PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Menimbu Ilmu Ke TASKA Koperasi Di Singapura

EKORAN dari hasil perbincangan semasa perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha TASKA Koperasi yang diadakan pada Julai 2006, satu lawatan ke TASKA yang diurus oleh koperasi di Singapura telah diatur pada 28 hingga 30 Mei 2007.

Tujuan lawatan adalah bagi memberi peluang pihak ANGKASA dan pengusaha TASKA Koperasi ahli ANGKASA yang berminat untuk mempelajari pengurusan dan pengendalian TASKA yang diurus oleh koperasi di Singapura.

Wakil ANGKASA terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (JB4P) ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Tuan Shaikh Ismail Allapichay; Pengurus Umum ANGKASA, Encik Nasir Khan Yahaya; Timbalan Bahagian B4P (Pembangunan), Hajah Roszurina Haji Omar; dan Ketua Unit Wanita dan Taman Cahaya Mata (TCM) ANGKASA, Puan Hamidah Mohd. Jamil.

Turut serta ialah Anggota Lembaga Koperasi (ALK) merangkap Pengurus TASKA Islam Universiti Pertanian Berhad, Datin Hajah Siti Rahmah Haji Jaafar.

Lawatan dimulakan dengan mengunjungi Singapore National Co-operative Federation (SNCF). Kami diberi taklimat oleh Pengarah Urusan SNCF, Encik Zulkifli Mohammad yang menerangkan evolusi dan perkembangan koperasi di Singapura serta memberi gambaran kedudukan 77 buah koperasi yang mempunyai 1.6 juta anggota koperasi di bawah naungannya.

Gerakan koperasi di Singapura terbahagi kepada empat sektor utama, iaitu Sektor NTUC yang terdiri daripada sembilan koperasi (NTUC Childcare, Choicehomes, Eldercare, Fairprice, INCOME, Foodfare, Healthcare, Thrift & Loan, dan Media); Sektor Kredit yang terdiri daripada 30 koperasi; Sektor Perkhidmatan yang terdiri daripada 18 koperasi; dan Sektor Kampus yang dianggotai oleh 14 koperasi.

Rombongan dari ANGKASA kemudian dibawa melawat TASKA SGM Murni. TASKA ini ditubuhkan pada tahun 1997 oleh Koperatif Syarikat Guru-Guru Melayu Berhad dan menerima kanak-kanak berumur di antara 18 bulan hingga 6 tahun. TASKA ini diurus oleh Pengetuanya Cik Basriah Khader yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

TASKA SGM terletak di tingkat bawah blok perumahan pangsa, dan kanak-kanak yang diasuh dibahagi kepada dua bahagian mengikut tahap umur. Kakitangannya seramai 13 orang dan mereka mempunyai sijil dan diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak serta turut dibantu oleh dua kakitangan sokongan.

TASKA ini mempunyai sudut aktiviti yang teratur dan persekitaran yang ceria. Kurikulumnya ditentukan sendiri oleh ALK dan mempunyai lesen operasi untuk selama 24 bulan (lesen dikeluarkan sama ada 6, 12 atau 24 bulan adalah bergantung pada pematuhan kriteria yang dipantau oleh Kementerian Pembangunan Komuniti Belia Dan Sukan sepanjang masa).

Selain itu, TASKA ini mengenakan yuran bulanan SD440 (RM968) seorang, sepenuh masa. Walau bagaimanapun kanak-kanak di Singapura berhak mendapat subsidi kerajaan. Kadar subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat/pemegang status PR, iaitu SD150 (RM330) untuk ibu yang berkerja, dan SD75 (RM165) untuk ibu yang tidak bekerja. Kami mendapati ALK dan kakitangan TASKA begitu komited di dalam menyediakan perkhidmatan di TASKA ini. Tahap pengasuhannya profesional dengan kelayakan minimum pengasuh bertaraf sijil dan diploma pendidikan awal kanak-kanak.

Kami juga dibawa melawat NTUC Childcare Cawangan Kallang Baru iaitu sebuah pusat yang menawarkan perkhidmatan pengasuhan sepenuh masa untuk kanak-kanak yang berumur 18 bulan ke tiga tahun dan program pendidikan pra sekolah kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Ia merupakan salah satu cawangan di bawah NTUC Childcare yang mempunyai 40 buah pusat pengasuhan di seluruh Singapura.

Taklimat berkaitan perkhidmatan, infrastruktur dan pengurusan TASKA disampaikan oleh Pengetua NTUC Childcare Kallang Baru, Cik Christine Soo.

Pusat pengasuhan yang kami lawati terletak di Tingkat 5 blok kedai. Mempunyai seramai 112 kanak-kanak berumur antara 18 bulan hingga enam tahun, pusat ini mempunyai guru yang berkelayakan diploma dan ijazah dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Pusat ini mempunyai ruang yang luas untuk setiap kumpulan tahap umur kanak-kanak, bilik rekreasi, bilik latihan pengasuh, ruang pejabat dan dapur, serta ruang makan yang tersusun dan kemas.

Setiap bilik mempunyai permainan/alat mengajar yang sesuai dengan tahap kebolehan kanak-kanak serta disokong dengan lantai yang tinggi, rendah , curam, landai dan bertangga untuk membantu kanak-kanak melakukan aktiviti motor kasar.

Bilik airnya mempunyai ruang mandi dan tandas mengikut ketinggian dan saiz kanak-kanak yang menggunakannya. Permainan luar (outdoor) dilakukan di kawasan terbuka di bahagian bumbung (rooftop).

Kurikulum di pusat ini disediakan oleh Unit Kurikulum NTUC Childcare, manakala tenaga pengajar diberi latihan dan bimbingan oleh NTUC Childcare.

Satu lagi lawatan menarik ialah ke Regional Training and Resource Centre in Early Childhood Education (RTRC Asia). Ianya merupakan sebuah pusat latihan di bawah NTUC Childcare Co-operative. Pusat ini mempunyai tenaga pengajar sendiri berkelayakan ijazah dan sarjana serta mempunyai penceramah jemputan yang menawarkan kursus di peringkat sijil hingga ke program sarjana dengan kerjasama Wheelock College, Boston dan Universiti Australia Selatan.

Turut ditawarkan diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak secara sepenuh masa dengan kerjasama Politeknik Ngee Ann. Kursus tersebut adalah untuk tiga tahun dan satu pusat latihan disediakan di politeknik untuk pelajar menjalankan praktikum dan pemerhatian. Pusat latihan ini dikenali sebagai The Catepillar’s Cove.

Sebagai rumusan, lawatan tersebut memberi gambaran bagaimana ANGKASA yang telah mempunyai usahasama dengan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia dan Persatuan TASKA Negeri di dalam menawarkan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK), dapat mengembangkan ke peringkat sijil dan diploma di dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Bidang pengasuhan bukanlah sekadar menjaga kanak-kanak semata-mata, tetapi merupakan satu bidang yang memerlukan kemahiran dan profesionalisma di dalam membentuk modal insan masa hadapan. Oleh itu, pengasuh TASKA koperasi perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang ini.

Laporan oleh : Hamidah Mohd. Jamil
Ketua Unit Wanita dan TCM

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Menimbu Ilmu Ke TASKA Koperasi Di Singapura