta ikrar taat setia.
Pemangku Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Mohd. Ali Haji Baharum berkata idea mengadakan Hari Jeda ANGKASA dicetuskan oleh Pengerusi Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan Dan Perkhidmatan (B4P), Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah.
Jeda bermaksud berhenti seketika, iaitu take five, dalam bahasa Inggeris.
Prof. Dr. Mohd. Ali mengajak warga ANGKASA berhenti sejenak untuk berfikir memperingati tokoh-tokoh ternama yang terlibat dalam penubuhan ANGKASA. Salah seorangnya, Prof. Diraja Ungku A. Aziz memegang jawatan Yang Dipertua ANGKASA sedari awal penubuhan ANGKASA hingga kini.
Prof. Diraja Ungku A. Aziz telah menunjukkan kepimpinan melalui teladan, mengamalkan nilai sadik, amanah dan telus. Pernah pada suatu masa, kata Prof. Dr. Haji Mohd. Ali, akaun BPA kurang RM1,000.00 dan beliau telah menggantikan dengan duitnya sendiri. Sepanjang 36 tahun, ANGKASA juga tidak pernah hilang satu sen pun duit dalam urusan potongan gaji Biro Perkhidmatan ANGKASA.
ANGKASA kini berada di ambang dewasa. Namun kewujudannya masih relevan dan dirasai. Beliau mengingatkan warga ANGKASA supaya muhasabah diri dengan menilai peranan dan tindakan masing-masing.
“Berfikir sejenak lebih baik dari beribadat satu tahun.” Pengurus Umum ANGKASA, Encik Nasir Khan Yahaya berkata, Yang Dipertua mencetuskan penggunaan perkataan ‘berjeda’ bagi warga ANGKASA untuk berhenti sekejap, berfikir.
Pencapaian ANGKASA amat jauh jauh berbanding di awal penubuhannya. Pejabat ANGKASA bermula dari bawah tangga Maktab Kerjasama Malaysia. Setelah berpindah di beberapa pejabat sebelum menetap di Kelana Jaya.
Ahli Lembaga yang komited, jelas misi, visi dan fokus dengan dasar; kakitangan yang setia, rajin dan sabar; dan kesempurnaan kerja bukan kerana gaji tetapi kerana kepuasan kerja, adalah faktor yang menyumbang pada pencapaian ANGKASA sekarang.
Encik Nasir mengakui ada kalanya pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan yang tegas tetapi tidak popular demi memastikan ANGKASA berada pada hala tuju yang betul.
Cabaran yang dihadapi ANGKASA pada masa akan datang lebih besar. Encik Nasir berkata ANGKASA perlu ada kelebihan (niche), bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatannya tidak dapat disaingi.
Majlis diakhiri dengan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada Puan Hafeez Zehan @ Nimmi Abas Khidmat (Eksekutif) dan Encik Khaliluddin bin Mohd. Yatim (Bukan Eksekutif).
Jasa kakitangan yang setia berkhidmat dengan ANGKASA turut diberi penghargaan. Encik Hairudin Mohd. Saad, Encik Mohd. Noor Bulat dan Encik Zainal Othman menerima Anugerah Khidmat Setia 30 Tahun Ke Atas; seramai 27 warga ANGKASA lagi menerima Anugerah Khidmat Setia 25 – 29 Tahun; dan seramai 115 yang lain menerima Anugerah Khidmat Setia 20 – 24 Tahun.
Turut diberi penghargaan Anugerah Kesihatan kepada 52 warga ANGKASA yang tidak pernah cuti sakit.
Tahniah kepada anda semua semoga sumbangan anda menjadi teladan kepada yang lain.
- AINI HAJI ABDUL MAJID