PELANCAR ONLINE
Julai 2007

ARKIB PELANCAR


 

Membudayakan Koperasi Ke Arah Keusahawanan
oleh : Hajah Armi Haji Zainudin
Naib Yang Dipertua ANGKASA

Pengenalan

Dunia global menuntut budaya keusahawanan dalam operasi setiap koperasi kerana gerakan koperasi masa kini berhadapan dengan persaingan sengit; keadaan pasaran yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah. Budaya keusahawanan dan berfikir sebagai seorang usahawan perlu diterapkan dalam setiap koperasi supaya dapat bergerak dengan efektif. Dalam era globalisasi, liberalisasi dan perluasan pasaran, koperasi harus menentukan halatuju dan strategi yang bersesuaian serta relevan dengan keadaan semasa.

Mungkin sudah sampai masanya koperasi menerima perubahan dan dalam masa yang sama bersedia mengubah paradigma agar terus berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing bagi menangani segala cabaran masa kini dan masa depan. Oleh itu koperasi hendaklah bergerak dengan lebih agresif untuk merebut peluang-peluang baru yang terdapat dalam pasaran.

Ciri-ciri Keusahawanan

Koperasi yang merupakan sebuah pertubuhan sosio-ekonomi, perlu diiktiraf sebagai usahawan dan budaya keusahawanan harus diterapkan dalam perlaksanaan aktiviti-aktiviti koperasi. Melalui penyatuan sumber modal, bahan dan tenaga, koperasi atau anggota koperasi boleh menyertai pelbagai industri dan bidang perniagaan.

Pengalaman menunjukkan koperasi-koperasi di negara maju seperti Jepun, Korea, United Kingdom, France dan Germany berjaya mencapai prestasi yang cemerlang dengan penghayatan budaya keusahawanan yang begitu tinggi dalam operasi urusniaga koperasi-koperasi tersebut.

Ternyata tahap daya maju, daya tahan dan daya saing koperasi-koperasi tersebut amat mengkagumkan sehingga menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan yang diyakini dan disegani oleh pengguna dan ditakuti oleh pesaing-pesaing dalam pasaran.

Walaupun koperasi mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri (cooperative advantage),namun koperasi tidak boleh mengenepikan tuntutan budaya keusahawanan yang menjadi faktor kecemerlangan koperasi. Untuk berjaya ciri-ciri keusahawanan yang signifikan seperti berikut adalah amat penting :

  • Professionalisme
  • Inovasi
  • Mengambil Risiko
  • Gigih Berusaha
  • Pengetahuan/Kepakaran
  • Kepimpinan Yang Berkualiti
  • Wawasan
  • Tadbir Urus (Corporate Governance)

Oleh kerana terdapatnya kekangan dan kelemahan pengamalan budaya keusahawanan dalam koperasi, maka koperasi dilihat sebagai satu entiti yang lemah dalam bidang ekonomi (economically weak). Sebaliknya koperasi hanya dilihat sebagai pertubuhan yang lebih cenderung kepada matlamat sosial atau kebajikan sahaja dengan pengurusan dan pentadbiran secara sukarela.

Untuk mengikis imej negatif tersebut, koperasi wajar merangka beberapa strategi untuk dilaksanakan. Adakah benar koperasi tidak mengamalkan budaya keusahawanan dalam operasinya? Benarkah koperasi tidak berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing?

Berikut dihuraikan beberapa strategi, pendekatan dan pengalaman kecemerlangan koperasi yang membuktikan penerapan serta pembudayaan keusahawanan telah berjaya menjadikan koperasi lebih maju dan berdaya saing. Di antaranya :

  • ICA (International Cooperative Alliance) buat pertama kalinya pada tahun 2005 melalui Projek Global 300 telah mengenal pasti dan menyenaraikan koperasi-koperasi yang berdaya maju dan terbukti cemerlang keusahawanannya dipersada pasaran global. Projek ini menunjukkan kehebatan prestasi koperasi dalam bidang ekonomi setanding dengan syarikat-syarikat gergasi. Kehebatan koperasi-koperasi G300 juga membuktikan bahawa koperasi merupakan institusi keusahawanan yang benar-benar kompetitif tanpa mengorbankan nilai-nilai koperasi.

  • Secara kolektif Global 300 telah berjaya mencapai jumlah jualan menjangkau USD 1 trillion iaitu berjumlah USD 963 billion dan sebagai perbandingan, hampir sama dengan kekukuhan ekonomi Canada yang merupakan ke 9 tertinggi di dunia pada tahun 2004 di mana telah menyumbangkan sebanyak USD 979 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. Tiga bidang ekonomi yang menjadikan perniagaan utama G300 ialah Pertanian, Peruncitan & Pemborongan dan Kewangan.

  • Daripada projek G300, beberapa penemuan telah dicapai, iaitu :

    1. Koperasi G300 yang memiliki jumlah jualan yang tertinggi (2004) :
      • Zen-Noh (Jepun) - National Federation of Agricultural Co-operative
      • Zengyoren (Jepun) – National Mutual Insurance Federation of Agricultural Co-operatives
      • Credit Agricole Group (France)
      • Nationwide Mutual Insurance Co. (USA)
      • National Agricultural Coop Federation (Korea) – NACF

    2. Negara-negara di mana pendapatan koperasi G300 yang tertinggi :- France
      • Japan
      • USA
      • Germany
      • Netherlands

    3. Negara-negara di mana koperasi G300 yang tertinggi menyumbangkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar :
      • Finland 21.1 peratus
      • New Zealand 17.5 peratus
      • Switzerland 16.4 peratus
      • Sweden 13 peratus

Penemuan yang dinyatakan di atas membuktikan koperasi adalah entiti usahawan yang kompetitif dan berdaya maju.

Untuk mempertingkatkan keupayaan koperasi untuk bersaing, koperasi perlu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dengan lebih “cost effective”. Koperasi hendaklah berinovatif untuk menawarkan produk-produk baru mengikut keperluan dan kehendak baru pasaran seperti produk pelancongan, kemudahan kesihatan dan produk kecantikan. Koperasi tidak boleh berterusan dengan hanya terlibat dalam bidang konvensional seperti aktiviti kredit. Koperasi seharusnya lebih berani dan gigih mencari pendekatan baru dengan menerokai bidang-bidang baru.

Koperasi perlu mempertingkatkan usaha kepada pembangunan produk, pembungkusan, perlabelan dan promosi secara komersial supaya produk koperasi dapat menembusi pasaran global.

Bagi membolehkan koperasi lebih berdaya maju, koperasi harus berusaha menggembelingkan sumber modal dan tenaga serta keupayaan pengurusan koperasi. Dengan itu, koperasi lebih berupaya bergerak dengan agresif untuk melibatkan diri dalam aktiviti komersial melalui pendekatan seperti kerjasama atau usahasama di kalangan koperasi maupun dengan pihak swasta melalui ‘smart partnership’, atau lain-lain pendekatan.

Satu lagi yang perlu dihayati oleh koperasi untuk terus “competitive” dalam pasaran ialah pengurusan dan pentadbiran yang professional, cekap dan teratur dengan tadbir urus yang baik dan telus. Koperasi mesti diurus dan ditadbir dengan lebih terancang dan berkesan oleh tenaga kerja sepenuh masa yang terlatih. Pendekatan ini amatlah perlu dan seharusnya diberi fokus utama, bagi mewujudkan imej koperasi yang cekap dan berwibawa. Dengan imej yang positif, koperasi akan lebih diyakini oleh anggota dan dipercayai oleh pihak swasta, sekali gus memberi koperasi lebih daya saing.

Pemimpin koperasi perlu faham akan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap koperasi sebagai pembuat dasar yang menentukan hala tuju koperasi. Oleh itu, pemimpin harus berpengetahuan dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan cekap menangani keadaan persekitaran yang begitu pantas berubah. Di samping itu pemimpin koperasi perlu mempunyai ciri-ciri dan semangat keusahawanan yang tinggi dan menitikberatkan nilai tambah dalam produk dan perkhidmatan yang diberikan. Pemimpin koperasi masa kini perlu proaktif, berani mengambil risiko (calculated risk) dan bijak mengambil langkah-langkah alternatif dengan cepat untuk memenuhi harapan dan keperluan anggota, pelanggannya dan pihak-pihak lain yang berurusan dengan koperasi. Pemimpin koperasi harus mempunyai visi agar mampu membuat perancangan yang strategik dan berkesan untuk memastikan koperasi boleh terus berdaya maju dan berdaya saing. Ini bermakna barisan pemimpin koperasi harus mengubah “mind set” mereka, cara pengurusan dan pengendalian urusniaga, bersesuaian dengan tuntutan budaya keusahawanan sejajar dengan cabaran masa kini.

Seterusnya untuk mempertingkatkan keupayaan dan daya saing koperasi, Pembangunan Modal Insan dalam gerakan koperasi perlu diberikan perhatian serius. Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan masa kini, koperasi perlu menekankan kepada penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan modal intelektual termasuk teknologi dan keusahawanan. Penekanan kepada pembangunan sikap progresif dengan nilai-nilai moral yang tinggi juga amat perlu diberikan tumpuan.

Tidak dinafikan bahawa koperasi memerlukan kualiti modal insan yang tinggi yang menjadikan kekuatan kepada pencapaian yang cemerlang. Ini merupakan elemen penting yang menentukan daya maju dan daya saing koperasi. Kegagalan membentuk modal insan yang berpengetahuan, inovatif, berkemahiran, kompeten dan memiliki nilai moral yang tinggi boleh membuat koperasi tertinggal jauh ke belakang dan seterusnya akan terpinggir dari arus pembangunan ekonomi. Oleh yang demikian, bagi memastikan koperasi berdaya maju, ia perlu sentiasa memberi pendidikan dan latihan kepada Lembaga Pengarah, tenaga kerja dan anggota koperasi untuk mempertingkatkan kecekapan mereka serta keupayaan minda agar mereka dapat membawa kejayaan kepada koperasi.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Membudayakan Koperasi Ke Arah Keusahawanan