PELANCAR ONLINE
Julai 2008

ARKIB PELANCAR


 

Memperkasakan Gerakan Koperasi Sekolah

LANGKAH proaktif dalam menyemai semangat keusahawanan perlu dimulakan di bangku sekolah. Dengan kewujudan koperasi sekolah, sifat keusahawanan yang gigih dikalangan pelajar dapat dibentuk dalam menerajui ekonomi global akan datang. Oleh yang demikian, tema “Koperasi Sekolah Memupuk Keusahawanan” telah dipilih dalam sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) 2008 kali ini.

Pendekatan keusahawanan di kalangan pelajar dalam sambutan HKS kali ini bertujuan memberi pendedahan dan galakan kepada para pelajar dalam memahami konsep perniagaan dan keusahawanan. Ia selaras dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan lebih ramai golongan usahawan muda tempatan dalam menggerakkan ekonomi negara. Selain itu dengan penerapan nilai-nilai asas keusahawanan pencapaian koperasi sekolah juga dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Dato’ Noh Haji Omar menegaskan, sembilan daripada 10 sumber rezeki datangnya daripada perniagaan. Untuk itu sudah tiba masanya budaya niaga diterapkan ke dalam fikiran dan menimba ilmu pengetahuan terutama di kalangan pelajar dengan lebih serius. Bidang keusahawanan dan perniagaan juga merupakan antara cabang kejayaan yang mampu menjamin masa depan yang lebih cerah.

Jelas beliau lagi, usaha dan perhatian ANGKASA dalam memperkasa dan mempergiatkan penubuhan koperasi sekolah amat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran yang turut mensasar

kan penubuhan koperasi di setiap sekolah menengah. Beliau berkata, dengan penubuhan koperasi sekolah ini, potensi diri dan ciri-ciri keusahawanan berlandaskan prinsip koperasi “Sadik, Amanah dan Telus” dapat disemai dalam diri para pelajar.

Dato’ Noh Haji Omar juga berkata, dengan penglibatan pelajar sebagai anggota Lembaga atau anggota koperasi, para pelajar bukan sahaja mendapat manfaat dalam pemarkahan “merit” ko-kurikulum, malah memperolehi manfaat yang besar dalam mencorak nilai keusahawanan diri sebagai persiapan dalam pengurusan perniagaan yang lebih besar pada masa akan datang. Beliau berkata, bidang keusahawanan mampu menjanjikan pulangan yang besar, maka ia perlu dijadikan pilihan kerjaya dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Menurut beliau lagi, dalam memperkasakan gerakan koperasi negara, kerjasama antara koperasi dewasa dan koperasi sekolah amat diperlukan. Kerjasama ini mampu melahirkan perancangan yang kreatif dalam mempelbagaikan perkhidmatan koperasi yang tidak hanya tertumpu kepada aktiviti kredit dan jimat cermat semata-mata. Dengan adanya kerjasama ini peranan koperasi dapat dipertingkatkan dan gerakan koperasi mampu mencapai pembangunan seimbang.

Dato’ Noh Haji Omar berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2008 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kuala Selangor, Tanjung Karang, Selangor. Turut hadir Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Baharum, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Mangsor Saad dan Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Haji Zulkifly Mohd. Wazir.

Dalam majlis itu juga, Dato’ Noh Haji Omar turut mengumumkan kelulusan pinjaman sebanyak RM20,000.00 kepada kedai Koperasi SMK Agama Kuala Selangor Berhad. Pinjaman yang diluluskan akan disalur kepada pihak sekolah untuk menambahbaikan persekitaran dan perkhidmatan koperasi sekolah berkenaan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan pinjaman sebanyak RM50,000.00 yang boleh dipohon dari SKM oleh mana-mana koperasi sekolah di seluruh negara bagi meningkatkan mutu perkhidmatan koperasi masing-masing. Beliau berharap dengan kemudahan pinjaman kewangan ini, perkhidmatan koperasi sekolah boleh dipelbagaikan untuk meningkatkan peranan dan keuntungan koperasi sekolah sediada.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Baharum berkata, dalam memperkasa dan mempertingkatkan pencapaian koperasi sekolah, ANGKASA telah merangka pelbagai program sebagai panduan kepada koperasi sekolah dalam mempelbagaikan perkhidmatan mereka. Antaranya memberi garis panduan dan galakan kepada koperasi sekolah dalam program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS).

Program PKS yang menekankan konsep Hos dan Tamu yang diperkenalkan ANGKASA ini bertujuan memberi peluang kepada para pelajar sekolah menjalankan program pelancongan sendiri mengikut kreativiti masing-masing. Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Baharum turut berkata, dengan sambutan yang baik dalam program PKS ini peranan dan aktiviti koperasi sekolah dapat diperkembangkan. Ia secara tidak langsung memupuk kerjasama antara para pelajar dalam memajukan koperasi sekolah masing-masing.

Selain itu menurut beliau lagi, dengan penganjuran program sambutan HKS ini koperasi sekolah berpeluang mengetengahkan aktiviti utama koperasi untuk menarik lebih ramai pelanggan dan anggota koperasi. Langkah ini dilihat dapat meningkatkan keuntungan koperasi sedia ada.

Menurut statistik (carta 1), sambutan program HKS (format baru) yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu semakin mendapat perhatian. Katanya lagi, penganjuran HKS tahun ini menerima penyertaan sebanyak 1,360 buah koperasi sekolah berbanding 1,064 buah koperasi sekolah tahun sebelumnya. Beliau mengulas demikian dalam ucapan aluan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2008 yang lalu.

Dalam pada itu, melalui temubual wakil PELANCAR dengan Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Haji Kamaruddin Haji Ismail, program sambutan HKS yang menekankan bidang keusahawanan di kalangan pelajar ini amat bertepatan dengan dasar pendidikan kerajaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan jasmani.

Beliau berkata, dengan penerapan ciri keusahawanan di kalangan pelajar, ianya mampu melahirkan insan yang berpegang kepada jati diri yang kuat. Dengan gabungan dan jalinan yang terbentuk di antara Kementerian Pelajaran, ANGKASA dan koperasi sekolah, pelbagai program pembangunan dapat dirangka bagi manfaat bersama dan dalam jangka masa panjang ianya dapat memberi impak dan pulangan yang lebih besar.

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2008 yang berlangsung pada 24 Jun lalu disambut meriah dengan penglibatan beberapa buah koperasi sekolah dalam pameran gerai koperasi. Antara sekolah menengah yang terpilih menyertai pameran Majlis Pelancaran Sambutan HKS 2008 adalah Koperasi SMK Simpang Beluru, Enggor Perak Berhad (6 Bintang HKS 2007), Koperasi SMK Meru Klang Selangor Berhad (5 Bintang HKS 2007), Koperasi SMK Bukit Jelutong Shah Alam Berhad (5 Bintang HKS 2007), Koperasi SMK Seri Serdang Berhad (5 Bintang HKS 2007), Koperasi SMK Gombak Setia Berhad (5 Bintang HKS 2007), Koperasi SMK Batu Kikir Berhad, Koperasi SMK Bandar Baru Perda Berhad, Koperasi SMK Agama (P) Al-Mansor Berhad, Koperasi SMK Agama Kuala Selangor Berhad, Koperasi SMK Taman Keramat Berhad dan Koperasi SMK Petaling Berhad.

Melalui pameran gerai koperasi sekolah ini, para pelajar yang mewakili gerai koperasi masing-masing berpeluang mengetengahkan kreativiti koperasi masing masing dalam memasarkan produk koperasi dan mempelbagaikan perkhidmatan koperasi. Selain itu para pelajar dapat memperkenalkan pencapaian koperasi sekolah masing-masing kepada orang ramai.

Dalam majlis tersebut, tiga buah koperasi sekolah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas PKS (HOS Terbaik) 2008. Johan dimenangi oleh Koperasi SMK Batu Kikir Berhad, Negeri Sembilan, Naib Johan, Koperasi SMK Bandar Baru Perda Berhad, Pulau Pinang dan tempat ketiga dimenangi oleh Koperasi SMKA (P) Al-Manshoor Berhad, Pulau Pinang.

Apa yang pasti sambutan Hari Koperasi Sekolah 2008 yang berlangsung sejak 22 Jun tahun ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya. Kreativiti dan kerjasama dalam menguruskan koperasi sekolah menentukan kejayaan koperasi sekolah sedia ada.

- Syarifah Hanim Syed Yahya Kamal

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Memperkasakan Gerakan Koperasi Sekolah