Peranan Angkasa Pada Peringkat Global Berkesan
Oleh : Borhan Mat Aris
SABTU, 3 Julai 2004 merupakan Hari Koperasi Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA). Ia merupakan Hari Koperasi Antarabangsa ICA Kali Ke-82 dan Hari Koperasi Antarabangsa Kali Ke-10 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebenarnya tarikh Hari Koperasi Antarabangsa diisytiharkan jatuh pada Sabtu pertama setiap tahun. Bersempena dengan Hari Koperasi Antarabangsa ini juga, ICA telah mengeluarkan perutusan khas perayaan dan pada tahun ini. Tema perutusan tersebut adalah Koperasi Untuk Globalisasi Yang Adil : Membuka Peluang Untuk Semua.
Bersempena dengan perayaan pada tahun ini juga elok kita renung sejenak akan kejayaan gerakan koperasi di Malaysia yang kini mempunyai keahlian individu kira-kira 4.6 juta orang. Telah banyak kejayaan yang dicapai oleh gerakan koperasi negara malah, dalam sesetengah keadaan, koperasi boleh diiktiraf sebagai perintis dan pencetus idea dalam memajukan sosioekonomi anggotanya. Koperasi juga turut menjadi peneraju contoh dalam bidang pengurusan berpegangkan kepada moto ‘satu untuk semua dan semua untuk satu’.
Dalam perkara ini, ANGKASA juga telah banyak memberi sumbangan serta buah fikiran bagi kejayaan dan kemajuan koperasi di negara ini. Dalam bidang pendidikan, ANGKASA telah dan akan sentiasa berusaha menjadikan koperator di negara ini sebagai koperator berilmu dan mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada kejayaan koperasi. ANGKASA juga telah menjalankan khidmat potongan gaji kepada koperasi-koperasi kredit khususnya sebagai salah satu perkhidmatan yang berjaya mengutip yuran serta bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh anggota koperasi. Perkhidmatan ini ternyata besar manfaatnya kepada koperasi di seluruh negara.
Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz berkata, ANGKASA akan berusaha menambahkan perkhidmatan kepada koperasi sejajar dengan perkembangan semasa.
Menurut beliau, ANGKASA sentiasa mementingkan menambah ilmu kepada koperator dan bidang pendidikan ini akan terus diperluas agar lebih ramai koperator berpeluang meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam bidang koperasi.
Prof. Diraja Ungku A. Aziz seterusnya menerangkan gerakan koperasi di Malaysia telah dikenali pada peringkat antarabangsa terutamanya gerakan koperasi sekolah dan kejayaan tersebut merupakan usaha berterusan ANGKASA dalam memajukan koperasi sekolah. Sokongan daripada semua pihak terhadap kemajuan koperasi sekolah turut menyerlahkan lagi kejayaannya.
Beliau juga berharap para koperator di negara ini akan berusaha gigih bagi menjadikan gerakan koperasi negara berjaya dan boleh membantu meningkatkan pembangunan negara.
Sementara itu Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran berkata, telah banyak sumbangan ANGKASA dalam berkongsi pengalaman kejayaan dengan gerakan koperasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa demi kemajuan koperasi sejagat. Menurut beliau, peranan ANGKASA dalam Gerakan Koperasi Antarabangsa telah mendapat pengiktirafan dan suara gerakan koperasi di Malaysia kini didengari pada peringkat antarabangsa. Pandangan ANGKASA ini turut diteliti dan dalam banyak keadaan ia menjadi peneraju kepada perlaksanaan program tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) berkata, ANGKASA sentiasa turut serta dalam memberikan pandangan bagi membuat keputusan-keputusan penting pada peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan sumbangan ANGKASA dalam gerakan koperasi sejagat dan usaha ini akan diteruskan demi memastikan kita dapat menelurkan idea bernas demi kebaikan gerakan koperasi,” ujar beliau.
Menurut Hajah Rahaiah, peranan ANGKASA pada peringkat antarabangsa dapat dirasai dan ia menjadi lebih bermakna apabila ANGKASA turut diminta menjadi tuan rumah dalam pelbagai kegiatan koperasi pada peringkat global dan serantau.
Terkini menurut beliau, ANGKASA telah diberi tanggungjawab untuk menganjurkan seminar koperator muda pada bulan September 2004 dan seminar pada peringkat serantau ini akan memberi fokus kepada pembangunan koperator muda dan peranan mereka dalam persekitaran yang berubah.
Hajah Rahaiah yang juga Ahli Jawatankuasa Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) Global berkata, ANGKASA turut mengenengahkan idea untuk pembangunan koperator wanita supaya mereka turut menjadi tenaga penggerak ke arah kejayaan koperasi yang mereka anggotai. Malah katanya, koperator wanita telah memainkan peranan yang aktif demi kejayaan sesebuah koperasi.
Sehubungan itu menurut beliau, ICA rantau Asia dan Pasifik telah bersetuju menjadikan program pembangunan wanita sebagai program serantau dengan tumpuan khusus kepada latihan untuk jurulatih. Setakat ini ANGKASA telah melaksanakan program latihan kepada jurulatih dengan jayanya.
Beliau berkata, program ini telah mendapat persetujuan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Koperasi rantau Asia-Pasifik. Ini bererti program pembangunan wanita telah mendapat pengiktirafan kerajaan-kerajaan negara berkenaan, malah sesetengah kerajaan negara-negara berkenaan telah meletakkan sasaran bagi pencapaian koperator wanita.
Hajah Rahaiah berkata, program terbaru pembangunan wanita telah berlangsung di Iran dan ia turut disertai oleh wakil-wakil koperator wanita negara serantau.
Bagi meningkatkan pencapaian perniagaan koperasi pula, Hajah Rahaiah berkata, ANGKASA akan turut merangka dan mengkaji program yang berkaitan dengan keusahawanan yang boleh memberi banyak manfaat kepada koperasi. Program ini dijangka amat sesuai bagi membantu meningkatkan pencapaian koperasi bukan sahaja pada peringkat nasional malah hingga ke peringkat antarabangsa. Katanya, rangkaian perniagaan koperasi pada peringkat antarabangsa boleh diwujudkan dan ia begitu berpotensi bagi merintis kerjasama perniagaan di kalangan koperasi.
Sehubungan itu, jalinan perniagaan boleh diwujudkan pada peringkat antarabangsa di kalangan koperasi dan untuk itu seminar pada peringkat serantau turut diadakan bagi mewujudkan dana yang boleh membantu menyediakan modal bagi perniagaan koperasi yang berpotensi.
Bagi peringkat permulaan, Thailand akan menjadi tuan rumah pada Disember 2004 ini bagi menganjurkan Seminar ‘Keusahawanan Koperasi Di Kalangan Koperator Wanita Rantau Asia-Pasifik’ yang akan membincangkan penubuhan dana ini. Beliau berharap cadangan penubuhan dana ini akan menjadi kenyataan dan ia dapat meningkatkan perniagaan koperasi.
Menurut beliau, ANGKASA merupakan penggerak utama bagi menjayakan seminar ini dan ANGKASA sedia berkongsi pengalaman serta menjadi penggerak ke arah kemajuan koperator wanita rantau Asia-Pasifik.
Beliau seterusnya berkata, sebagai badan yang diiktiraf oleh kerajaan bagi mewakili gerakan koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, ANGKASA akan terus memainkan peranan yang berkesan bagi memberikan sumbangan yang bermakna dalam memastikan gerakan koperasi negara mencapai kejayaan dan pengalaman ini boleh dikongsi bersama dengan gerakan koperasi antarabangsa.
<< Kembali