Pemantapan Fungsi Dan Tanggungjawab JAD
Oleh : Abdul Aziz Mohamad Yunus
ziz@angkasa.coop
Buat pertama kalinya ANGKASA telah berjaya menganjurkan satu konvensyen peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai “Konvensyen Audit Dalaman Koperasi Peringkat Kebangsaan” yang diadakan pada 19 hingga 20 Mei 2010. Bertempat di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur, konvensyen ini menggariskan tentang dasar pelaksanaan dan tanggungjawab Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) Koperasi ke arah pemantapan yang lebih berkesan. Majlis perasmiannya pula telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Y.Bhg. Dr. Mohd. Mokhtar Tahar. Menurut beliau kementerian akan bekerjasama rapat dengan ANGKASA khususnya bagi melaksanakan program-program yang berkaitan dengan kepenggunaan. Hampir 7 juta anggota koperasi di negara ini jika dimanfaatkan akan dapat membantu meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara. Pada 2008 negara mengalami kemelesetan ekonomi tetapi apa yang boleh membantu adalah kekuatan dalam permintaan domestik. Jadi koperasi boleh digunakan bagi menyokong dan membantu menggerakkan ekonomi negara ini.
Sebelum itu ucapan alu-aluan oleh Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA, Hajah Armi Haji Zainudin menyatakan bahawa konvensyen ini merupakan yang pertama kali diadakan oleh ANGKASA dengan tujuan bagi membolehkan JAD mendapat pendedahan tentang tugas-tugas pengauditan yang terkini dan juga mengetahui tentang perkembangan yang berlaku dari segi undang-undang, peraturan dan pekeliling-pekeliling yang terlibat. Dalam masa yang sama JAD juga akan mendapat pengetahuan tentang penglibatan ahli dalam gerakan koperasi negara. Permintaan bagi menghadiri konvensyen ini adalah seramai lebih kurang 630 orang tetapi meman-dangkan tempat yang terhad, hanya 450 orang JAD sahaja yang dapat menghadirinya. Ini menunjukkan bahawa ia amat penting dalam usaha meningkatkan ilmu pengauditan JAD secara profesional. Di akhir ucapannya beliau menyatakan bahawa Konvensyen Audit Dalaman ini akan diteruskan lagi dan akan diadakan di luar kawasan Kuala Lumpur pula.
Di konvensyen itu juga beberapa pembentangan kertas kerja telah diadakan. Antara yang mengambil bahagian ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Mohd. Jafril Junit yang membicarakan tentang “Peranan dan Tanggungjawab JAD mengikut Perundangan Koperasi” . Perkara yang disentuh adalah yang berkaitan dengan Peruntukan Perundangan iaitu Akta, Peraturan, Undang-undang Kecil dan Garis Panduan 4 (Garis panduan perlantikan dan fungsi JAD), Kawalan keatas koperasi, Fungsi Audit Dalaman, Kawalan Dalaman Koperasi serta Sistem Penarafan Dalaman Koperasi (Flame –T).
Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya pula sebagai ahli panel di majlis forum yang diadakan membicara tentang “Tadbir Urus Koperasi, Isu dan Cabaran”. Perkara yang disentuh dalam forum tersebut ialah penyusunan fungsi lembaga secara efektif, pengauditan, perakaunan akauntabiliti atau keber-tanggungjawaban, prestasi pengurusan serta pengurusan risiko. Beliau turut membentangkan kertas kerja di hari kedua bertajuk “Skop dan Teknik Pengauditan Dalaman”. Ini lebih menjurus kepada cara pengauditan untuk sesebuah koperasi seperti audit kawalan dalaman, audit pematuhan, audit penipuan, audit pengurusan atau operasi, aktiviti perundingan dan pemudahcara serta aktiviti pengurusan risiko. Menurut beliau lagi terdapat teknik-teknik audit dalaman yang boleh dilakukan melalui penyediaan audit program, pelaksanaan audit dalaman serta laporan audit dalaman.
Ahli panel lain yang dijemput hadir pada forum tersebut terdiri daripada pegawai Maktab Kerjasama Malaysia (MKM), Cik Sharina Abdullah yang membicarakan tentang “Tadbir Urus Koperasi, Isu dan Cabaran”. Beliau menyatakan tentang perbandingan antara audit dalaman masa dahulu dan kini, tiga era evolusi audit dalaman yang berlaku dari dahulu hingga kini, peranan audit dalaman, peranan JAD dalam tadbir urus koperasi, pengukuran prestasi serta keberkesanan peranan jawatankuasa audit dalaman koperasi.
Pegawai dari Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Puan Fatimah Ariffin pula memperkatakan tentang etika dalam pengauditan. Menurutnya JAD harus memahami konsep “Etika dalam profesionalisme” yang merupakan satu nilai kualiti. Ianya penting kerana hasil daripada apa juga bentuk pekerjaan akan mendatangkan manfaat. Kod etika juruaudit pula menerangkan tentang sistem atau kod tingkah laku yang berdasarkan kepada tanggungjawab moral dan kewajipan (obligasi) bagaimana juruaudit perlu berkelakuan.
Pada majlis penutupan, sekali lagi ia telah disempurnakan oleh Hajah Armi Haji Zainudin yang menyatakan syabas kepada para peserta yang telah berjaya mengikuti konvensyen ini sehingga ke penghujungnya. “Konvensyen ini bukanlah yang terakhir tetapi adalah permulaan dan akan ada penyusulannya. Kini tuan-tuan sudah ada ilmu dan semangat baru dalam bidang pengauditan dan ia merupakan satu paradigma baru dalam melaksanakan tanggungjawab audit dalaman” ujarnya lagi.
Seminar sebegini akan diadakan di peringkat negeri-negeri pula di mana Anggota Lembaga Koperasi (ALK) harus menyertainya agar mereka sedar akan tanggungjawab JAD dalam koperasi. Sumbangan JAD dalam kecemerlangan sesebuah koperasi itu dapat dilihat melalui cadangan dan nasihat yang membina agar kelemahan yang ada dapat di atasi. Cadangan mengadakan kursus JAD amat baik sekali kerana ALK akan dapat memahami peranan mereka dalam usaha meningkatkan per-sefahaman dikalangan mereka.
Dalam memperkatakan tentang garis panduan, menurut beliau memang baik sekiranya ANGKASA dan SKM dapat mengadakan satu garis panduan yang berkaitan dengan kerja-kerja JAD agar ia dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkualiti. Adanya konvensyen ini akan dapat dijadikan medan bagi menyatakan hasrat dan pandangan yang lebih luas lagi membina kerana JAD merupakan satu pasukan yang penting dalam koperasi kerana mampu menjamin kesejahteraan dalam gerakan koperasi.
JAD mesti merasa megah dan komited dengan jawatannya kerana JAD boleh membantu ALK dalam melaksanakan dasar koperasi mengikut objektif, landasan undang-undang serta hala tuju koperasi tersebut. JAD umpama “nakhoda dalam kapal” yang membantu membawa ALK dalam melaksanakan hala tuju koperasi dengan lebih berjaya. Sebelum mengakhiri ucapannya beliau menyata-kan bahawa masih terdapat banyak lagi kursus-kursus lain yang berkaitan disediakan oleh ANGKASA selain dari kursus siri dua, seminar atau konvensyen. JAD perlu menghadirinya walaupun tidak khusus kepada tugasan JAD tetapi ia baik untuk pengetahuan terutamanya dalam pembentangan penyata kewangan, pengetahuan dalam undang-undang dan sebagainya. Kursus yang dicadangkan adalah kursus lanjutan I yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dan kawalan dalaman koperasi, manakala kursus lanjutan II adalah berkaitan dengan pengurusan dan penilaian prestasi. Kedua-dua kursus ini ada kaitan dengan tanggungjawab JAD. Beliau berharap kepada para peserta yang telah mengikuti pembentangan kertas kerja dari awal hingga akhir agar dapat memanfaatkannya demi kejayaan koperasi masing-masing.
Usul-usul dari hasil pembentangan kertas kerja di Konvensyen Audit Dalaman :
- Konvensyen seperti ini perlu diperluaskan ke peringkat negeri atau zon dan boleh dijadikan acara tahunan.
- ANGKASA perlu ada garis panduan yang boleh dijadikan rujukan kepada JAD.
- Perlu menambah kursus-kursus yang berkaitan dengan JAD bagi meningkatkan lagi pengetahuan JAD seperti mengadakan kursus yang lebih spesifik seperti kursus pengurusan risiko, kursus teknik pengauditan dalaman, pelaburan dan lain-lain lagi.
- Peranan dan tanggungjawab JAD yang sebenarnya perlu dimasukkan ke dalam kursus-kursus yang berkaitan dengan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) bagi mengurangkan konflik di antara ALK dan JAD.
- Perlu mewujudkan kursus tadbir urus koperasi di antara pihak pengurusan dan JAD agar dapat dijadikan seperti strategic partner yang boleh meningkatkan lagi persefahaman di antara JAD dan pihak pengurusan.
- ANGKASA perlu memainkan peranan yang lebih aktif lagi agar dapat meningkatkan lagi persefahaman di antara ALK, pengurusan dan JAD.
- Dapat menyampaikan satu hasrat kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengeluarkan satu terma perlantikan JAD oleh ALK termasuk tempoh perlantikan, peranan dan tanggungjawab, persaraan serta apa-apa kemudahan yang sepatutnya diberikan kepada JAD.
- SKM perlu mengkaji semula tempoh perlantikan JAD yang kini selama setahun tidak sesuai lagi kerana peranan JAD yang memerlukan kesinambungan dalam menjalankan tugas-tugas audit dalaman.
- Ditubuhkan satu persatuan JAD agar dapat dijadikan tempat bagi membincangkan pelbagai isu dalaman. Dengan adanya persatuan ini juga dapat memartabatkan peranan JAD dalam gerakan koperasi.
- Kursus Khas Audit Dalaman perlu diadakan bagi mereka yang berkelulusan SPM hingga Diploma. Ini adalah bagi memastikan prosedur dan undang-undang serta pelaksanaan audit dapat dilaksanakan dengan betul dan cekap.
<< Kembali