PELANCAR ONLINE
Disember 2009

ARKIB PELANCAR


 

SPBA Mantapkan Aktiviti Koperasi
Oleh : Wan Adlina Wan Ab Aziz
w_wanadlina@angkasa.coop

Sistem Pengurusan Berkomputer ANGKASA (SPBA) merupakan satu perisian terkini yang diperkenalkan melalui perkhidmatan Pra Audit ANGKASA dengan tujuan memberi perkhidmatan dan nasihat perakaunan secara percuma.

Aplikasi canggih yang dibangunkan oleh sebuah syarikat berstatus Multimedia Super Corridor (MSC) iaitu PrettyMind Sdn Bhd ini mempunyai pelbagai keistimewaan yang menarik iaitu maklumat yang dihasilkan adalah lebih tepat dan cepat, dapat diselenggarakan dengan lebih tersusun, dapat meningkatkan produktiviti koperasi serta dapat membantu koperasi terutamanya dari sudut Pelaporan dan Perakaunan.

Selain itu, ia juga berperanan membantu koperasi mengendalikan sistem pengurusan berkomputer yang boleh disesuaikan dengan aktiviti-aktivitinya seperti kewangan, perladangan, perumahan, perindustrian, pembinaan, pengangkutan, perkhidmatan, insurans, pengguna, hartanah dan serbaguna.

Bagi tujuan tersebut, ANGKASA mengambil inisiatif melancarkan sistem baru tersebut dalam satu Majlis Pelancaran dan Taklimat SPBA pada 12 Oktober 2009 bertempat di Auditorium Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya yang dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato' Mangsor Saad.

Dalam ucapannya, beliau memuji langkah ANGKASA yang memperkenalkan aplikasi perisian canggih ini untuk manfaat ahli ANGKASA dalam usaha melicinkan sistem pengurusan koperasi secara bersistematik.

Katanya, SKM akan memberi sokongan penuh secara berterusan kepada ANGKASA bagi memastikan teras pengurusan koperasi bergerak seiring dengan peredaran masa.

"Koperasi seharusnya sedar bahawa pada masa sekarang, mereka tidak sewajarnya hanya setakat melihat bahawa kejayaan menguruskan koperasi itu sudah memadai untuk kemajuan koperasi, tetapi yang paling utama ialah melihat perkara yang lebih luas khususnya membabitkan penggunaan teknologi maklumat serta persaingan di pasaran terbuka pada masa kini.

"Sebagai contohnya, koperasi-koperasi di alaf ini perlu berhadapan dengan elemen "comparative and competitive value" atau nilai perbandingan dan persaingan sebagai kekuatan dan tanda aras kepada kejayaan sesebuah koperasi.

"Sehubungan itu, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi serta faktor kemanusiaan atau "human factor" memainkan peranan paling utama bagi memastikan pencapaian prestasi sesebuah koperasi bersifat unggul," katanya yang memaklumkan bahawa berdasarkan kajian yang dilakukan oleh SKM, sejumlah 80 peratus koperasi dewasa di negara ini masih lagi hambar dalam penggunaan komunikasi teknologi maklumat (ICT).

Dato' Mangsor yang kagum dengan kecanggihan perisian yang dibangunkan oleh Syarikat PrettyMind Sdn Bhd ini mengharapkan aplikasi ini dapat memberi pelbagai kemudahan dan keistimewaan kepada koperasi dewasa.

SPBA lebih bersifat bersepadu dan 'client server' kerana ia memudahkan kemasukan data, tidak perlu diulangi, mudah digunakan dan dipantau. Lima Modul yang menitikberatkan perisian ini melibatkan Rekod Asas Perakaunan, Sistem Maklumat Keanggotaan, Sistem Peruncitan (POS), Sistem Penggajian (Payroll) dan Sistem Pendaftaran Mesyuarat Agung Tahunan.

Menurut Prof. Dato' Dr. Haji Mohd Ali Haji Baharum, beliau yakin melalui sistem ini, ia mampu melancarkan gerak kerja koperasi memandangkan aplikasi terbaru ini mempunyai pelbagai keistimewaan khusus untuk koperasi pada masa akan datang. Katanya, aplikasi ini juga berupaya memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik dan bersistematik kepada ahli untuk kepentingan bersama.

"Sistem baru yang diperkenalkan ini adalah kesinambungan kepada perisian SEKKOP 123 yang memfokuskan kepada koperasi sekolah dalam melicinkan pengendalian pengurusan keanggotaan, perakaunan dan perniagaan. Kebaikan kepada sistem ini adalah hampir sama penggunaannya iaitu menjurus kepada maklumat anggota koperasi serta memudahkan Bendahari mengeluarkan laporan kewangan koperasi," katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua ANGKASA yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa B4P, Puan Hajah Armi Zainudin dalam ucapan alu-aluannya sebelum itu berkata, perkhidmatan Pra Audit menerusi SPBA akan dikembangkan secara meluas di kalangan ahli ANGKASA bagi merubah kaedah manual yang digunakan sebelum ini kepada penggunaan teknologi maklumat (ICT).

"Ini kerana, kami mendapati banyak koperasi ahli ANGKASA yang masih menggunakan kaedah manual dalam penyediaan akaun koperasi mereka. Justeru itu, ANGKASA menyarankan koperasi dewasa lain mengambil langkah segera bertukar kepada kaedah teknologi baru ini untuk kemudahan pengurusan koperasi," katanya.

Majlis yang berlangsung di Auditorium, Wisma Ungku A. Aziz, ANGKASA, Kelana Jaya pada 12 Oktober 2009 itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dato' Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, Naib Yang Dipertua ANGKASA, Tn Hj. Mutadho Bahri, Pengurus Umum, Encik Nasir Khan Yahaya, serta wakil-wakil pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sebelum majlis berakhir, dif-dif kehormat dibawa melawat ke pameran berkaitan SPBA sebelum taklimat pembentangan dilakukan oleh Pengurus Besar PrettyMind Sdn Bhd., Tn Hj. Khair Anuar A. Hamid.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

SPBA Mantapkan Aktiviti Koperasi