PELANCAR ONLINE
Disember 2009

ARKIB PELANCAR


 

Fitrah Alam Atau Sikap Manusia
Oleh : Zarizan Hanapi (Pegawai ANGKASA)

Setelah menghilangkan rasa mengantuk dan penat di R&R Tapah, perjalanan ke utara diteruskan lagi. Banjaran gunung ganang di kanan lebuh raya begitu mengasyikkan. Kehijauan dan kedamaiannya diserikan lagi dengan putih mutiara alur air terjun Lata Kinjang. Alangkah indah bumi ciptaan tuhan. Namun sejenak berfikir, mengapa alam yang damai ini sering kali kejam kepada penghuninya. Ramai lagi yang terasa perit deritanya. Banjir, tanah runtuh, kemarau, gerak gempa dan segala mala bencana masih berlaku. Setiap hari persoalan ini memerlukan jawapannya. Mengapa alam semula jadi begitu kejam. Apakah sebabnya? Akhirnya jangan tanya pada alam, persoalkan kita kerana kitalah jawapan kepada semuanya. Bukan alam yang kejam tetapi kitalah yang zalim. Sebagai manusia sering kali kita mengabaikan khazanah alam yang berharga ini. Hutan, air, batu, minyak, galian dan sebagainya memerlukan kita untuk menguruskannya dengan cara berhemah.

Perebutan dan penggunaan sumber alam yang tidak terkawal menghasilkan gas rumah hijau yang semakin meningkat. Kesan rumah hijau merujuk kepada sebahagian besar dari tenaga matahari yang sampai ke permukaan bumi tidak dipantulkan semula keluar ke angkasa lepas, malah diserapi oleh atmosfera bumi. Sumber alam ini semakin banyak yang digunakan dan semakin banyak yang dibazirkan membawa kepada pemanasan global. Pemanasan global adalah merujuk kepada peningkatan suhu dunia. Suhu bumi telah meningkat dua darjah dan ianya berbeza di antara benua dan kawasan-kawasan tertentu. Kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain. Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi iklim dunia berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja, jaraknya hanya dua generasi. Kecairan glasier di Artik dan Antartika meningkatkan paras laut, seterusnya akan menenggelamkan kawasan rendah. Ramalan saintis menunjukkan kecairan glasier di Greenland telah meningkatkan aras laut kepada tujuh meter. Kawasan rendah di Semenanjung contohnya Kuala Muda (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan) akan ditenggelami air. Keadaan monsun akan berubah sama sekali dan kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu Musim Monsun Timur Laut yang bermakna lebih banyak berlaku kejadian banjir.

Penerokaan kawasan hutan di negara-negara membangun menyumbangkan dua puluh peratus pengeluaran gas rumah hijau. Menurut Persatuan Kesihatan Dunia (HWO) perubahan iklim dunia kesan dari pemanasan global sejak tahun 1970an membawa kepada 150,000 kematian setahun akibat kejadian penyakit. Jangkitan virus, bakteria dan kuman menyebabkan penyakit berlaku secara berleluasa. Influenza, dahulunya menyerang pada musim dingin (di negara beriklim empat musim) dan musim hujan (di negara iklim tropika) berlaku tidak mengira musim. Selain itu, pencemaran alam sekitar juga menyumbang kepada kehidupan manusia baik dari segi kesihatan dan kehidupan harian. Penggunaan kenderaan bermotor begitu pesat, malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor banyak menimbulkan banyak masalah misalnya dari segi pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam sekitar dan kehidupan semula jadi. Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan tertutup. Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil dari penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu bahan kimia yang sangat beracun yang boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya kanak-kanak.

Bukan sahaja manusia, bahkan turut memberi kesan kepada kehidupan lain. Antara pencemaran yang banyak membunuh organisma laut di perairan cetek ialah kesan tumpahan minyak. Apabila tumpahan minyak berlaku di persisiran pantai ia membentuk lapisan minyak yang mengancam hidupan marin dan burung laut. Tumpahan tersebut juga menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal, serta kurang daya tahan badan terhadap penggunaan air tersebut. Satu kejadian aneh telah berlaku di Teluk Minamata, Jepun yang mana burung-burung yang berterbangan tiba-tiba menjunam dari angkasa, kucing-kucing berjalan terhoyong-hayang dengan mulut yang berbuih, kemudian berlari tidak menentu lalu mati. Semuanya berlaku akibat dari keracunan raksa.

Persaingan sesama manusia untuk mendapatkan sumber tenaga juga menggugat kehidupan di bumi ini. Persaingan untuk mendapatkan elemen asas ini bukan sahaja membawa impak kepada manusia tetapi juga kepada flora dan fauna. 98 peratus punca pemanasan global adalah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan fosil untuk menjana tenaga yang telah pun dilakukan manusia sejak abad ke-18. Kesan rumah hijau ini semakin hebat dan menuju jalan yang sukar untuk dibendung. Karbon dioksida adalah gas yang tidak berbau dan sebenarnya bukanlah berbentuk toksik. Akan tetapi peningkatannya di ruang atmosfera akan meningkatkan suhu bumi. Sebagai perbandingan suhu di Marikh adalah di sekitar 400 darjah celsius dan 90 peratus atmosferanya adalah gas karbon dioksida. Hampir tiada kehidupan di Marikh dan bumi juga menuju ke arah tersebut. Pergantungan kita kepada bahan bakar fosil ini keterlaluan walaupun bumi menyediakan banyak alternatifnya. Malangnya sumber-sumber ini tidak diuruskan secara bijaksana.

Terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab membuang bahan yang tidak diperlukan ke dalam sungai. Mereka mungkin merasakan ini adalah tempat terbaik membuang sampah. Bahan buangan dari industri dan pengguna domestik ini menyebabkan air sungai semakin berbau dan kotor. Hidupan marin tidak dapat bertahan dan tidak mampu meneruskan kelangsungan hidupnya. Sistem ekologi tidak lagi berada dalam putarannya. Akibatnya berlaku krisis makanan. Sumber protein daripada ikan berkurangan. Pendapatan nelayan juga turut menurun yang akhirnya menjejaskan sosioekonomi golongan ini. Sikap menjadikan sungai sebagai 'tong sampah' wajar diberi bimbingan agar timbul kesedaran untuk mereka membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Walaupun Parlimen meluluskan Akta Pengurusan Sisi Pepejal dan Pembersihan Awam dan Akta Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (2007) ianya tidak akan membawa sebarang makna jika tidak berlaku perubahan sikap.

Sisa buangan dari penggunaan dapur rumah sahaja menyumbangkan 45 peratus dari keseluruhan jumlah sisa buangan. 24 peratus daripadanya adalah plastik, tujuh peratus kertas, besi enam peratus, kaca tiga peratus dan selebihnya adalah dari pelbagai sisa, memerlukan pengurusan yang cekap dan efisien. Banyak pertubuhan swasta menerima pakai amalan mesra alam dan ada yang terbabit secara langsung dalam pengurusan sisa atau industri kitar semula. Laporan Mckinsey mengenai impak industri terhadap alam sekitar pada tahun ini, memberi penunjuk bahawa industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka akan mengatasi industri penerbangan sebagai penyumbang besar pengeluaran gas karbon dioksida menjelang tahun 2012. Contohnya untuk mengatasi masalah ini DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) telah mewujudkan program tanggungjawab korporatnya dikenali sebagai Deep Green. Program ini menyasarkan untuk mengurangkan tapak karbon syarikat sebanyak 50 peratus daripada ramalan 130,000 tan gas karbon dioksida yang dihasilkan menjelang tahun 2011.

Masyarakat umum sekarang yang berpengetahuan mengenai isu alam sekitar dan pengekalan alam semula jadi mahu melihat langkah proaktif dan bertanggungjawab diambil tindakan oleh semua pihak. Berbalik kepada gerakan koperasi, koperator perlu melihat ini sebagai permasalahan bersama. Dalam pengamalan nilai-nilai koperasi, koperasi berpandukan prinsip-prinsipnya dan prinsip terakhir iaitu Prihatin Terhadap Masyarakat. Masyarakat dalam konteks pemahaman ini bukan sahaja merujuk kepada manusia tetapi alam sekeliling. Dapatkah kita memastikan bumi ini akan terus menjadi tempat yang selamat untuk dihuni generasi seterusnya?

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Fitrah Alam Atau Sikap Manusia